Khabar angin kononnya 'Langkah London' mirip Langkah Sheraton membuka tahun baharu, sekali gus menimbulkan persoalan gugatan terhadap kestabilan kerajaan.
Beberapa perkembangan dikaitkan termasuk notis kekosongan empat kerusi Parlimen di Sabah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, minggu lalu, selain siapa bakal menang pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang boleh mempengaruhi jajaran kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).
Jelas kedudukan Kerajaan Perpaduan masih belum kukuh. Atas kertas, sokongan 148 ahli Parlimen membentuk majoriti dua pertiga masih belum selamat untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berasa selesa.
Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjelang, perbincangan penjajaran dan kerjasama politik antara parti perlu dipertimbangkan, tetapi ada beberapa persoalan perlu diteliti.
Pertama, sejauh mana keperluan Barisan Nasional (BN) dan PH bekerjasama. Kedua, siapakah akan beruntung sama ada hanya sepihak, kedua-duanya atau semua rugi?
Gelombang hijau merujuk kepada ayunan undi majoriti Melayu menjadi pasak keperluan kerjasama itu. Mengambil kira momentum Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO-BN dan PH sukar membalikkannya.
Potensi PN menyapu bersih negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, di samping merampas Negeri Sembilan serta mengurangkan kerusi PH di Selangor dan Pulau Pinang dijangka tinggi.
Senario itu menunjukkan BN-PH perlu bekerjasama. Di Padang Serai dan Tioman, persetujuan secara budiman menyaksikan masing-masing memberi laluan kepada calon parti bertanding.
Cuma, hasilnya tidak berapa menjadi. PH kalah teruk di Padang Serai, manakala BN menang tipis di Tioman. Justeru, belum ada jaminan kerjasama dalam PRN akan menguntungkan semua, walaupun masih menguntungkan satu-satu parti.
Elak pertembungan sesama sendiri
Namun, kerjasama BN-PH masih perlu, setidak-tidaknya mengelakkan pertembungan sesama sendiri. Peratus sokongan berdasarkan kaum ketika PRU15 menyaksikan PN mendapat undi Melayu tertinggi, iaitu 54 peratus, diikuti BN (33 peratus) dan PH (11 peratus), manakala undi Cina diperoleh PH ialah 94 peratus; BN (5 peratus) dan PN (1 peratus).
Mengambil kira peratusan keluar mengundi PRN rendah, kemungkinan BN-PH menguasai atau sekurang-kurangnya mengimbangi PN masih ada. BN masih mempunyai kekuatan akar umbi di kawasan Melayu sukar disaingi PN sekiranya pengundi luar tidak pulang.
PH masih ampuh di kerusi bukan Melayu, sekali gus memberikan kelebihan di negeri demografi pengundi bercampur. Gabungan kedua-dua faktor ini menjadikan kerjasama BN-PH adalah cara terbaik menghadapi PRN.
Soalnya bagaimanakah boleh dilakukan dan apakah naratif percaturannya?
Sudah ada cakap-cakap, BN-PH akan bekerjasama sebagai pasukan untuk PRN Pulau Pinang selepas kompromi baik di Perak dan Pahang. Namun, kerjasama selepas pilihan raya lebih mudah dibentuk berbanding sebelum pilihan raya.
Penyokong PH terutama DAP dilihat tidak bermasalah menerima UMNO kerana pernah berbuat demikian dengan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR). Namun dalam konteks UMNO-BN, DAP masih belum diterima orang Melayu, terutama di jajaran negeri Melayu (Malay Belt).
Pada masa sama, MCA dan MIC mungkin berdepan peminggiran sistematik dalam politik arus perdana dengan kehadiran DAP sebagai rakan strategik BN.
Oleh itu, naratif kerjasama BN-PH perlu dibentuk dalam kerangka strategik pilihan raya. Pertama, ia tidak boleh menjejaskan status quo memandangkan keperluan utama adalah memastikan tiada pertembungan yang berpotensi menjejaskan peluang parti berhadapan dengan PN.
Kedua, semua parti perlu mengemukakan pendekatan lebih sederhana, pragmatik dan sentris untuk mengimbangi pendekatan PN tradisionalis-populis. Ini mungkin sukar memandangkan bebanan terbesar buat BN-PH mencari titik kesederhanaan untuk mengimbangi tuntutan akar umbi dengan mengikis konstruksi dan persepsi pengundi.
Keperluan menterjemahkan agenda kestabilan politik dan kemakmuran bersama sebagai kerajaan campuran tanpa menjejaskan identiti dan ideologi masing-masing ialah kunci pendekatan itu. Namun, ia masih belum kuat menyaingi sentimen populis Melayu-Islam terutama dalam kalangan pengundi Melayu selagi UMNO tidak berupaya mengemukakan sosok Malay Statesmen meyakinkan.
Ketiga, kerjasama itu juga perlu menunggu siapakah akan mengemudi UMNO. Kalau PRN sebelum PAU dan pemilihan selesai, kerjasama BN-PH mungkin lebih rumit dirungkaikan. Di samping jangka hayat kerajaan campuran juga tergantung kepada hasil PAU, kerjasama dalam PRN juga sama.
Sekiranya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden UMNO, kedua-dua perkara itu boleh berlaku. Andai sebaliknya, ada kebarangkalian kedua-duanya akan bertukar haluan.
Pragmatisme kerjasama politik bersifat dinamik. Kekuatan penyandang dan pembentukan gabungan tidak seimbang dalam pilihan raya boleh menambah atau mengurangkan peluang parti politik lain menyertai pertandingan. Pada akhirnya, kaedah pragmatik kerjasama dan gabungan parti politik dalam pilihan raya berbalik kepada orientasi sebenar penyertaan dalam pilihan raya, iaitu mendapatkan kuasa.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM)