SEJAUH mana keputusan Pemilihan UMNO berlangsung semalam memberikan kesan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 masih lagi terbelah dalam kalangan penganalisis politik.
Peralihan undi majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang digelar 'Gelombang Hijau' hingga menyebabkan UMNO mencatat sejarah terburuk sejak parti itu mula mengorak langkah pada PRU Tanah Melayu pada 1959 dijangka tidak akan surut dalam beberapa bulan.
Sekiranya, PRU15 diibaratkan gempa bumi skala 7 atau 8 Richter kepada UMNO, PRN dan juga mungkin sebarang pilihan raya kecil (PRK) boleh dianggap gempa susulan tetapi dengan skala lebih kurang sama. Apatah lagi tiga negeri terbabit dalam PRN adalah apa diistilahkan 'Malay-belt states', iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan Perikatan Nasional (PN), terutama PAS mencatat rekod hampir sempurna pada PRU15 apabila hanya satu kerusi Parlimen terlepas kepada PKR.
Biasanya mana-mana parti dominan seperti UMNO atau PAS, andai kalah teruk pada PRU, borak di kedai kopi biasanya merujuk 'tinggal satu atau dua batu nesan' tetapi pada PRU15, UMNO seolah-olah dikuburkan tanpa tanda.
Di Selangor, demografi pengundi Melayu majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) melebihi 30 kerusi berlegar di ruang siber dengan PN berkira-kira merampas negeri itu, tetapi masih berhati-hati dalam menamakan calon Menteri Besar.
Negeri Sembilan nampaknya lebih selamat, terutama dengan Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun tetapi negeri itu pernah mencatatkan latar belakang MB diterima rakyat semata-mata tidak cukup untuk menyelamatkan kerajaan negeri dipimpinnya daripada tumbang seperti dihadapi Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini.
Pada masa sama, isu seperti peruntukan Parlimen, royalti minyak dan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) meskipun sudah dijawab, membuka lebih banyak ruang untuk dieksploitasi sebahagiannya disebabkan kelemahan menteri dan tentunya sentimen kenegerian serta sejarah silam tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN), terutama di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap negeri pembangkang.
Ini menjadikan Pulau Pinang satu-satunya 'negeri selamat' kepada Pakatan Harapan (PH), tetapi dengan keputusan mengejut di beberapa Parlimen di negeri itu pada PRU15, tiada mustahil dalam ranah politik tanah air atau sekurang-kurangnya DUN itu tidak lagi dikuasai sepenuhnya ADUN kerajaan lagi.
Semua faktor inilah memberikan hipotesis politik bahawa pemilihan tiga Naib Presiden dan 25 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hampir tidak akan mengubah 'nasib' bakal dihadapi UMNO bersama-sama rakan dalam kerajaan campuran yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan itu.
Apatah lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dan Pemilihan UMNO ini masih dilihat sebagai episod pembersihan parti dan survival Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus belum beralih kepada episod pemulihan semula parti itu.
Pelan peralihan kuasa, pemimpin pelapis
Bagaimanapun, UMNO tidak boleh berpeluk tubuh di sebalik tembok besar politik perlu dirempuh selepas hanya memiliki 26 ahli Parlimen turut termasuk pemimpin digantung atau masih 'dekat' dengan PN.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani, Gelombang Hijau hanya bersifat sementara atau buatan lebih memberi kesan di utara dan Pantai Timur Semenanjung.
Dengan realiti PN sebagai pembangkang dan beberapa pemimpinnya menghadapi beberapa kes mahkamah serta tuduhan beli undi, profesor politik itu menganggap sekiranya Pemilihan UMNO mampu merapatkan semula saf, parti itu atas sifatnya sebagai parti tunjang orang Melayu.
Tentu ia bukan kerja enteng, sebaliknya menuntut parti itu melakukan perubahan drastik dan berpotensi menghasilkan dampak bermula daripada peringkat atas, tidak lagi mengulangi episod selepas PRU14 apabila cepat larut dengan kemenangan dalam PRK dan 'tergoda' dengan tarikan Langkah Sheraton.
Sudah sampai masanya, UMNO kemukakan pelan peralihan kuasa jangka panjang dan penyediaan pemimpin pelapis lebih strategik supaya pemimpin peringkat akar umbi dapat terbabit dalam pemulihan besar-besaran parti.
Pada masa sama, pemimpin parti itu juga perlu siap siaga dengan sebarang isu berkaitan perjuangan terasnya, iaitu Melayu-Islam, tanpa membiarkan ia dieksploitasi, terutama oleh BERSATU yang sedang melancarkan 'kempen' gantikan parti itu dalam konteks ini.
Hal itu turut ditekankan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang menjelaskan UMNO perlu mendominasi kembali politik Melayu Islam dengan cengkaman politik berdasarkan penyelesaian secara konkrit dan menyerlah.
Dalam isu umpamanya polemik program ziarah rumah ibadat umpamanya, pemimpin UMNO tidak boleh leka atau tenggelam walaupun di tengah-tengah kesibukan pemilihan tetapi sudah tentu bukan semata-mata dengan bertindak seperti pembangkang.
Apapun, UMNO perlu tangkas berubah daripada episod pembersihan parti dalam PAU 2022 dan Pemilihan 2023 kepada episod baharu pemulihan serta kebangkitan semula secara menyeluruh.
Harus diingat, tidak ada 'penangguhan' lagi yang dapat dibuat UMNO dalam soal pemulihan ini selepas mendapat peluang kedua membentuk kerajaan, walaupun mencatat rekod terburuk dua kali berturut-turut dalam sejarah PRU.
Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH