Hari ini adalah Hari Tibi Sedunia, iaitu kempen tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Dr Robert Koch mengumumkan penemuan mikobakteria patogenik dipanggil bacilli tubercle, kuman penyebab tuberkulosis pada 1882.
Penyakit ini melanda manusia berabad-abad, membunuh 20 peratus penduduk Eropah ketika pandemik dari abad ke-17 hingga ke-19 tetapi malangnya, ia masih menjadi masalah utama dengan jumlah 10.6 juta kes dan 1.5 juta kematian setiap tahun sejak abad ke-21.
Tema tahun ini agak berbeza berbanding sebelumnya, iaitu 'Ya! Kita Boleh Menamatkan Tibi' kerana beralih daripada memperingati keburukan penyakit purba itu kepada keazaman baharu mendapatkan perhatian global supaya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) membabitkan penyakit ini tercapai menjelang 2030.
Keazaman itu ditujukan kepada pemimpin negara supaya melipatgandakan dana, pelaburan dalam R&D, aplikasi saranan WHO dan menggalakkan inovasi serta kerjasama pelbagai sektor.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyediakan peluang kritikal untuk meningkatkan keterlihatan, komitmen politik dan penjanaan dana tambahan dengan menganjurkan mesyuarat ketua negara bersama dua mesyuarat peringkat tertinggi pada September ini untuk membincangkan langkah mempercepatkan usaha menamatkannya, khususnya ketersediaan perlindungan kesihatan sejagat dan tindak balas sekiranya pandemik berulang lagi.
Fokus utama komitmen dan pelaburan tibi global adalah untuk meningkatkan kapasiti, usaha dan inovasi menjalankan R&D vaksin baharu, alatan diagnosis pantas molekul, ubat lebih berkesan dan murah, teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), rejimen rawatan lebih singkat tempoh dan berkesan, pengukuhan dan pembiayaan kerja advokasi, sosial dan sokongan moral komuniti serta membantu pesakit dengan pendapatan asas sejagat bagi mendapatkan makanan berkualiti semasa melalui rawatan.
Di negara ini, kes tibi merayap masuk kembali ke dalam senarai teratas penyakit berjangkit selepas COVID-19 menurun. Tidak seperti kebanyakan pesakit COVID-19, pesakit tibi memerlukan tempoh rawatan jauh lebih panjang, iaitu enam hingga 20 bulan, berkemungkinan menghadapi kesan sampingan teruk dan menghadapi stigma penyisihan kontak dan pekerjaan serta berisiko menanggung bencana kos hidup disebabkan hilang pekerjaan dan kehidupan kurang produktif.
Berasaskan statistik tibi tahunan sejak dua dekad ini, 23,000 pesakit dan 1,800 kematian berpunca daripada tibi pada purata usia 45 tahun. Malaysia dianggarkan menanggung kerugian produktiviti bernilai hampir RM1 bilion setahun dengan kumulatif RM15 bilion bagi baki hayat hilang
Meskipun Malaysia diklasifikasikan sebagai negara beban sederhana, penyakit tibi akan terus mengancam. Pertama, kuman tibi diwarisi setiap 1 daripada 4 manusia, manakala kedua, vaksin BCG hanya berkesan hingga awal umur remaja.
Ketiga, amalan dan ketagihan merokok, alkohol, dadah serta gula berlebihan mengakibatkan penyakit komorbiditi seperti kanser, HIV/AIDS, COVID-19, diabetes, darah tinggi dan kesihatan mental akan melunturkan imunisasi, manakala keempat, risiko jangkitan daripada pelarian dan pendatang asing yang bolos saringan penyakit dari negara beban tinggi tibi membanjiri negara.
Kesedaran dan kapasiti badan korporat, institusi R&D, institusi pengajian tinggi (IPT), masyarakat sivil dan kepemimpinan komuniti, juga perlu disalurkan untuk menggerakkan kesedaran untuk menyertai usaha kolektif dengan aktiviti 'bebas tibi'.
Lebih bermakna lagi sekiranya mereka boleh mengambil inisiatif menyumbang kepakaran dan kewangan untuk aktiviti kesedaran serta pencegahan, bantuan kewangan dan kemudahan kepada pesakit, R&D berkaitan tibi.
Presiden Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Kuala Lumpur