Khamis, 5 Januari 2023 | 12:01pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perluas bantuan murid TASKA, TADIKA

Polemik yuran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) pasti menjadi topik sekitar tahun baharu terutama isu kenaikan harga. Mahu atau tidak, pasangan suami isteri bekerja tiada pilihan kecuali menghantar anak ke TASKA dan TADIKA, apatah lagi ia juga berkait kepentingan pendidikan awal kanak-kanak.

Bagi pengusaha TASKA dan TADIKA yang bergantung dengan yuran pelajar sebagai satu-satunya sumber pendapatan, juga tiada pilihan. Ini kerana kenaikan harga barang dan polisi gaji minuman RM1,500 menyebabkan mereka terpaksa menaikkan yuran tahunan dan bulanan.

Hakikatnya, isu ini perlu ditangani dengan serius kerana tiada penyelesaian tuntas sejak dahulu lagi, malah berpusing-pusing pada lingkungan sama.

Kerajaan perlu sedar jika perkara ini tidak ditangani, impak boleh dilihat pada penarikan wanita daripada pasaran kerja dan populasi negara boleh terjejas.

Kajian menunjukkan wanita lebih memilih untuk berhenti kerja atau tidak bekerja apabila berhadapan masalah penjagaan anak atau kos yuran TASKA dan TADIKA tinggi.

Menurut Jabatan Perangkaan, wanita menyumbang lebih 55 peratus kepada ekonomi negara pada 2020, sekali gus bermakna golongan itu menyumbang RM776.9 bilion kepada pembangunan Malaysia. Jika ramai wanita menarik diri daripada sektor pekerjaan, sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), iaitu 59 peratus pembabitan wanita tidak akan tercapai.

Setakat 2020, kadar penyertaan wanita dalam pasaran kerja adalah 55.3 peratus dengan purata peningkatan tahunan 0.28 peratus, sekali gus sangat berbeza dengan penyertaan wanita negara jiran seperti Singapura dan Thailand pada 2019, iaitu masing-masing 69 peratus serta 67 peratus.

Kadar kelahiran negara menurun

Kesan kedua perlu diberikan perhatian juga ialah penurunan kadar kelahiran negara yang akan memberi kesan kepada populasi negara. Pada suku kedua 2021, berlaku penurunan kadar kelahiran akibat pandemik COVID-19 termasuk faktor kos penjagaan anak.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merekodkan kebanyakan keluarga pada 2019 lebih selesa mempunyai seorang atau dua anak berikutan kesukaran wanita mengimbangi peranan antara keluarga dengan kerjaya.

Justeru, kerajaan dalam Bajet 2019 menyuntik dana RM10 juta kepada agensi kerajaan menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi memberi galakan wanita kembali bekerja.

Agensi kerajaan ada menyediakan perkhidmatan awal kanak-kanak dengan yuran bulanannya rendah berbanding premis swasta tetapi sangat sedikit terutama di bandar dan terhad kepada B40.

Tinjauan media tempatan juga menunjukkan ramai ibu bapa tidak dapat menghantar anak-anak ke TADIKA kendalian agensi kerajaan di bandar kerana kekurangan kelas dan perlu mengutamakan golongan itu.

Ini menyebabkan mereka terpaksa menghantar anak ke TASKA dan TADIKA swasta dengan caj yuran pendaftaran hingga RM1,000 dan bayaran bulanan antara RM300 hingga RM700 untuk seorang kanak-kanak.

Di negara ini, kos pendidikan TASKA dan TADIKA lebih mahal berbanding sekolah rendah tetapi bantuan persekolahan untuk kanak-kanak Tahun Satu hingga Tingkatan Lima sahaja.

Kerajaan tidak boleh melihat masalah pendidikan awal kanak-kanak ini sebagai isu kecil kerana mereka ialah aset bakal menentukan masa depan negara. Jika aspek pendidikan dan penjagaan itu tidak diberikan perhatian, Malaysia dibimbangi menghadapi kekurangan sumber manusia dan insan berkualiti pada masa depan.

Penulis adalah Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat, Ikatan Muslim Malaysia (ISMA)

Berita Harian X