Pemberian bonus kepada kakitangan sebuah organisasi adalah amalan biasa sebagai menghargai sumbangan mereka dalam meningkatkan produktiviti dan keuntungan syarikat. Ini ibarat perkongsian hasil dituai bersama. 'Sama-sama tanam, sama-sama tuai'.
Di Malaysia, hal sama turut menjadi perkara biasa khasnya dalam kalangan pekerja swasta termasuk kakitangan syarikat milik atau berkaitan kerajaan.
Suatu ketika, sebuah syarikat milik kerajaan pernah dilaporkan memberi bonus sehingga enam bulan gaji untuk semua lapisan pekerjanya. Ramai terkejut dengan kemurahan hati majikan ini.
Namun itu hak syarikat menentukan hal itu berdasarkan hasil untung-rugi dalam suatu tempoh perniagaan. Dalam kalangan penjawat awam, bonus juga bukan perkara baharu.
Ia bukan sebahagian imbuhan dan pembayaran gaji sejak sejarah perkhidmatan awam. Dalam surat tawaran kerja, bonus tidak disebut langsung. Pemberian bonus mungkin bermula sekitar lewat 1990-an ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Ketika itu ada orang menghubung-kaitkan pemberian bonus sebagai langkah parti pemerintah cuba mendekati dan 'membeli jiwa' penjawat awam.
Sebelum itu, kerajaan BN pernah mengubah syarat pengesahan jawatan ke dalam perkhidmatan awam pada pertengahan 1980-an kerana ramai penjawat awam tidak lulus bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Daripada syarat minimum kredit untuk pengesahan jawatan, maka ia diturunkan kepada 'lulus' untuk sekumpulan pekerja bagi membolehkan mereka disahkan dalam jawatan masing-masing sebelum bersara daripada perkhidmatan.
Kini, Kerajaan Perpaduan mengumumkan beberapa insentif dan pemberian bantuan kewangan dalam Bajet Mini dibentang pada sesi pertama sidang Parlimen ke-15.
Apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk, CUEPACS dilaporkan menuntut kerajaan memberi bonus satu setengah bulan gaji. Di sini timbul persoalan apakah asas CUEPACS menuntut bonus untuk 2022?
Apakah kualiti perkhidmatan awam meningkat dalam tempoh pembayaran bonus diminta? Adakah kutipan cukai negara meningkat daripada individu dan syarikat? Apakah petanda kualiti meningkat untuk menjadi justifikasi pertimbangan pemberian bonus bagi 2022?
Dalam hal ini, menuntut bonus itu wajar, namun apabila meminta, ia perlu bergantung kepada asas kukuh dan bukan meminta kerana sekadar 'hanya mahu minta'.
Persoalan berbangkit, adakah CUEPACS mahu menjadi seperti parti politik merasakan ketuanya perlu mengemukakan permintaan kepada kerajaan untuk menunjukkan beliau menjalankan tugas sebagai ketua pertubuhan itu.
Kerajaan yang berkhemah perlu menimbang dengan baik kewajaran memberi bonus. Kerajaan tidak perlu menggunakan pemberian bonus untuk mendekati dan 'membeli' sokongan penjawat awam.
Menyokong kerajaan semasa memerintah menjadi tugas dan tanggungjawab penjawat awam tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan atau balasan.
Namun sekiranya kerajaan mahu memberi bonus kepada penjawat awam, ia harus disandarkan kepada petunjuk jelas kerana duit rakyat patut digunakan dengan berkhemah dan berjimat cermat.
Tambahan pula, penjawat awam sudah diberi jaminan kerja dan saraan atau elaun tertentu. Apa juga yang terjadi dan berlaku dalam skop pentadbiran negara, penjawat awam tetap menerima gaji mereka setiap bulan.
Setiap tahun pula, gaji penjawat turut meningkat. Justeru, kewajaran meminta satu setengah bulan bonus bagi penjawat awam ketika negara masih berusaha mengawal kos sara hidup meningkat perlu dinilai secara mendalam.
Kerajaan yang baru dibentuk ini perlu membaik pulih ekonomi dan mengawal inflasi serta kenaikan kos sara hidup. Maka, tidak bolehkah kita semua bertanggungjawab dari sudut masing-masing untuk membantu kerajaan. Bak kata pepatah 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.
Penulis adalah Felo Akademi Sains Malaysia