Sabtu, 18 March 2023 | 9:45am
Gambar fail, pemandangan pusat bandar Kuala Lumpur . - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar fail, pemandangan pusat bandar Kuala Lumpur . - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Jaringan hijau di bandar tangani banjir kilat, transit hidupan liar

Enam kriteria kelestarian perancangan bandar seperti diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, baru-baru ini, amat bertepatan dengan realiti semasa memerlukan pelan tindakan khusus jangka pendek dan panjang berterusan.

Sebahagian isu alam sekitar dihadapi negara berpunca daripada perancangan bandar tidak lestari, bahkan ia turut meningkatkan risiko seperti banjir kilat yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim.

Bagaimanapun, penekanan perancangan dan reka bentuk landskap lestari serta seimbang dengan kehendak lapisan masyarakat amat diperlukan terutama di kawasan bandar lama dan baharu.

Hal itu memerlukan pengukuhan konsep infrastruktur hijau berperanan utama dalam mewujudkan suasana kehidupan bandar lebih harmoni, selesa dan berdaya huni. Umpamanya, penanaman dan pemilihan jenis tumbuhan sesuai perlu diteliti lebih mendalam untuk mewujudkan ekosistem dan biodiversiti stabil serta berterusan.

Biodiversiti hampir selalu berkurangan dalam ekosistem terjejas oleh manusia, termasuk landskap bandar hingga menyebabkan kehilangan, pemecahan atau kemerosotan habitat. Keadaan panas dan hujan lebat melampau semasa memerlukan kestabilan kehijauan untuk masyarakat bandar.

Penyelesaian infrastruktur hijau bandar boleh digunakan pada skala berbeza dari peringkat rumah atau bangunan ke peringkat landskap lebih luas. Pada peringkat tempatan, amalan infrastruktur hijau termasuk taman hujan, turapan telap, bumbung hijau, penanam penyusupan, pokok dan kotak pokok dan sistem penuaian air hujan.

Pada skala terbesar, pemeliharaan dan pemulihan landskap semula jadi seperti hutan, dataran banjir dan tanah lembap komponen kritikal infrastruktur hijau.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memperkukuhkan jaringan hijau agar lebih berfungsi sebagai tempat atau zon penampan bandar yang mewujudkan transit aliran hijau lebih efektif untuk tampungan dan takungan sementara luruan air hujan ketika hujan lebat. Zon ini juga akan menjadi transit ekologi kepada kehidupan liar, sekali gus mengekalkan biodiversiti kehidupan di kawasan bandar.

 Wujud lebih banyak taman bandar 

Konsep infrastruktur hijau juga menitikberatkan pengurusan dan luruan air hujan yang amat penting untuk kawasan bandar rendah di tepian sungai sensitif kepada air dan banjir. Jaringan kawasan hijau dan zon penampan bandar seperti taman bandar ditanam dengan jenis tumbuhan dan pokok yang dapat berfungsi untuk membantu menyerap air hujan perlu ditambah supaya kawalan air hujan lebat secara semula jadi dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan bandar.

Kejadian air bertakung disebabkan banjir di beberapa kawasan di Johor boleh berbahaya kepada masyarakat kerana ia menyediakan inkubator lebih kondusif berbanding air mengalir untuk pelbagai jenis bakteria dan parasit.

Penambahan jaringan hijau dengan mewujudkan lebih banyak taman bandar berskala kecil dan besar juga amat diperlukan untuk mengurangkan kesan pemanasan bandar melalui hutan konkrit. Taman ini bukan bertindak untuk kecantikan sahaja, bahkan berfungsi melalui reka bentuk tanaman dan penggunaan bahan landskap mesra alam.

Corak landskap boleh berubah akibat aktiviti manusia kerana bentuk landskap bandar menentukan persekitaran bandar dan peningkatan dalam landskap terma boleh memburukkan lagi kesan pulau haba.

Penggunaan bahan landskap lebih lestari juga dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar bandar. Umpamanya bahan boleh menyerap air hujan dapat bertindak mengurangkan luruan air hujan ke dalam longkang dan parit, sekali gus meningkatkan daya tahan bandar daripada terdedah kepada banjir kilat.

Jaringan aliran sungai dan perparitan perlu ditambah baik dan diselenggara dengan betul demi mewujudkan sistem aliran air bandar teratur dan sistematik. Pengekalan dan pemuliharaan kawasan rizab sungai dan parit di kawasan bandar amat diperlukan supaya dapat mengurangkan banjir kilat semakin kerap berlaku di bandar kerana ia benteng pertama mewujudkan kawasan mitigasi banjir secara semula jadi.

Penulis adalah Profesor Jabatan Senibina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X