Isnin, 31 Oktober 2022 | 12:37pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Agenda pemerkasaan belia perlu jadi keutamaan manifesto parti

Selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, ia bakal menyaksikan lebih banyak penyertaan orang muda sebagai pengundi baharu.

Ia sekali gus bakal mengangkat suara serta keperluan belia dalam naratif baharu politik negara. Bermakna, parti bertanding tidak boleh menafikan kepentingan orang muda pada manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Berdasarkan dapatan kajian dilakukan pasukan penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), belia didapati mahu kos sara hidup tinggi pascapandemik COVID-19 diberi perhatian serius kerajaan bakal dibentuk selepas PRU15 dan semua pihak berkepentingan.

Belia turut inginkan peningkatan peluang pekerjaan untuk mereka mendepani kenaikan kos sara hidup, selain penetapan kadar gaji serta upah setimpal dengan kelayakan dan kepakaran mereka.

Pada masa sama, isu belia terhadap kemampuan mereka memiliki kediaman, terutama keluarga muda baru mendirikan rumah tangga juga perlu diberi perhatian kerajaan bakal dibentuk nanti.

Dapatan kajian juga mendapati pengundi tergolong Undi18 inginkan calon muka baharu berusia antara 35 hingga 55 tahun yang pada hemat mereka membawa nafas baharu dalam landskap politik negara.

Ciri ini merangkumi calon berwibawa, bersih daripada rasuah, bertenaga, memiliki idea segar dan mampu berkhidmat dengan lebih berkesan sebagai wakil rakyat.

Justeru, fokus manifesto parti politik bagi menarik minat generasi muda juga perlu menitikberatkan iltizam dari sudut pengukuhan sistem pendidikan, menangani keciciran pelajar, terutama kelompok belia awal dan permintaan tenaga kerja baharu dalam pasaran.

Agenda pemerkasaan belia juga perlu diletakkan sebagai keutamaan dalam manifesto parti bertanding PRU15 bagi menjamin kesinambungan kegemilangan negara.

Tumpu strategi dan pelan tindakan

Bagaimanapun, ketika negara berhadapan gelombang penularan COVID-19 sejak Mac 2020, perkara perlu dititikberatkan dalam manifesto PRU15 adalah komitmen menyediakan ruang dan peluang kepada belia supaya selari dengan peralihan ke fasa endemik demi kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan golongan terbabit.

Bermakna, fokus manifesto perlu menumpukan strategi dan pelan tindakan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia dan orang muda.

Manifesto PRU15 parti bertanding juga perlu menekankan jaminan pelaburan luar dan operasi berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial pada fasa peralihan ke endemik ini.

Maka, usaha untuk memastikan pembangunan modal insan dalam kalangan belia amat penting untuk dilakukan secara lebih menyeluruh membabitkan semua agensi pelaksana dan pemegang taruh supaya ia lebih berdaya tahan.

Inti pati utama program pembangunan daya saing belia perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baharu (upskilling), memperkasa kemahiran sedia ada (reskilling) dan menyilangkan kemahiran dengan kemahiran lain (cross-skilling) supaya mampu melaksanakan kepelbagaian tugas, selari dengan keperluan semasa.

Selain itu, fokus manifesto juga perlu melihat kepada usaha memulih, membina dan memangkin semula tenaga buruh muda tempatan yang berdaya tahan dalam era endemik.

Pengundi muda diyakini akan mengundi parti menampilkan calon berkaliber, manifesto jelas mengangkat suara belia. Kecenderungan pengundi muda terarah kepada gabungan parti politik komited membantu orang muda mendepani cabaran masa depan pasca pandemik COVID-19.

Berita Harian X