Sabtu, 18 Februari 2023 | 12:00pm
- Gambar hiasan/file
- Gambar hiasan/file

Kepemimpinan 'bersih' teras keutuhan fungsi sektor awam

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2022 dilaporkan tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan berdasarkan penilaian Transparency International (TI) Malaysia.

Walaupun pada 2022, indeks ini menunjukkan sedikit peningkatan ke 61 daripada 180 negara, banyak penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan kedudukan ini terus meningkat pada tahun berikutnya.

Isu dan permasalahan dipaparkan ini menunjukkan nilai, keperibadian dan tingkah laku seseorang pemimpin amat penting, terutama dalam mempengaruhi budaya dan prestasi sesebuah organisasi, khususnya dalam sektor awam.

Dalam hal ini, elemen kepemimpinan antara aspek perlu diberi keutamaan bagi menjamin sistem pengurusan baik dan seterusnya memastikan keperluan serta kesejahteraan masyarakat dipenuhi.

Kepemimpinan berteraskan nilai etika didapati memberi kesan positif kepada hasil atau produktiviti individu, kumpulan dan organisasi. Ia juga mampu meningkatkan tugas pekerja serta menambah baik prestasi organisasi.

Sebaliknya, kepemimpinan lemah akan menyumbang sekitar 56 peratus kepada punca kegagalan sesebuah organisasi, menurut pakar.

Kegagalan sesebuah organisasi dan kelemahan pengurusan sama ada dalam sektor awam dan swasta adalah sebahagian daripada kesan tidak langsung tingkah laku pemimpin tidak beretika. Ia seiring dengan hujah pandangan mengatakan kepemimpinan tanpa moral adalah punca kemusnahan sesebuah organisasi.

Isu berkaitan penyelewengan dan tingkah laku tidak beretika ini turut memberi kesan kepada CPI Malaysia. Pada 2019 sehingga 2021, CPI Malaysia menunjukkan penurunan daripada kedudukan 51(2019) kepada 57(2020) dan 62(2021).

Utamakan aspek ketelusan, integriti

Lantaran itu, barisan kepemimpinan menerajui sesebuah organisasi perlu mengutamakan dan mementingkan aspek ketelusan, etika dan integriti tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan kerana ia meningkatkan kebolehpercayaan masyarakat dan tahap akauntabiliti sistem pentadbiran kerajaan.

Ini seiring dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangun Malaysia sebagai negara Madani melalui tata kelola adil dan terbaik.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), tata kelola terbaik ialah kemampuan mengurus sumber awam dengan bertanggungjawab, efektif dan tidak menyalahi undang-undang dalam usaha mencapai sesuatu matlamat dipersetujui.

Teras tata kelola terbaik merangkumi ketelusan, integriti, mendaulatkan undang-undang, dasar kukuh, libat urus, akauntabiliti, responsif dan tidak berlaku rasuah serta penyelewengan.

Kepemimpinan beretika berteraskan nilai, integriti dan etika serta memberi tumpuan kepada tindakan bersesuaian dengan mempromosikan perlakuan betul dan beretika kepada warga organisasi dalam proses membuat keputusan, antara perkara mewujudkan tata kelola terbaik seperti disarankan UNODC.

Terdapat banyak pandangan dan pendirian dikemukakan pakar pentadbiran dan kepemimpinan dengan kebanyakannya bersetuju ciri-ciri pemimpin beretika adalah mengutamakan keadilan iaitu tidak mengamalkan pilih kasih, melayan warga organisasi dan pelanggan dengan cara betul dan adil.

Selain itu, mengamalkan perkongsian kuasa dengan membuat pilihan berprinsip dan saksama, membenarkan warga organisasi memberikan cadangan dalam proses membuat keputusan.

Ia termasuk menjelaskan peranan warga organisasi diikuti dengan sedia mendengar idea petugas lain, menjelaskan tanggungjawab masing-masing dan menyampaikan harapan atau matlamat prestasi.

Pemimpin juga perlu berintegriti, beretika, menjaga, menghormati dan menyokong warga organisasi serta pelanggan dan memberi keutamaan terhadap kemampanan persekitaran.

Ciri-ciri kepimpinan beretika ini perlu dijadikan sebagai asas dalam tingkah laku khususnya pada barisan kepimpinan sektor awam kerana ia turut menyumbang kepada The G.R.E.A.T Civil Service seperti disarankan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Penulis adalah Perunding Latihan Kanan,
Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan,
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Berita Harian X