Keluarga institusi amat penting dalam pembinaan masyarakat. Soalnya, bagaimana hendak memastikan sesebuah keluarga itu dapat dibina dengan sihat dan sejahtera secara dalaman serta luaran.
Hal ini boleh dinilai menerusi pelbagai aspek, salah satunya adalah dari segi kohesi atau sejauh mana kuatnya hubungan ahli dalam sesebuah keluarga itu. Kohesi dalam keluarga adalah sejauh mana rapatnya hubungan antara ahli keluarga itu sehingga ia memberi kesan kepada kesihatan keluarga secara keseluruhan.
Hubungan yang terlalu rapat dan ekstrem atau terlalu jauh antara ahli keluarga akan membawa kesan kepada pembentukan keluarga yang kurang sejahtera. Bermakna, hubungan antara ahli keluarga seharusnya berada dalam tahap seimbang, tidak terlalu rapat sehingga tiada sempadan dan tidak terlalu jauh sehingga terputus.
Sempadan ini merujuk kepada apakah yang boleh dan tidak boleh berlaku dalam hubungan kekeluargaan. Keluarga yang mempunyai tahap kohesi seimbang mampu menjadikan ahlinya berfungsi dengan baik dalam memainkan peranan masing-masing. Ini bermaksud, setiap ahli keluarga dapat mengekalkan hubungan emosi rapat dalam keadaan seimbang tanpa melanggar hak ahli keluarga lain.
Ahli keluarga ini juga mampu berdikari dan tidak bergantung dengan ahli lain serta lebih cenderung mengekalkan kehidupan baik dalam kitaran keluarga. Sebaliknya, jika wujud ketidakseimbangan kohesi dalam keluarga, seperti hubungan antara adik beradik yang terlalu rapat, bebas berkongsi apa sahaja rahsia, sehingga berlaku pelanggaran hak dan privasi, ia berisiko mengalami keretakan.
Ruang peribadi terbatas
Hubungan rapat ini pada awalnya mungkin dilihat sebagai sihat dan normal, namun semakin membesar individu terbabit dan suasana itu berterusan, mungkin menyebabkan keadaan lebih sukar. Anak yang dididik tanpa sempadan dalam keluarga, bebas memasuki sempadan ahli keluarga lain, mungkin akan terbawa-bawa kebiasaan itu apabila mereka berkahwin.
Tambah sukar, apabila pasangan dibesarkan dalam keadaan persekitaran berbeza, ia mungkin menyebabkan pelanggaran hak antara satu sama lain yang lebih ekstrem. Tanpa sedar, keadaan inilah menyulitkan proses penyesuaian pasangan khususnya pada awal tempoh perkahwinan.
Keadaan tidak seimbang ini menjelaskan jika tautan emosi secara ekstrem wujud dalam keluarga, ia menyebabkan ahli keluarga menjadi terlalu bergantung antara satu sama lain.
Kebergantungan amat kuat ini ada kala menyebabkan ruang peribadi ahli keluarga lain menjadi terbatas. Bagi keluarga yang hubungannya tidak rapat atau terlalu menjarakkan diri, ia juga mewujudkan keadaan tidak seimbang.
Dalam situasi ini, biasanya ahli keluarga akan membuat hal masing-masing, di samping sangat mementingkan ruang dan masa tersendiri.
Ahli keluarga seperti ini juga tidak mendapat sokongan dan bantuan dalam penyelesaian masalah jika berhadapan dengan sesuatu masalah. Dalam erti kata lain, keluarga ini tidak mempunyai sistem sokongan utuh apabila berhadapan dengan situasi sukar.
Secara kesimpulannya, tahap kohesi ekstrem sama ada terlalu tinggi atau terlalu rendah dalam keluarga, cenderung untuk mewujudkan masalah dalam hubungan sesama ahli pada masa hadapan.
Bagi hubungan kekeluargaan seimbang, ia membolehkan individu membentuk identiti diri tersendiri tanpa pergantungan sepenuhnya terhadap keluarga tetap masih mampu mengekalkan hubungan mesra dengan ahli keluarga.
Namun begitu, tahap kohesi ini tidak bersifat kekal, ia boleh berubah dari semasa ke semasa. Justeru, untuk memastikan keluarga dibina adalah keluarga sejahtera dan mampu berhadapan pelbagai kesukaran serta cabaran, ia bergantung kepada hubungan dalam keluarga sama ada ia seimbang atau sebaliknya.
Apa yang utama, hubungan kekeluargaan sama ada antara pasangan, adik-beradik dan anak-anak perlu sentiasa diperkukuhkan bagi membina masyarakat sejahtera.
Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM)