Selasa, 24 Januari 2023 | 12:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Utamakan pengusaha berkualiti urus taska, tadika

Keperluan peluasan taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) dalam bidang pendidikan awal sangat diperlukan sejajar peningkatan kelahiran kanak-kanak global daripada 470.2 juta kepada 488 juta dari 2019 hingga 2020. Selain kelangsungan pendidikan seawal usia kelahiran, keperluan pusat pendidikan awal adalah untuk memenuhi perkhidmatan pengasuhan dan didikan bagi ibu bapa bekerja.

Namun, tidak ramai memberikan tumpuan kepada kepentingan melahirkan pengusaha pusat pendidikan awal kanak-kanak bukan sahaja berkualiti, bahkan kepemimpinan demokratik yang bertanggungjawab membentuk organisasi positif dan produktif.

Konsep kepemimpinan diperlukan ini mencakupi dimensi kesedaran diri, keseimbangan memproses maklumat, penghayatan nilai moral dan ketelusan perhubungan diintegrasikan sehingga berupaya mempengaruhi tingkah laku pekerja.

Secara tidak langsung, kepemimpinan ini perlu dijadikan fokus untuk melihat pengaruhnya dengan sifat pengusaha pusat pendidikan dalam mengendalikan dan menguruskannya untuk menjamin matlamat organisasi dapat dicapai.

Ia menekankan kepekaan terhadap matlamat perlu dicapai selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sekali gus apa ditetapkan dalam kurikulum di taska dan tadika.

Ambil berat tanggungjawab dilaksana

Ciri kepemimpinan diperlukan juga dikaitkan dengan kesabaran kerana pengusaha yang berminat terhadap apa mereka lakukan, perlu mempunyai motivasi intrinsik dan mengambil berat tanggungjawab dilaksanakan.

Ini juga bertepatan dalam konsep Malaysia Madani yang turut menekankan pembangunan sahsiah insan, sekali gus memerlukan pengusaha mempunyai nilai dan mengetahui apa yang mereka lakukan serta tidak berkompromi dengan sebarang nilai negatif. Pembangunan sahsiah berkualiti ini akan mempengaruhi tingkah laku mereka dan bertindak sesuai dengan nilai mereka.

Pada masa sama, pengusaha pusat pendidikan awal juga perlu berkeupayaan meraikan kepelbagaian bangsa, agama dan keupayaan individu dalam memahami amalan hubungan secara diplomasi dan saling berhubung dengan pekerjanya dengan baik.

Pada dimensi ini, pengusaha sentiasa bersedia berkongsi pengalaman dan mendengar pengalaman orang lain, sekali gus berkomunikasi dengan pengikutnya dengan berkesan.

Oleh itu, pengusaha taska atau tadika perlu mengamalkan tahap disiplin tinggi dengan memberi tumpuan terhadap keupayaan memfokuskan matlamat dan bertindak ke arah tujuan dihasratkan negara dan organisasi.

Selain mempunyai pemikiran kritis dan berinovasi, pengusaha perlu sentiasa peka terhadap keperluan orang lain dan berusaha meringankan beban mereka sebanyak mana yang boleh.

Hal ini memerlukan semangat kebersamaan antara pengurusan pada peringkat organisasi kerajaan dan swasta untuk menguruskan pusat asuhan atau didikan melalui kualiti pendidikan dan kebajikan pekerja dengan baik. Penggemblengan tenaga secara kolektif ini diharapkan dapat menambah baik sistem perkhidmatan pendidikan berkualiti kepada perkembangan kanak-kanak, di samping memberi manfaat sesebuah organisasi di tempat kerja.

Penulis adalah Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)

Berita Harian X