Rabu, 26 Oktober 2022 | 12:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Remajakan parti tarik anak muda berpolitik

Proses latihan politik adalah gerakan meremajakan parti politik sebagai langkah melahirkan pemimpin pelapis bersifat 'lestari' untuk mengharungi dunia politik masa depan.

Malah, fungsi penting parti itu adalah melahirkan pengikut, merangkumi orang muda yang dijalankan menerusi program perkaderan politik.

Justeru, program jangka panjang ini berupaya membekalkan parti politik dengan pemimpin pelapis baharu dan menjadikan parti lebih mampan menempuh arus semasa.

Menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang kempennya bermula pada 5 November ini, seiring dengan proses penamaan calon, dapat dilihat parti bakal bertanding kekal dengan amalan tradisi menampilkan calon veteran atau 'orang lama'.

Walaupun ada parti seperti UMNO mengumumkan bakal menambah calon baharu pada PRU15 nanti, masih belum jelas adakah ia merangkumi calon muda khasnya dalam anggaran usia 20-an sehingga 30-an.

Persoalannya, tiadakah pemimpin muda dalam kepemimpinan parti boleh diketengahkan pada PRU15? Adakah parti yang ada hari ini sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak memiliki sejumlah pelapis daripada orang muda untuk ditampilkan sebagai calon?

Sejarah membuktikan golongan muda dan tua silih berganti mewarnai kancah politik negara. Orang tua sebagai tesis dan anak muda antitesis menghasilkan natijah baharu atau sintesis.

Kalau dulu Ahmad Boestamam pernah dicop sebagai pelopor gerakan muda, kini negara memiliki Syed Saddiq Abd Rahman. Cuma suasana politik sekarang lebih dinamik khususnya pasca COVID-19.

Berbalik kepada persoalan kepemimpinan dalam parti, jawapannya ada dua kemungkinan mendasar. Pertama, kepemimpinan orang muda nampak lemah dan tiada hujung pangkalnya. Ini tidak lain kerana kurang ruang dan peluang diberikan kepada mereka.

Kurang perkaderan dalam politik

Kedua, tiada model kepemimpinan jelas. Hal pertama berkait rapat dengan kurangnya proses perkaderan dan latihan politik dalam mana-mana parti politik. Parti mungkin kurang cakna dengan dua proses ini.

Difahamkan, parti di Indonesia giat melaksanakan program perkaderan dan latihan politik untuk melahirkan pemimpin besar di negara itu menerusi pelbagai platform dan institusi. Sebaliknya di negara kita, calon pemimpin dilatih hanya berapa bulan sebelum pilihan raya.

Dalam soal pengembangan bakat politik ini, tidak dinafikan parti harus mula menonjolkan figura tertentu untuk menjadi idola bagi menarik perhatian anak muda untuk berkecimpung dengan politik dan menjadi pemimpin harapan.

Bermakna, setiap parti harus mempunyai model politik untuk mendorong anak muda berpolitik. Kesan figura ini sangat berkesan kerana masyarakat mahukan seseorang boleh dirujuk sebagai model dalam politik atau apa juga bidang.

Pada era kini yang menonjolkan kepentingan media sosial seperti Facebook, YouTube, Instagram dan Twitter, model politik ini amat penting.

Ia menjadi ejen sosialisasi utama dalam kempen politik atau pilihan raya. Buktinya, kempen pilihan raya hari ini menggunakan sepenuhnya media sosial untuk meraih undi.

Bayangkan jika seorang ikon politik ditonjolkan parti sebagai pemimpin harapan masa depan, tidak mustahil kemenangan besar dicapai parti pada pilihan raya mampu merealisasikan seorang Perdana Menteri dalam kalangan anak muda atau berjiwa muda.

Dalam politik, tiada apa yang mustahil. Sekiranya rakyat mempunyai aspirasi untuk meremajakan politik Malaysia, ia perlu bermula dari keluarga sebagai ejen sosialisasi utama.

Justeru, slogan Keluarga Malaysia akan 'kena pada tempatnya' iaitu meremajakan politik serta menjadikan ia lestari dengan perkembangan politik baharu masa hadapan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X