Isnin, 19 Disember 2022 | 12:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Manfaat institusi zakat dalam sekuriti makanan

Oleh Dr Muhammad Hafiz Badarulzaman

[email protected]

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah warganegara Malaysia pada tahun ini dianggarkan 30.2 juta berbanding 30 juta pada 2021. Daripada jumlah itu, komposisi Bumiputera meningkat 0.3 peratus kepada 69.9 peratus pada 2022 berbanding 69.6 peratus pada 2021.

Peratusan penduduk Cina dan India menurun, manakala jumlah etnik lain tidak berubah. Menariknya, peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas juga meningkat daripada 7 peratus kepada 7.3 peratus bagi tempoh sama.

Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia kini ke arah menjadi negara menua. Peningkatan populasi ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan makanan dalam negara.

Sejajar dengan itu, kerajaan melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bertujuan memberikan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

Dalam menjayakan agenda transformasi sistem makanan negara serta menyelesaikan krisis komoditi bekalan ternakan khususnya telur, agensi mengurus zakat (AMZ) dilihat mampu membantu untuk menjamin bekalan makanan asas kepada penduduk Malaysia amnya dan golongan asnaf khususnya.

AMZ boleh mewujudkan geran khas pembangunan usahawan industri ternakan ayam bagi menjamin pengeluaran optimum dan produktiviti secara berterusan supaya industri ini terus kekal berdaya saing dan memenuhi tahap sara diri (SSL), komponen utama sekuriti makanan.

SSL digunakan sebagai penunjuk untuk mengukur kemampuan sebuah negara untuk memenuhi keperluan makanan daripada pengeluaran domestiknya sendiri.

Model boleh dijadikan rujukan menjayakan mekanisme ini ialah Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang membangunkan inisiatif Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SMART SBB) di Yan, Kedah.

Projek ini membabitkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta 32 peserta dengan kawasan tanaman seluas 100 hektar.

Inisiatif ini dijangka meningkatkan hasil pengeluaran padi sehingga tujuh tan per hektar berbanding purata antara tiga hingga 3.5 tan dihasilkan petani konvensional ketika ini.

Tingkat pendapatan, turunkan kemiskinan

Tidak mustahil sekiranya AMZ di negeri seluruh Malaysia dapat membangunkan konsep sama seperti LZNK. Inisiatif ini selaras dengan DAN 2.0 menerusi Strategi Meningkatkan Pertumbuhan dan Kemampanan dalam Industri Ternakan Ayam/Itik.

Secara tidak langsung sasaran utama SSL menjelang 2030 untuk menghasilkan 123 peratus bagi telur ayam boleh dipenuhi.

Paling utama, jika gagasan inisiatif ini berjaya direalisasikan, usaha untuk membina dan membangun kehidupan golongan asnaf bagi memenuhi keperluan asas dan keperluan lain turut boleh dicapai.

Di samping itu, gagasan idea ini juga dapat meningkatkan pendapatan dan menurunkan kadar kemiskinan serta mengurangkan jurang kaya serta miskin di negara ini.

Inisiatif ini juga dilihat mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan golongan asnaf supaya tidak perlu bergantung lagi kepada sumber zakat semata-mata.

Ini bermakna, idea mewujudkan usahawan dalam industri tanaman dan ternakan dapat membantu golongan asnaf menjadi lebih berdikari, selain mengurangkan masalah pengangguran.

Apa yang penting, mekanisme terpilih mampu membawa transformasi kepada sistem pengeluaran makanan negara, termasuk jika dijayakan AMZ seluruh negara. Mekanisme ini juga mampu membantu memenuhi keperluan makanan daripada pengeluaran domestik.

Penulis adalah Ketua Unit Penyelidikan Shariah dan Undang-Undang Perniagaan Islam (SHURA), Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X