Kejadian banjir yang semakin kerap dan teruk di negara kita amat jelas menimbulkan kesan negatif serius terhadap ekonomi, sosial dan persekitaran.
Menurut Jabatan Perangkaan, Malaysia mengalami jumlah kerugian RM622.4 juta pada 2022, RM6.1 bilion pada 2021 dan 2.4 bilion pada 2020 akibat bencana banjir.
Kerajaan terpaksa berbelanja berbilion ringgit bagi tujuan pemulihan dan pembaikan pascabanjir di seluruh negara terutama infrastruktur awam seperti jalan raya, bangunan dan kawasan perindustrian.
Banjir juga mempengaruhi aspek sosial dengan mengakibatkan ramai penduduk kehilangan harta benda dan tekanan perasaan, terutama di kawasan kerap terkena banjir, apatah lagi lokasi mengalami banjir termenung seperti di Batu Pahat ketika ini.
Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif bersepadu untuk mengurangkan risiko banjir dan menguruskan kesan buruk banjir secara berkesan. Model pengurusan bersepadu adalah satu pendekatan penting untuk menangani isu banjir.
l Pertama, meningkatkan sistem peringatan awal menggunakan satelit, pengesan dan sistem pengumpulan data secara automatik.
Sistem ini boleh mengesan air pasang dengan lebih cepat dan membolehkan pihak berkuasa memberikan maklumat awal kepada orang ramai dan tindakan perlu diambil bagi mengurangkan kesan buruk banjir.
l Kedua, meningkatkan kualiti pengurusan sistem saliran kerana ia antara satu cara paling penting mengurangkan risiko banjir seperti mencegah sungai dan parit tersumbat atau air banjir termenung.
Infrastruktur banjir pula model ketiga perlu diperluas dan dipertingkatkan seperti membina terowong pintar baharu atau tebatan banjir pintar di lokasi jarang berlaku banjir tetapi menjadi kritikal apabila hujan lebat seperti di Johor.
l Keempat, pemuliharaan taman dan kawasan hijau perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko banjir. Seperti diketahui, kawasan hijau boleh menyerap air hujan dan mengelakkannya daripada mengalir ke kawasan penempatan.
Selain itu, penting juga untuk melindungi kawasan tadahan air dan kawasan paya berdekatan bandar bagi mengawal pengaliran air dan mencegah air membanjiri kawasan bandar.
l Kelima, semua pihak perlu ada tekad untuk melaksanakan penguatkuasaan pembangunan lestari untuk mengurangkan risiko banjir.
Sebagai contoh, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) bertanggungjawab merancang pembangunan bandar dan desa supaya kalis banjir. Mereka perlu menggunakan teknologi terkini bagi membolehkan perancangan pembangunan dirangka lebih bersepadu dan tahan banjir.
l Keenam, kesedaran awam dan pendidikan risiko banjir perlu dipertingkatkan kepada orang ramai. Latihan dan simulasi amat membantu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai bencana alam serta bagaimana bertindak jika berdepan dengan bencana alam.
Selain itu, latihan dan simulasi juga membantu meningkatkan tahap kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk pasukan penyelamat dalam menangani bencana alam.
l Ketujuh, kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti tempatan amat penting untuk mengurangkan risiko banjir. Dalam hal ini, pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk mengumpul maklumat risiko banjir dan mengambil langkah perlu. Paling penting, komuniti tempatan harus dilibatkan dalam proses pembangunan dan pemuliharaan sistem saliran dan sistem pengurusan air.
Kesimpulannya, mengurangkan risiko banjir bukan tugas mudah, tetapi dengan mengambil langkah proaktif dan bersepadu semua pihak, kita mampu mengurangkan kesan buruk banjir serta memastikan negara menjadi lebih selamat.
Pihak berkuasa dan masyarakat perlu bekerja sama untuk mencapai matlamat ini dan memastikan kejadian banjir semakin kerap tidak lagi menimbulkan kesan negatif serius kepada ekonomi dan sosial negara.
Pensyarah Kanan dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia