PERUNTUKAN sebanyak RM127 juta untuk menyemarakkan industri kreatif, seni dan budaya menerusi Belanjawan 2023, mencerminkan kedudukan industri itu sebagai sektor semakin berkembang di negara ini.
Daripada jumlah itu, Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM102 juta disediakan untuk mendukung penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan. Bagaimanapun, peruntukan itu perlu dipastikan disalurkan dengan tepat, sekali gus mengelakkan ketirisan dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Realitinya, industri kreatif memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus hingga menuntut kewujudan program pendidikan serta latihan untuk menyediakan pekerja seperti ditegaskan dalam kajian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Kajian itu juga mendapati terdapat jurang kemahiran dan pengetahuan pekerja dalam industri kreatif hingga memerlukan lebih banyak program latihan.
Apatah lagi, industri kreatif tanah air juga semakin global hingga Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menegaskan ia perlu dipacu pertumbuhan teknologi baharu dan peningkatan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan kreatif.
Ini boleh dilihat melalui kejayaan syarikat penerbitan filem tanah air, Kuman Pictures, menggunakan teknik pascaproduksi digital untuk mencipta kesan visual dalam filem Fly By Night hingga berjaya meraih anugerah Penyuntingan Filem Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-56.
Dalam bidang fesyen pula, penggunaan inovasi digital dapat meningkatkan kecekapan dalam proses reka bentuk dan pembuatan seperti penambahbaikan pembuatan corak dan prototaip dengan menggunakan pendigitalan, selain pencetakan 3D untuk pengeluaran berskala kecil yang cepat dan kos efektif.
Penggunaan pencetakan 3D itu dapat dilihat melalui pengalaman pereka fesyen, Alia Bastamam, menggunakan teknologi percetakan itu untuk mencipta barang kemas rumit untuk koleksi fesyennya dipamerkan pada Minggu Fesyen Mercedes-Benz 2019.
Malah, pertumbuhan e-dagang di negara ini turut membawa kesan limpahan dengan menyediakan peluang perniagaan baharu kepada industri kreatif untuk menjangkau khalayak lebih luas, sekali gus meningkatkan jualan. Menurut laporan MDEC, hasil e-dagang dijangka meningkat daripada RM113 bilion pada 2019 kepada RM170 bilion (2023).
Tidak hairanlah, platform e-dagang, FashionValet, berjaya mewujudkan pasaran dalam talian untuk rakyat dan memberi peluang kepada pereka fesyen untuk mempamerkan koleksi mereka, sekali gus membantu mempromosikan industri fesyen Malaysia pada skala global.
Antara industri kreatif yang mungkin kurang diberikan perhatian ialah seni permainan yang semakin berkembang pesat di negara ini meskipun menghadapi cabaran dalam mencipta pengalaman mengasyikkan dan menarik.
Justeru, pembangun permainan mula menyepadukan teknologi realiti tambahan (AR) dan realiti maya (VR) ke dalam produk mereka seperti dilakukan syarikat pembangunan permainan Malaysia, Lemon Sky Studios, mencipta pengalaman VR untuk filem Power Rangers. Pengalaman itu membolehkan pengguna berinteraksi dengan watak filem dan meneroka dunia mereka.
Cabaran dihadapi PKS
Bagaimanapun, kita harus mengakui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi cabaran dalam mengguna pakai teknologi IR 4.0 disebabkan kos permulaan tinggi dan kekurangan tenaga kerja mahir.
Namun, PKS berpeluang mendapat manfaat besar daripada IR 4.0 seperti apa diraih Galeri Gajah yang menggunakan teknologi IR 4.0 untuk mendigitalkan koleksi seni dan mencipta platform dalam talian untuk jualan seni.
Platform ini membolehkan pelanggan melihat imej karya seni berkualiti tinggi dan menyediakan maklumat mengenai artis dan karya mereka. Pendigitalan meningkatkan akses kepada koleksi seni dan meluaskan jangkauan galeri melangkaui lokasi fizikal.
Justeru, penerimaan teknologi IR 4.0 dalam industri kreatif dijangka dapat menjana manfaat ekonomi ketara, termasuk peningkatan produktiviti, kecekapan lebih tinggi dan model perniagaan baharu. Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), penggunaan teknologi itu boleh menambah hingga $36 bilion (RM163 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.
Sebelum kita dapat meraih jumlah itu, kerajaan perlu membantu pihak industri mengatasi cabaran penting dari segi kemahiran terutama kekurangan pekerja mahir dengan teknologi digital baharu, selain menangani kebimbangan terhadap hak harta intelek dalam era digital.
Penulis adalah Profesor Madya, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)