Selasa, 21 Februari 2023 | 9:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Sokongan keluarga, masyarakat prasyarat usaha banteras dadah

Usaha membanteras gejala penyalahgunaan dan penagihan dadah tidak boleh berhenti di sebalik pelbagai cabaran global dihadapi pada era ini berbanding pandemik COVID-19 hingga krisis ekonomi.

Inilah falsafah perlu ditekankan ketika kita menyambut Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan, Ahad lalu, sekali gus menjadi peringatan terhadap tanggungjawab rakyat untuk bersama-sama berganding bahu.

Walaupun slogan 'Lebih Baik Cegah' sering dikumandangkan, selagi setiap individu tiada rasa bertanggungjawab untuk memastikan gejala dadah dibanteras, ia akan terus menyelinap dan merebak dalam ruang masyarakat.

Penyalahgunaan dan penagihan dadah bukan sahaja memberi kesan kepada sistem biologikal diri individu seperti kerosakan saraf, hilang kewarasan dan mengundang pelbagai penyakit bahaya, malah mencetuskan perubahan tingkah laku seperti menipu serta mencuri hingga sanggup membunuh untuk mendapatkan wang membeli bahan berkenaan.

Dadah juga terbukti meruntuhkan institusi keluarga, perceraian dan membawa masalah dalam masyarakat seperti jenayah, pemulauan serta sengketa disebabkan kemerosotan ekonomi keluarga dan ketirisan wang akibat kebergantungan terhadap dadah.

Dalam Islam sendiri, banyak tegahan dan larangan terhadap sesuatu memabukkan serta memudaratkan diri. Istilah al-mukhaddarat atau dadah dalam bahasa Arab juga menjelaskan sesuatu membawa ketidakwarasan akal dan hilangnya pertimbangan bersabit dengan hukum larangan terhadap dadah serta alkohol.

Hakikatnya, manusia disebut 'Zoon Politicon' atau makhluk sosial mengikut pandangan ahli falsafah Yunani, Aristotle. Ia bermaksud manusia pada dasarnya selalu ingin bergaul dan berkumpul dengan orang lain serta suka hidup bermasyarakat.

Oleh itu, manusia perlu bertanggungjawab terhadap komuniti didiami dengan dalam konteks lebih asas, ia merangkumi kumpulan institusi keluarga.

Justeru, tema Pencegahan Dadah Bermula dari Rumah memperlihatkan peranan dan fungsi keluarga sangat signifikan, sekali gus amat penting dalam memastikan pendedahan, larangan menjauhi serta keburukan dadah diserap pada peringkat akar umbi seawal kanak-kanak.

Ibu bapa sokongan terbesar

Ibu bapa menjadi sistem sokongan terbesar anak-anak hingga perlu mendidik dan mengasuh mereka dengan ilmu, amal dan praktik sihat serta selamat.

Terdapat banyak aktiviti pencegahan dijalankan badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Penubuhan Skuad Antidadah umpamanya berperanan untuk menggerakkan aktiviti pendidikan pencegahan dan kesedaran awam mengenai bahaya dadah sebagai inisiatif bijak membanteras musuh negara ini.

Inisiatif seperti Program Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab (SMART), Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan (HADK) dan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA) juga menjadi wadah berkesan dalam meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya dadah.

Sejumlah 70 peratus daripada 44,754 penagih dadah menyertai Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berjaya dipulihkan daripada kembali terbabit dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Rentetan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Januari lalu, menegaskan kadar kepulihan penagih dadah meningkat berbanding hanya 65 peratus dicapai pada tahun sebelumnya.

Malah, Jabatan Penjara Malaysia turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Program Terapi Gantian Metadone sebagai antara kaedah program 'Harm Reduction' untuk pengguna opiate mengalami masalah ketagihan.

Misi program antara lain untuk mengurangkan kesan negatif kesihatan berpunca perlakuan berisiko tinggi penagihan seperti berkongsi jarum yang boleh membawa kepada penularan penyakit berjangkit seperti HIV dan hepatitis C.

Tidak kurang juga, inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui dasar penubuhan Pusat Penyelidikan Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) di universiti tempatan, iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Hakikatnya, masyarakat Malaysia perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam membanteras gejala dadah kerana kesan kerosakan penyalahgunaan najis itu boleh menjejaskan keamanan, keharmonian dan kemajuan negara, sekali gus negara akan kehilangan ramai pewaris dalam menerajui tampuk pemerintahan negara masa hadapan.

Penulis Abdul Rashid adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), manakala Amin Al Haadi adalah Penyelaras, Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA)

Berita Harian X