MALAYSIA sering dilanda bencana, terutama musim tengkujuh seperti banjir dan tanah runtuh, namun pengalaman menunjukkan tahap kesiapsiagaan masyarakat, terutama di kawasan berisiko bencana seperti tidak berubah.
Ini menunjukkan pengurusan risiko bencana lebih mampan secara holitistik perlu diwujudkan bagi memberi amaran awal kepada masyarakat untuk lebih bersiap sedia berhadapan malapetaka alam pada masa depan.
Selain penggunaan teknologi canggih seperti teknologi dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) untuk mengesan, memantau dan melaporkan bencana alam, sistem lebih holistik diperlukan bagi membolehkan semua pihak dan agensi bertanggungjawab untuk lebih bersedia serta berwaspada menghadapi bencana, terutama pada musim tengkujuh.
Dalam pengalaman bencana banjir minggu lalu, sistem pengurusan banjir dapat digerakkan sebelum berlaku bencana namun persiapan manusia ternyata tidak mampu mengatasi kuasa alam.
Namun, berdasarkan kepakaran dimiliki, satu garis panduan daripada pihak berkuasa boleh diwujudkan untuk menjadi prosedur operasi standard (SOP) kepada penduduk untuk lebih bersedia sebelum, ketika dan selepas bencana.
Pemantauan berkala untuk mengkaji kawasan terdedah kepada banjir atau risiko bencana perlu dilaksanakan, sama ada menggunakan teknologi IR 4.0, dron, sistem maklumat geografi (GIS) dan ramalan kaji cuaca.
Selain itu satu latihan perlu dilaksanakan antara pasukan penyelamat dan penduduk di kawasan berisiko bencana sebagai pendedahan jika malapetaka berlaku di kawasan mereka.
Paling penting, komuniti di sesuatu penempatan, termasuk wakil rakyat, ketua kampung, ahli jawatankuasa penduduk dan warga setempat perlu digerakkan untuk mengetahui fungsi masing-masing bagaimana untuk menyelamatkan diri apabila bencana berlaku.
Di Australia, sistem amaran banjir untuk sungai membabitkan Biro Meteorologi (BoM), menyediakan ramalan ketinggian air sungai di lokasi tertentu kepada pihak berkuasa dan orang ramai melalui media dan laman web.
Kerajaan tempatan atau Perkhidmatan Kecemasan Negeri di Australia kemudian mentafsir ramalan BoM untuk menyediakan maklumat mengenai kawasan mungkin terjejas, kesan berpotensi dan nasihat tindakan kepada mereka berisiko.
Mesej juga disebarkan ke seluruh masyarakat, terutamanya melalui rangkaian peribadi atau tidak formal. Media sosial dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai amaran bencana serta langkah menyelamatkan diri.
Di Malaysia, penggunaan media sosial perlu diperkasakan supaya komuniti setempat lebih cakna dan bersiap siaga untuk mengurus risiko bencana mendatang.
Dalam aspek ini, sistem amaran dibangunkan dan ditempatkan di kawasan berisiko bencana seperti banjir harus memenuhi beberapa sifat teknikal dan komunikasi.
Pertama, ia harus bermaklumat. Sebagai contoh mesej amaran harus menunjukkan apakah ancaman itu, tindakan perlu diambil.
Kedua, maklumat disalurkan harus tepat. Memandangkan amaran adalah ramalan mengenai perkara belum berlaku, mungkin wujud beberapa maklumat yang belum pasti.
Dengan membabitkan diri dengan komuniti setempat, semua pihak lebih bersiap siaga pada amaran bencana.
Ketiga, ia harus tepat pada masanya. Ini bermaksud, amaran perlu memberi masa cukup untuk tindakan sewajarnya. Keempat, amaran bencana perlu menjadi maklumat dikongsi yang sahih untuk dipercayai.
Kelima, amaran dikeluarkan mampu difahami dan menjangkau kepada semua khalayak sasaran. Sistem amaran berfungsi dengan baik apabila direka dengan mengambil kira keperluan dan jangkaan pengguna.
Kesimpulannya, sistem holistik bermaklumat cepat dan pantas untuk pengurusan banjir perlu dilaksanakan dengan segera dan konsisten bagi mengurangkan kes kematian serta jumlah kerosakan harta benda.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)