DALAM melihat kelangsungan sesebuah parti politik, aspek paling utama antaranya keutuhan sayap kelompok muda. Ia bergantung sejauh mana 'pembangunan bakat muda' dalam parti politik digerakkan secara komprehensif dan terangkum tanpa mengambil kira soal kelas sosial atau latar keluarga.
Namun, kebiasaan terutama di negara sedang membangun atau negara dunia ketiga, kebanyakan pemimpin muda datang daripada latar keluarga dengan status sosial tinggi atau berasal daripada keluarga elit.
Di negara ini, situasi begini umumnya terjadi. Kebanyakan pemimpin muda berlatarbelakangkan kelas sosial elit. Diakui ia bukan salah, mungkin latar pendidikan berperanan kerana kita memerlukan pemimpin bijak pandai menguruskan negara.
Hal ini boleh dilihat dalam UMNO sebagai parti sudah lama mendominasi perwakilan politik Melayu-Islam. Sayap Pemuda UMNO menjadi entiti begitu penting dalam menggerakkan kelangsungan parti. Setiap kali Pemilihan UMNO, selain jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda menjadi posisi tumpuan.
Apatah lagi dengan senario pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selepas kerjasama 'mengejut' antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO membentuk Kerajaan Perpaduan, latar politik negara kembali hangat dengan tumpuan menjurus kepada Pemilihan UMNO 2023.
Pemilihan kali ini menimbulkan banyak spekulasi mengenai hala tuju, kelangsungan dan kepengukuhan kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Dengan situasi tegang dalam UMNO muncul akibat pertentangan kepentingan dan kecenderungan sokongan blok politik membawa kepada isu pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa figura besar UMNO, ia pasti memberikan kesan kelangsungan parti terutama sayap utama parti seperti Pemuda UMNO.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, meraih majoriti besar pertembungan jawatan Ketua Pemuda meskipun di atas kertas, saingannya yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah memiliki faktor pengukuh dengan pengalaman sebagai bekas Timbalan Menteri Kewangan. Turut bertanding ialah Senator Armand Azha Abu Hanafiah dan Tuan Meor Hassan Mat Ali.
Dengan memperoleh 102 undi daripada 189 bahagian, Muhamad Akmal menggantikan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dua faktor Muhamad Akmal dipilih
Pastinya pemilihan Muhamad Akmal menimbulkan tanda tanya tetapi bagi penulis, ada dua faktor penting. Pertama, UMNO memerlukan kepemimpinan daripada pasukan mampu menyumbang kepada pemulihan parti memicu kepada 'kebangkitan semula UMNO.'
Dalam erti kata lain, ia sebahagian usaha 'pembersihan besar-besaran' dengan memilih seorang calon mampu membina keyakinan semula kepada Pemuda UMNO dan sebaiknya Ketua Pemuda dipilih memiliki kredibiliti. Dengan prestasi baik Muhamad Akmal sebagai ADUN Merlimau, ia menjadi faktor pendorong kepada akar umbi memilihnya mengemudi sayap berkenaan.
Kedua, akar umbi memberikan fokus kepada memilih calon menghormati matlamat perjuangan parti. Faktor kedua ini menjadi pendorong kepada akar umbi untuk memilih tokoh mampu membina kesepaduan sosial dalam parti UMNO.
Dari segi pengalaman mungkin Muhamad Akmal masih dianggap baharu, namun faktor kesetiaan dan boleh bekerjasama dalam pasukan menjadi pengaruh sokongan terhadap beliau.
Pada masa sama, ia mungkin juga petanda keseriusan akar umbi memberikan ruang kepada calon muka baharu, progresif dan lebih terbuka yang faktor ini berpotensi membawa kepada perubahan dalaman UMNO.
Justeru, UMNO pasca-PRU-15 berdepan situasi getir, timbul persoalan apakah Muhamad Akmal mampu membawa perubahan kepada kelangsungan Pemuda UMNO seperti diingini akar umbi?
Penulis berasakan dua cabaran utama pastinya akan muncul memberikan tekanan kepada kepemimpinan baharu Pemuda UMNO. Pertama, untuk membina semula keyakinan terhadap parti itu. Tentunya selepas PRU15, dengan kekalahan besar UMNO, ia akan membawa persoalan kemampuan membina semula keyakinan pengundi Melayu-Islam-Bumiputera terhadap UMNO.
Dengan UMNO cuma memiliki 26 kerusi, ia memberikan cabaran besar kepada Muhamad Akmal Saleh, ditambah usaha pembersihan dikatakan memberi kesan negatif kepada imej UMNO.
Strategi komprehensif amat ditagih dalam membina kembali kepercayaan kepada UMNO selaku perwakilan untuk Melayu-Islam. Usaha konstruktif boleh dimulakan dengan memperkukuh peranan ahli Pemuda UMNO melalui kerja imperatif advokasi memfokuskan pembangunan komuniti setempat mengikut bahagian masing-masing.
Ini bertujuan membentuk 'keterlihatan' sumbangan Pemuda UMNO dalam komuniti, selain membina keupayaan agar responsif terhadap isu tempatan membabitkan rakyat tanpa mengira kelas sosial.
Kedua, tugas berat mengawal selia perwakilan. Bukan mudah bagi seseorang yang menjawat ADUN untuk mengepalai sayap parti yang begitu popular dan menjadi rebutan ramai.
Ia juga menjadi petanda Muhamad Akmal bakal berdepan dengan situasi 'kasut besar' perlu diisi selepas perwakilan menolak calon daripada ahli Parlimen. Pada masa sama, ia juga menjadi petunjuk kem Ahmad Zahid memperkukuhkan kedudukan dalam UMNO itu sendiri yang sebenarnya memberikan kesan besar yang negatif dalam meraih majoriti besar pengundi Melayu dalam PRU15.
Oleh itu, Muhamad Akmal disarankan untuk menggiatkan program pembinaan pengkaderan Pemuda UMNO bagi meningkatkan tahap responsif terhadap isu rakyat dan negara.
Pembinaan intelektual bagi Pemuda UMNO perlu segera dilakukan untuk membina potensi kepemimpinan bakat muda dalam UMNO. Program pembangunan bakat juga diberikan penekanan dan seandainya tidak dilakukan segera, kemungkinan besar UMNO bakal berdepan 'krisis kepemimpinan pembinaan generasi' dengan pemimpin muda berkaliber gagal dibangunkan.
Jika berjaya dibangunkan, ia pasti akan mampu menyumbang kepada pembinaan semula kepercayaan pengundi Melayu-Islam terhadap UMNO.
Yang jelas kepemimpinan baharu Pemuda UMNO di bawah Muhamad Akmal bakal berdepan dengan cabaran besar dan jangkaan tinggi dalam membawa sayap Pemuda selari dengan matlamat dan perjuangan UMNO sebenar.
Bagaimanapun, sejauh mana kejayaan proses 'peremajaan' UMNO yang sangat perlu dilakukan sekarang ini baru separuh terjawab melalui keputusan pemilihan sayap. Ini kerana persoalan itu masih menanti jawapan mutlak selepas pemilihan Naib Presiden dan Ahli MKT UMNO, hujung minggu ini.
Penulis adalah Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub dan Felo Penyelidik Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH