Selasa, 13 Disember 2022 | 12:05pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama menteri Kabinet Perpaduan sebelum Mesyuarat Kabinet. - Foto Ihsan Twitter Fadilah Yusof
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama menteri Kabinet Perpaduan sebelum Mesyuarat Kabinet. - Foto Ihsan Twitter Fadilah Yusof

Ketepi perbezaan jalur politik demi perkasa Kabinet Perpaduan

Pada 2 Disember lalu, lapan hari selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10, Jemaah Menteri diumumkan. Keanggotaannya adalah 28 orang selepas berlaku penggabungan dan pemansuhan kementerian tertentu.

Seramai 27 orang pula dilantik sebagai timbalan menteri, menjadikan jumlah keseluruhan anggota Kabinet adalah 55 orang. Ia kini perlu menjadi satu pasukan memiliki DNA yang sama dengan aspirasi rakyat.

Ia mirip kepada pasukan bola sepak, walaupun ada pemainnya bermain dengan kelab berbeza, tetapi apabila menyarung jersi kebangsaan, mereka perlu 'junjung lencana di dada' atas nama pasukan Kerajaan Perpaduan.

Sebagai pemain politik dalam Kabinet yang tidak pernah diimpikan, kini mereka perlu tidur dalam bilik sama, 'berkongsi mimpi' dan bantal jika berada di atas katilnya.

Mereka juga perlu akur ada kekangan dan keterbatasan demi menghormati sensitiviti walaupun fahaman politiknya berbeza. Jalannya berliku untuk memeta kepercayaan dan keyakinan, tetapi boleh dipandu dengan keazaman politik tinggi.

Satu identiti sama diperlukan di bawah kepemimpinan Anwar. Identiti ini adalah berdasarkan kepada perbezaan menjadi kekuatan bersama daripada kerencaman fahaman politik.

Integrasi wajar diperincikan walaupun ada asimilasi antara pemilik kerusi majoriti dan minoriti. Aliran pemikiran boleh menyelusuri 'politik perpaduan' ke arah 'kesepaduan nasional' jika nilai budi dipertahankan.

 Kerajaan bersama atas nama 'rakan kongsi' 

Masing-masing boleh menggarap nilai faham, hormat dan terima ini adalah kerajaan bersama atas nama 'rakan kongsi' serta bukan mengikut ketetapan perbezaan jalur politik.

Perkongsian kuasa atas nama 'kepunyaan' boleh menjadi asas kepada fasa pertama ini. Setiap peranan diberikan maksud dan makna untuk kepentingan bersama dan tidak berlumba untuk mendahulukan parti atau pemimpin serta penyokong taksub.

Nilai ahli politik 'budiman' dengan suluhan ke atas norma budi pekerti, budi bicara, budi bahasa dan akal budi membolehkan nilai watan mendahului apa-apa yang songsang daripadanya.

Kombinasi ketokohan, kewibawaan, kepakaran, gender, ras, etnik, agama dan sempadan negeri mampu menjadikan Kabinet ini memainkan peranan sebaik mungkin untuk berhadapan pembangkang.

Sudah pasti kekuatan blok politik perlu dihormati, disamping berdiri teguh di belakang agenda besar Perdana Menteri serta dasar berpotensi membawa nilai sejahtera dan muhibah.

Jika perlu, wajar ada 'Kabinet bayangan' dan ketua pembangkang kekal berstatus Menteri, manakala peruntukan setara diberikan untuk semua jika DNA berteraskan aspirasi rakyat.

Keabsahan Kabinet bukan sekadar kepada undi percaya ke atas Perdana Menteri, bahkan sejauh mana masing-masing boleh mensejahterakan, memperkukuh dan memperkuat nilai kemanusiaan, integriti dan memperkasakan institusi serta struktur sedia ada.

Koordinasi antara kementerian dan agensi berwajib perlu diperkemaskan secara berterusan supaya kumpulan sasar menikmati hasil yang baik. Pengasingan antara eksekutif, legislatif dan kehakiman juga tidak dikompromi.

Prinsip perpaduan, kesaksamaan, demokratik, adil, liberal dan progresif termaktub dalam Rukun Negara boleh menjadi kunci untuk anggota Kabinet menggalas tanggungjawab dengan inklusif.

Mereka perlu sentiasa peka ke atas perubahan dan pembaharuan yang dinamik serta tidak menjejaskan aspirasi untuk menaikkan imej 'politik sederhana' dalam Kabinet perpaduan nasional wajah Malaysia.

Penuils adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Berita Harian X