Sabtu, 4 March 2023 | 9:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Ujian poligraf, psikometrik sesuai jadi syarat baharu nilai integriti

Terdapat beberapa cadangan dikemukakan supaya ujian poligraf diwajibkan dalam proses tapisan pengambilan pekerja terutama bagi jawatan kritikal agensi awam sebagai usaha menangani masalah ketirisan integriti individu.

Kaedah mengukur tahap dan kecenderungan integriti individu seperti menerusi ujian poligraf dan psikometrik antara ikhtiar perlu dilakukan untuk memperkasa integriti warga kerja.

Ini kerana, meletakkan individu mempunyai tahap integriti tinggi pada jawatan dan bahagian berisiko dalam organisasi memerlukan satu kaedah empirikal yang boleh membuktikan keupayaan individu terbabit berlaku jujur dan amanah menjalankan tugas.

Perkara ini sekali gus dapat membantu mengelakkan timbul isu integriti pekerja terbabit seperti menerima suapan atau rasuah. Dari sudut berbeza, ujian poligraf antara perkhidmatan khas tambahan yang ada di pasaran bagi tujuan menilai tahap integriti seseorang.

Tidak dapat dinafikan integriti seseorang individu tidak boleh diukur sekadar dengan mata kasar. Mungkin ada yang menganggap integriti manusia ada turun naiknya.

Namun, dalam konteks penggunaan kaedah atau alat digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai kecenderungan seseorang individu yang diperoleh secara empirikal, ia dapat membantu pihak pengurusan membuat pilihan terbaik secara kos efektif dari segi pengurusan sumber manusia.

Walaupun calon melepasi ujian poligraf bagi sesuatu jawatan masih mempunyai risiko melakukan pelanggaran integriti, namun ujian poligraf adalah satu kaedah wajar dipertimbangkan organisasi dan pemegang taruh untuk memantapkan sistem tapisan kakitangan.

Dalam isu ini, Institut Integriti Malaysia (IIM) sudah lama memulakan langkah mendidik masyarakat mengenai integriti dan etika termasuk melalui menawarkan instrumen Penilaian Integriti Individu (IIP). Instrumen ini menggunakan kaedah psikometrik dalam mengukur kecenderungan individu. Ia wajar digunakan organisasi komersial sebagai sebahagian daripada tatacara untuk mereka mematuhi Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

 Kurangkan risiko tingkah laku tak beretika 

Apabila dilaksanakan bersama dengan langkah lain, ia boleh membantu mengurangkan risiko tingkah laku tidak beretika dan menggalakkan budaya integriti, seterusnya mengurangkan risiko amalan rasuah dalam organisasi. IIP boleh digunakan dalam pengurusan sumber manusia, terutama dalam proses pengambilan dan kenaikan pangkat.

Ia juga boleh mengukur kejujuran, nilai etika dan perwatakan keseluruhan seseorang, menjadikannya alat sangat berharga untuk organisasi yang ingin mengenal pasti calon sesuai dan tepat dengan nilai serta standard kerja mereka.

Pada masa sama, penggunaan IIP dalam proses pengambilan pekerja boleh membantu organisasi mengenal pasti pekerja berkemungkinan atau ada kecenderungan terbabit tingkah laku tidak beretika atau menyalahi undang-undang.

Maklumat ini boleh membantu organisasi mengelakkan sebarang kerugian disebabkan pekerja tidak beretika. Dalam proses kenaikan pangkat pula, organisasi boleh menggunakan IIP untuk menilai standard etika dan nilai pekerja sedang dipertimbangkan untuk peranan kepimpinan.

Maklumat ini boleh membantu organisasi menentukan sama ada pekerja itu calon sesuai untuk kenaikan pangkat dan juga keperluan latihan diperlukan bagi pegawai terbabit diselaraskan dengan nilai dan piawaian syarikat.

Input diperoleh melalui ujian poligraf pula adalah empirikal, yang mana soalan dibangunkan pada proses awal akan ditanya pada individu. Penghasilan corak graf adalah bergantung kepada tindak balas individu terbabit sama ada bercakap benar atau berbohong.

Sehubungan itu, ujian poligraf dilihat menjadi pelengkap kepada kaedah psikometrik dalam menentukan tahap integriti dan kebolehpercayaan seseorang individu. Namun, sebelum inisiatif ini dapat direalisasikan sepenuhnya, beberapa perkara berkaitan seperti isu perlanggaran peribadi perlu diteliti kerana ia membabitkan kaedah penggunaan peranti pengesan pembohongan.

Selain itu, kriteria pemilihan individu akan menjalani kursus untuk menjadi pakar pemeriksa poligraf bertauliah perlu diperhalusi bagi memastikan ketelusan penjanaan laporan analisis dalam menentukan kecenderungan integriti individu menjalani ujian poligraf.

Walau apa pun kaedah dipilih pengurusan sesuatu organisasi, usaha proaktif untuk meningkatkan kawalan dalaman organisasi bagi menangani penipuan, rasuah dan pelanggaran integriti lain perlu dipertingkatkan. Jelas sekali, kaedah bersesuaian mengikut keperluan dan kemampuan organisasi menyumbang kepada usaha memperkukuhkan integriti warga bagi setiap organisasi.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM)

Berita Harian X