Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini berkata, Perhimpunan Agung UMNO bermula hari ini adalah simbolik kebangkitan parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selain memberi signifikan tersendiri selepas UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.
Perhimpunan itu juga menurut beliau dijangka membincangkan persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang kelak.
Timbalan Menteri Kewangan itu turut menegaskan, baki semangat yang ada pada UMNO hari ini akan kekal untuk muhasabah diri bagi melaksanakan the way forward atau jalan ke hadapan tertentu.
Natijahnya, UMNO perlu melakukan perubahan besar dan kembali kepada landasan perjuangan asal jika berazam bermuhasabah dan berubah, khasnya untuk kepentingan agama, bangsa dan negara, bukan kepentingan peribadi sehingga menghancurkan parti.
Kesucian UMNO tidak boleh lagi dicemarkan dengan pemikiran dangkal, tidak berasas dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan peribadi. UMNO harus terus menjadi wadah perjuangan bangsa bagi kebangkitan semula anak muda Melayu dalam kepimpinan politik.
UMNO perlu memberi ruang kepada pemimpin muda meneraju parti bagi menarik sokongan mereka. Pasukan Ambil Peduli atau Take Care Team perlu ditubuhkan mengikut peringkat usia bagi memastikan anak muda tertarik dan bersama perjuangan UMNO.
Tidak cukup dengan hanya meremajakan parti, lebih daripada itu UMNO perlu berubah. Jika gagal berubah, UMNO menjadi semakin tidak relevan dan orang Melayu yang selama ini menjadi tonggak sokongan, akan memilih parti lain mengikut kesesuaian semasa.
Rakyat tidak mahu sebuah parti diuruskan seperti menjadi hak milik peribadi tertentu dan terpisah daripada masyarakat. UMNO terutama pemimpin atasannya perlu sedar kekalahan pada PRU15 berpunca daripada kumulatif rasa tidak yakin dengan perjuangan parti untuk rakyat, tetapi lebih kepada menjayakan kelompok bangsawan di dalam parti.
Pemimpin bawahan juga berlumba-lumba untuk mencapai cita-cita peribadi seperti pemimpin atasan sehingga melupakan tujuan asal terjun ke dalam dunia politik serta melayari bahtera UMNO.
Kembali kepada perjuangan asal
UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal dan keutamaan parti adalah tertumpu kepada suara akar umbi yang mahu sebuah institusi berupaya membawa suara serta nasib rakyat. Realiti perlu diakui. walaupun tujuh dekad di persada politik negara, kehidupan masyarakat Melayu dilihat tidak banyak berubah dalam pelbagai sudut terutama ekonomi.
'Orang UMNO' perlu menjadikan perhimpunan agung kali ini amat penting dan kritikal, terutama bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti keramat orang Melayu ini. Sudah sampai masa skop perjuangan sebenar dijelmakan dalam bentuk tindakan, bukan lagi sekadar 'cakap politik'.
Beberapa isu melanda rakyat hari ini perlu ditangani segera, manakala tindakan hendaklah pantas dilakukan dengan lebih mengutamakan agenda perjuangan Melayu walaupun ia mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.
Oleh itu, semua pemimpin UMNO harus berhenti saling bercakaran, sebaliknya menunjukkan akhlak Islam dan Melayu yang baik kepada rakyat khususnya kepada bukan Islam dan Melayu. Keperibadian Islam dan Melayu jangan lagi diperjudikan melalui perang politik sesama sendiri.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka