Khamis, 16 March 2023 | 11:29am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Waspada guna ChatGPT elak jadi mangsa penipuan siber

Kewujudan ChatGPT membawa satu fenomena baharu kepada seluruh dunia mengenai kebolehan penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjawab apa sahaja perkara melalui input teks.

Aplikasi ChatGPT memberi manfaat kepada pelbagai lapisan golongan yang celik teknologi maklumat (IT) termasuk pelajar sekolah rendah, siswa, pekerja pelbagai sektor pekerjaan, profesional dan pengkaji, pempengaruh media sosial serta mungkin juga suri rumah.

Penggunaan data digunakan dalam ChatGPT membolehkannya menjadi alat serba boleh dan berkuasa untuk tugas pemprosesan bahasa semula jadi, termasuk robot perbualan (chatbots), terjemahan bahasa dan analisis sentimen.

Namun, seperti teknologi canggih yang wujud sebelumnya, ChatGPT juga membawa bersamanya pelbagai potensi risiko keselamatan siber.

Terdapat beberapa potensi serangan siber boleh dilaksanakan melalui ChatGPT terutama manipulasi maklumat melalui hubungan dengan manusia, selain serangan kejuruteraan sosial.

Serangan ini bertindak dengan memanipulasi orang lain untuk mendedahkan maklumat sensitif atau melakukan tindakan bertentangan dengan kepentingan terbaik mereka.

Pancingan data (phishing) dan pengumpan data (Baiting) adalah serangan bersifat kejuruteraan sosial. Penyerang boleh menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan teks meyakinkan dan disebarkan kepada mangsa berpotensi.

Bagaimanapun, proses memanipulasi teks ini masih bergantung kepada kreativiti penyerang siber untuk memberi input kepada ChatGPT bagi menghasilkan output teks meyakinkan.

Pancingan data ialah aktiviti menyalahi undang-undang dan tidak beretika serta boleh menyebabkan kemudaratan ketara kepada individu dan organisasi.

Ia sejenis serangan kejuruteraan sosial direka untuk menipu orang ramai supaya mendedahkan maklumat sensitif seperti log masuk atau nombor kad kredit dengan menyamar sebagai organisasi atau individu sah.

Tingkat kesedaran siber

Pada masa sama, ChatGPT boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran siber, bergantung kepada kreativiti soalan, pelbagai idea boleh dijana ChatGPT untuk tujuan ini secara pantas.

ChatGPT juga mampu memberi penerangan jelas jika pengguna memerlukan kefahaman sesuatu isu keselamatan siber dengan sangat pantas dan alat bantu bagi tindak balas insiden berkaitan keselamatan siber.

Antaranya mengenal pasti simptom bagi potensi sesuatu serangan serta tindakan kawalan dan pencegahan boleh dilaksanakan pengamal keselamatan siber.

Selain itu, ChatGPT boleh memberikan cerapan mengenai potensi kelemahan dalam sistem atau rangkaian, membantu individu bertanggungjawab dalam organisasi mengambil langkah proaktif mencegah serangan siber sebelum ia berlaku.

ChatGPT turut boleh digunakan membangunkan dan menguji pelan tindak balas insiden, membolehkan pasukan keselamatan siber lebih bersedia bertindak balas terhadap kemungkinan serangan.

Tambahan pula, ChatGPT boleh memberikan panduan cara mengawal dan mencegah serangan berterusan, seperti menutup sistem terjejas atau menyekat alamat protokol internet (IP) berniat jahat.

Ia juga boleh membantu melaksanakan analisis selepas kejadian, membantu pengamal keselamatan siber mengenal pasti punca serangan.

ChatGPT juga boleh digunakan pembangun produk keselamatan siber untuk mencipta dan menguji penyelesaian keselamatan siber baharu, menganalisis tingkah laku pengesahan pengguna.

Dengan menggunakan ChatGPT, ia membantu pembangun sistem melakukan simulasi serangan dan memberikan maklum balas keberkesanan langkah produk keselamatan dibangunkan seterusnya membantu meningkatkan postur keselamatan keseluruhan pengguna dalam sesebuah organisasi.

Kesimpulannya, landskap ancaman siber akan terus berkembang, namun penting bagi semua pihak memainkan peranan dan meningkatkan kesedaran supaya impak serangan siber dapat dikurangkan.

Walaupun terdapat pelbagai pertikaian terhadap cara ChatGPT melakukan perkongsian maklumat atau kebimbangan teknologi ini berkongsi maklumat sensitif, ia masih tertakluk kepada dasar keselamatan ketat walaupun masih perlu diperhalusi.

Berita Harian X