Jumaat, 14 April 2023 | 12:46pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kawal nafsu berbelanja, utama keperluan rai Aidilfitri

Kurang satu minggu umat Islam menyambut Aidilfitri dan lazimnya keghairahan membuat persiapan membuatkan mereka terlebih ghairah ketika membeli-belah bagi melengkapkan segala keperluan untuk beraya.

Akan tetapi dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup masa kini, umat Islam seharusnya berwaspada berbelanja membuat persiapan menyambut Aidilfitri supaya tidak terperangkap dengan pembaziran sehingga menghadapi krisis kewangan selepas beraya.

Bermakna, umat Islam tidak boleh gelojoh berbelanja atas alasan membuat persiapan menyambut Aidilfitri, apatah lagi memasuki tahun kedua beraya berada dalam fasa peralihan ke endemik. Usah terlalu berkobar-kobar membeli barang serba-serbi baharu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Waspada juga dengan promosi jualan murah, jualan mega, harga runtuh dan sebagainya, sebaliknya berfikir secara waras adakah semua promosi itu dapat memberi manfaat kepada diri sendiri atau ia hanya gimik menjelang perayaan berpaksikan mengaut keuntungan maksimum kalangan penjual.

Di sinilah tanggungjawab dan peranan kita sebagai pembeli perlu bijak menilai serta merancang pembelian supaya sumber kewangan yang ada dapat dibelanjakan sebaik mungkin demi mengelakkan pembaziran. Dalam merancang perbelanjaan, pengguna perlu mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Sumber kewangan terhad membuatkan kita sebagai pengguna perlu merancang dengan sebaik mungkin supaya tidak menghadapi masalah 'kesempitan wang' di kemudian hari. Seandainya keperluan itu amat mendesak, sebaiknya ia perlu dipenuhi terlebih dulu. Seandainya tidak penting, keutamaan perlu diberikan membeli keperluan lain.

Sebagai contoh jika hendak membeli kuih-muih, cukup sekadar membeli jumlah yang difikirkan wajar untuk meraikan tetamu berkunjung beraya dalam tempoh tertentu. Dari segi pembelian pakaian baharu pula, ia harus dilakukan dengan 'mengukur baju di badan sendiri'

Jangan terlalu ikut gaya terkini 

Umat Islam tidak sepatutnya terlalu mengikut gaya terkini sehingga sanggup berhabis beratus ringgit demi sepasang baju raya. Walau mampu sekali pun, cukuplah sekadar sepasang dua baju baharu harga patut yang juga boleh dipakai untuk bekerja dan selebihnya menggunakan semula baju sedia ada.

Sebagai pengguna seharusnya kita perlu merancang segala perbelanjaan supaya sumber kewangan yang ada dapat digunakan sebaik mungkin. Perkara asas mungkin selalu dilakukan dalam merancang perbelanjaan adalah dengan membuat senarai bajet perbelanjaan.

Berdasarkan bajet seperti ini, ia mungkin dapat dijadikan sebagai garis panduan untuk berbelanja secara berhemah supaya tidak tersasar daripada kemampuan. Menerusi senarai bajet disediakan pengguna perlu mengenalpasti keperluan hendak diutamakan berbanding memenuhi kehendak semata-mata.

Selain daripada menyediakan senarai perbelanjaan, pengguna patut membuat perbandingan harga bagi barangan sama sebelum membeli bagi mengelakkan pembaziran. Mengapa perlu membeli dengan harga mahal sekiranya ada yang menawarkan dengan harga lebih murah dengan kualiti lebih sama.

Di samping itu, satu perkara paling penting bagi mengawal perbelanjaan adalah pengguna perlu mengawal nafsu berbelanja. Sebagai umat Islam, mereka diingatkan tidak mengikut kehendak nafsu tetapi perlu belajar bagaimana untuk mengawalnya. Apa yang penting, pengguna perlu beringat sumber yang kita ada terhad.

Oleh itu, kita perlu merancang sebaik mungkin supaya dapat mengelak pembaziran berlaku. Bagi umat Islam, kita harus sedar meraikan kejayaan dan kemenangan selepas sebulan berpuasa bukan lesen untuk berbelanja secara bermewah-mewah sehingga mendatangkan kemudaratan pada masa hadapan.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM)

Berita Harian X