Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) melalui rombakan dan penstrukturan semula dari peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional.
Sejak itu, UMNO dan BN tidak lagi menoleh ke belakang atau meratapi nasib yang menimpa pada PRU berkenan, menyedari jatuh bangun dalam perjuangan politik adalah asam garam kehidupan.
Tumbangnya kerajaan BN empat tahun lalu tidak menidakkan sumbangan gabungan parti diterajui UMNO itu dalam konteks pembangunan negara.
Jika ditanya kepada rakyat, majoriti pasti akur dan cukup sedar bahawa pembangunan negara, sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan pengurusannya, bersandarkan rekod tata kelola yang baik oleh kerajaan BN yang mentadbir.
Jika tidak baik, masakan pada era pentadbiran UMNO dan BN, Malaysia muncul antara lima negara yang mendapat jolokan 'The ASEAN Tigers'.
Penarafan lima bintang
Tidak lama selepas episod mengejutkan pada PRU14, atas takdir Allah SWT, kepemimpinan UMNO dan BN diberi kepercayaan semula, bangkit untuk mengelola dan mengawal selia negara dengan baik sewaktu krisis pandemik COVID-19 memuncak, dua tahun lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi penarafan 'lima bintang' kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam aspek pengurusan dan tadbir urus pandemik COVID-19.
Dalam erti kata lain, apabila diamanahkan, kepemimpinan UMNO dan BN sentiasa memastikan ia dipikul dan ditadbir urus sebaik mungkin atas prinsip kepentingan Malaysia.
Pandemik COVID-19 sememangnya memberi kesan yang sangat mendalam terhadap perihal kehidupan dan kemasyarakatan, khususnya dari aspek kestabilan politik demi membina kembali Malaysia ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama era pasca pandemik.
Maka, untuk Malaysia bangkit kembali dalam fasa endemik, asas utama adalah keperluan terhadap kepemimpinan dan kerajaan yang stabil.
Penggerak perubahan
Dalam rekod pentadbiran negara, tidak dapat dinafikan kepemimpinan UMNO dan BN mampu mewujudkan kerajaan dan pentadbiran yang stabil.
Kepemimpinan UMNO dan BN perlu fokus untuk memastikan Malaysia dan warganya sentiasa sejahtera, fokus kepada usaha itu. Tolak ketepi soal adu domba, fitnah, tipu daya serta pemesongan fahaman.
Kepemimpinan UMNO dan BN perlu tekad untuk menjadi penggerak perubahan, meninggalkan segala kecacatan demi Malaysia dan memacu rakyatnya menjadi lebih maju, stabil dan makmur dalam kepelbagaian latar budaya.
Dalam hal ini, kepemimpinan UMNO dan BN sememangnya cukup berpengalaman, malah telah terbukti mampu untuk merealisasikan impian itu kepada warga Malaysia sejak enam dekad yang lalu.
Demi mengembalikan Malaysia yang stabil dan makmur dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, warga Malaysia wajar memilih kerajaan yang sudah terbukti keberkesanan pentadbirannya.
Penulis adalah Penaung Briged Negara