Ada anggapan kerajaan campuran seperti kita saksikan ini, tidak kukuh dan stabil kerana membabitkan lebih satu blok parti. Parti dan blok lebih besar terpaksa tunduk kepada syarat atau persetujuan parti kecil, manakala pentadbiran tidak stabil, lemah dan kurang efektif menyelesaikan isu utama.
Namun, ada juga sarjana sains politik beranggapan sebaliknya. Malah, Malaysia tidak sendirian membentuk kerajaan campuran dijenamakan sebagai Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menyertai 80 negara lain pernah dan sedang ditadbir melalui bentuk seumpama ini.
Di Jerman misalnya, kerajaan campuran bukan sahaja selalu ditubuhkan, malah pelbagai nama jolokan diberikan. Sekarang, ia ditadbir 'kerajaan lampu isyarat' kerana warna Parti Sosial Demokrat (SPD) ialah merah, Parti Liberal FDP (kuning) dan Green Party (hijau).
Ada juga konsep 'kerajaan Jamaica' pada peringkat negeri kerana sama warna bendera negara kepulauan Caribbean, iaitu kuning dan hijau merujuk kedua-dua parti di atas dan Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) dipimpin Angela Merkel serta Kesatuan Sosial Kristian (CSU) masing-masing berwarna hitam.
Malah Merkel tidak menjadi Canselor Jerman antara 2005 hingga 2021 atas kapasiti partinya semata-mata kerana setiap kali pilihan raya, mereka terpaksa membentuk kerajaan campuran, termasuk tiga kali 'campuran besar' atau lebih dikenali sebagai GroKo.
Bulan ini, Denmark menubuhkan kerajaan campuran buat kali pertama seperti Malaysia selepas enam minggu Parlimen tergantung. Fiji pula melalui senario sama selepas tumbangnya pemimpin rampasan kuasa dan bekas Perdana Menteri, Frank Bainimarama yang memerintah 16 tahun.
Ini bermakna kerajaan campuran tidak berkadar secara langsung dengan ketidakstabilan, sebaliknya kekukuhan atau kerapuhan bergantung kepada faktor lain seperti Ahli Parlimen dan parti politik, jentera kerajaan, sistem perundangan, media massa dan akhir sekali tak kurang penting adalah kefahaman rakyat serta pengundi.
Namun, dalam kelima-lima faktor itu elemen rakyat dan pengundi mungkin ramai terlepas pandang kerana menganggapnya hanya penting ketika proses kempen serta pengundian.
Cuma sejauh mana kematangan rakyat berpolitik dapat membantu memastikan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertahan sekurang-kurangnya hingga Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?
Ini tentu memerlukan penyelidikan lanjut daripada ahli akademik, pengkaji dan penganalisis, terutama sains politik serta kenegaraan, tetapi senario semasa dicerap menerusi interaksi di media sosial kurang memberikan gambaran baik, bahkan cenderung negatif terhadap tahap kematangan.
Kita boleh lihat dua kumpulan dominan di media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok, iaitu penyokong parti kerajaan dan penyokong parti pembangkang. Kedua-dua kumpulan ini pasti berbeza, tetapi jika dicerakin betul-betul, memiliki persamaan ketara, iaitu pertama, fanatik dan taasub kepada pemimpin serta parti disokong, manakala kedua agresif menyerang sesiapa sahaja bertentangan dengannya.
Saling 'menghentam' pihak lawan
Setiap kali ada imej positif pemimpin dalam bentuk teks, gambar atau video, maka satu kumpulan akan memakai topi fanatik dan taasub sehingga memuji secara melampau, tetapi kelompok satu lagi mengenakan jubah sama untuk menyindir dan mengeji. Apabila muncul imej pemimpin lawan, kedua-dua golongan ini akan saling 'bertukar' skrip.
Ambil sahaja satu insiden mudah apabila Anwar bercanda ketika prasidang media dengan bertanyakan di mana RTM kepada wakil media di hadapannya dan juga Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Insiden itu dimuat naik di media sosial, tetapi hantaran tulisannya mempertikaikan RTM kerana sengaja tidak menghantar wartawan yang boleh ditafsirkan atas sebab politik. Akibatnya, berbondong-bondong warganet memberi reaksi negatif sehingga ada menyumpah seranah atau memaki hamun pengurusan stesen televisyen kerajaan berkenaan.
Hakikatnya, Perdana Menteri hanya bercanda kerana biasanya wakil RTM akan memberikan isyarat bahawa boleh dimulakan yang tentunya senario lazim dalam mana-mana sidang media membabitkan media televisyen.
Malangnya, sumpah seranah dan maki hamun sudah dihamburkan dan hantaran tulisan seperti itu akan berulang pada masa depan, manakala penjelasan diberikan ibarat mencurahkan air ke daun keladi.
Ini bukan insiden terpencil, sebaliknya kita akan melihat dua kumpulan itu saling mengambil kesempatan untuk memuja pemimpin disokongnya atau mengeji sesiapa sahaja dianggap musuh. Kewujudan dua kumpulan terbelah sebegini yang mengidentifikasikan diri atas nama parti semata-mata dan melihat sesiapa bertentangan sebagai musuh sangat berbahaya dalam konteks kematangan politik dan demokrasi di negara ini.
Ini mengingatkan saya dengan dialog mengandungi wacana terbaik mengenai kewartawanan dalam drama siri televisyen, iaitu The Newsroom, apabila Will McAvoy lakonan Jeff Daniels menjerit kepada Mackenzie MacHale (Emily Mortimer):
"Saintis sosial simpulkan negara ini terbahagi dua berbanding masa lain sejak era Perang Saudara. Perang Saudara!"
Kita pasti tahu apa yang berlaku kepada Amerika Syarikat (AS) sekarang sejak rakyat mengidentifikasikan atas nama parti sama ada Republikan atau Demokrat. Apakah polarisasi sebegitu mahu kita saksikan di negara ini?
Kerajaan dan pembangkang perlu berbuat sesuatu supaya tidak hanya Ahli Parlimen mereka boleh duduk semeja di kafe Parlimen, rakyat juga tidak terpecah serta bermusuhan secara negatif sebegini.
Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana)