Bahang pemilihan UMNO setakat ini dilihat masih belum begitu 'berapi' kerana persidangan dan mesyuarat lebih tertumpu di peringkat cawangan serta sayap parti.
Namun, pemilihan UMNO tetap menjadi perhatian pemerhati politik selepas menilai prestasi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tindakan terkini Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini.
UMNO dikatakan membuat pilihan sukar pasca PRU15 dengan memecat Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar atas kesalahan melanggar disiplin parti.
Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan digantung selama enam tahun daripada parti atas dakwaan sama dengan Khairy dan Noh.
Ketetapan MKT itu sedikit sebanyak menyebabkan UMNO berhadapan dengan cabaran persepsi imej parti sama ada mewakili Melayu secara inklusif atau sudah menjadi milik kelompok tertentu.
Maka, tidak mustahil, penilaian rakyat terhadap keputusan diambil UMNO bakal diterjemahkan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Langkah 'pembersihan UMNO' sedikit sebanyak bakal memberi impak terhadap peluang UMNO mendepani PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pembersihan UMNO pasti melunturkan sokongan pengundi muda terhadap mereka.
Meminggirkan sebahagian segmen Melayu dan undi orang muda dalam UMNO diramal akan mengundang gelombang undi protes sebagaimana berlaku pada pilihan raya Parlimen Padang Serai pasca kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.
Kitar semula pemimpin lama
Ditambah pula isu sebahagian besar ketua wanita UMNO bahagian mahukan Tan Sri Shahrizat Jalil kembali menerajui pergerakan itu, sekali gus menimbulkan persoalan adakah parti ketandusan pemimpin pelapis sehingga perlu mengitar semula pemimpin lama?
Walaupun tiada yang mustahil di dalam politik, UMNO perlu membuka ruang untuk memberi giliran kepada pemimpin muda untuk mencorakkan perjuangan parti jika benar UMNO mahu berubah dan 'rejuvinasi' parti seperti dilaungkan dalam perhimpunan agung sebelum ini.
Seperti dilihat kini, kepemimpinan UMNO masih banyak dipegang 'orang lama'. Usaha meremajakan parti seperti tidak menjadi keutamaan lagi sedangkan faktor ini penting demi kesinambungan perjuangan parti sesuai dengan perkembangan semasa.
Tidak dapat dipastikan bagaimana kedudukan UMNO nanti apabila pemilihan berakhir pada 18 Mac nanti. Selain jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, adakah akan berlaku perubahan pada jawatan lain?
Apa yang pasti, UMNO memerlukan strategi baharu bagi menghadapi enam PRN tahun ini kerana penjajaran politik baharu dalam wadah Kerajaan Perpaduan memberi cabaran baharu kepada UMNO kerana ia tidak pernah mengharungi situasi itu sebelum ini.
Kepemimpinan UMNO tidak boleh menafikan tiga PRU lalu bagi mencari formula terbaik sekiranya mahu diterima pengundi pada PRN kali ini. Cabaran UMNO hari ini ialah ia berada dalam kerajaan disertai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), bekas seteru kuat mereka.
Apakah kekuatan dan persiapan UMNO untuk menghadapi PRN akan datang dan memenangi hati pengundi Melayu terutama di Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sentimen nasional dan landskap politik yang berubah tidak memungkinkan UMNO perlu terus bergantung kepada mekanisme 'turun padang' untuk memancing undi. PRU15 sudah memberikan jawapan jelas kepada UMNO.
Apakah strategi sama akan digerakkan seperti mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengharungi PRN di Melaka dan Johor. Hakikatnya, UMNO sepatutnya perlu lebih matang serta jujur menilai diri selepas tewas pada PRU14 dan PRU15.
Seruan supaya pucuk kepemimpinan dan ahli UMNO keseluruhannya mesti berubah dan dilihat berubah wajar menjadi menjadi pegangan pemimpin dan ahli parti.
Jika ada pandangan ini bukan lagi zaman kegemilangan UMNO seperti beberapa dekad lalu, berdiri kukuh sebagai parti dominasi memerintah, pemimpinnya perlu melihat realiti hari ini, UMNO terpaksa menumpang orang lain untuk berkuasa.
Pensyarah Kanan Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka