KEBERKESANAN perjalanan fungsi Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara bergantung pada pematuhan aturannya yang menjadi norma asas.
Ia mencerminkan tahap piawaian etika ditetapkan termasuk adab dan tatasusila dalam perjalanan majlis serta urusan rasmi institusi menunjangi demokrasi negara ini.
Ketidakpatuhan kepada nilai adab dan tatasusila dalam tatakelola Parlimen akan membawa kepada penghakisan norma asas badan legislatif ini yang sepatutnya perlu dipelihara, dilindungi dan dipertahankan.
Rukun Negara juga menjadi satu ikrar pegangan dan 'identiti' seluruh rakyat membentuk semangat perpaduan, ketaatan dan kecintaan kepada bangsa dan negara. Antara prinsipnya ialah kesopanan dan kesusilaan.
Garapan prinsip ini turut terkandung dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat atau Standing Order Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Peraturan 36 Dewan Rakyat misalnya menggariskan adab bercakap bagi ahli Dewan. Peruntukan mengenai adab berbahas termasuk tegahan penggunaan bahasa kurang sopan atau membuat kenyataan bersifat seksis serta menghasut.
Peraturan Mesyuarat juga memandu tatasusila dan adab ahli Dewan untuk tidak mengganggu ahli lain yang sedang bercakap, adab untuk ahli tidak bercakap dan sebarang teguran dalam dewan majlis juga perlu disampaikan dengan sopan mengikut ketertiban Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.
Perkara berkaitan adab dan tatasusila juga dikupas panjang lebar Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, menerusi penulisannya, Etika Legislatif Untuk Wakil Rakyat diterbitkan di Journal of the Malaysian Parliament, Vol 1 Tahun 2021 yang mengusulkan kepatuhan kepada tatacara dan etika di Parlimen bagi memastikan prinsip keluruhan undang-undang terjamin, di samping menekankan akauntabiliti, ketelusan dan integriti dalam urusan membantu rakyat.
Tatacara pemakaian
Amalan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara turut dijunjung tinggi Parlimen dalam tatacara pemakaian untuk semua individu semasa berada di Kompleks Parlimen Malaysia. Pemakaian sesuai seperti digariskan dalam Kod Etika Pemakaian menggambarkan budaya dan tatasusila masyarakat kita perlu dipatuhi.
Di Parlimen United Kingdom (UK) misalnya, meskipun tiada kod etika tertentu dilaksanakan, pakaian etika perniagaan adalah dicadangkan sebagai panduan, manakala seluar jeans, kemeja-T, sandal dan kasut sneakers adalah ditakrifkan sebagai tidak sesuai.
Dari aspek tatasusila pula, ahli Dewan yang gagal menunjukkan rasa hormat kepada Dewan tidak akan dipanggil untuk bercakap oleh Pengerusi, manakala sesiapa sahaja yang menunjukkan sikap tidak hormat yang jelas dalam cara berpakaian mereka boleh diminta untuk menarik diri daripada Dewan.
Pemeliharaan norma ini wajar dilindungi bagi memastikan kemuliaan Parlimen terpelihara serta memastikan pihak berurusan dengan Parlimen berada dalam keadaan kondusif, sejahtera dan selamat.
Selaras dengan peranan Parlimen sebagai badan menggubal undang-undang dan platform menyampaikan idea serta wacana bagi pembangunan negara bangsa, sewajarnya peraturan ditetapkan di institusi berkenaan dihormati dan dipatuhi semua pihak.
Penulis adalah Pegawai Penyelidik Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan Parlimen