Selasa, 29 November 2022 | 12:45pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kestabilan politik negara jamin ketamadunan lestari

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melabuhkan tirainya pada 19 November lalu dan selesai proses mengundi, rakyat kembali meneruskan kehidupan masing-masing sama ada sebagai penjawat awam, pekerja swasta atau bekerja sendiri.

Kurang seminggu PRU15 berakhir, apa juga polemik politik yang wujud akibat pertembungan kepentingan tertentu, ia mulai reda terutama selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan Kerajaan Perpaduan tertubuh.

Secara logik, sesebuah negara dan tamadun kekal utuh bersama sistem politik yang stabil, kerajaannya mendapat sokongan dan dukungan majoriti rakyat, penduduknya patuh kepada Perlembagaan dan perjanjian Kontrak Sosial termasuk Rukun Negara.

Dalam sejarah tamadun Islam, Rasulullah SAW turut memperkenalkan Piagam Madinah bagi tujuan menjamin kestabilan politik, menubuhkan pentadbiran 'diwan' menyerupai konsep jabatan atau kementerian dan menyenarai 47 undang-undang berkaitan kehidupan masyarakat majmuk pelbagai budaya serta etnik apabila berhijrah ke Madinah.

Politik Malaysia kekal harmoni 

Politik stabil mendorong ke arah kebaikan kepada negara dan rakyat. Sekiranya dibandingkan dengan luar negara, isu politik Malaysia agak stabil dan kurang menimbulkan kontroversi. Bukan tidak ada, tapi masih boleh dikawal menerusi kebijaksanaan pimpinan negara dan keterbukaan warganya.

Pasca-PRU15 sekali lagi membuktikan politik di Malaysia mampu mengekalkan keharmonian warganya dalam komuniti pelbagai etnik. Apa yang penting, fokus perlu lebih ditumpukan kepada persoalan menghormati etika perjanjian kontrak sosial, Perlembagaan, menerima budaya berbeza, kepimpinan efektif dan institusi Raja.

Ia termasuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kesepaduan, menjauhi sentimen agama dan memastikan dialog tamadun atau peradaban kerap diadakan. Dengan demikian akan wujudnya interaksi dan terhapusnya prasangka negatif.

Dalam konteks lain, implikasi politik terhadap tamadun Malaysia juga dilihat dari sudut ekologi politik merangkumi keupayaan memelihara dan memulihara alam sekitar, membina keluarga sejahtera dan masyarakat harmoni, kerajan stabil dan ekonomi mampan.

Selain itu, aspek pendidikan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan tumpuan ke arah perkembangan dan keseimbangan elemen jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) serta penjagaan kesihatan dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat tidak boleh diabaikan.

Dalam prinsip ketamadunan lestari, institusi politik yang ada perlu diperkukuhkan sehingga ia menjadi inklusif, mampu menyokong institusi keluarga dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus membantu memelihara hak setiap warga Malaysia yang dijamin Perlembagaan.

Maka, sebagai warga Malaysia berdaulat, kita memiliki hak dan tanggungjawab dan pada masa sama berhak mendapat perlindungan serta jaminan keselamatan undang-undang dan kesejahteraan daripada Kerajaan Perpaduan.

Apa yang penting dalam menyemai amalan politik sihat dan inklusif sebenar, setiap warganegara wajib memberikan dukungan kepada agenda pembangunan negara sesuai dengan peruntukan undang-undang.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Dan Kenegaraan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X