Khamis, 15 September 2022 | 2:27pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tubuh suruhanjaya khas hapus jenayah tipu dalam talian

Perkembangan dunia kini seolah-olah memberi peluang dan jalan baharu kepada penjenayah untuk menjalankan modus operandi mereka melalui pelbagai medium.

Jenayah yang berlaku pula tidak mengira tempat, masa, mangsa dan pelakunya. Penipuan dalam talian bukan perkara baharu.

Anehnya, jenayah ini terus terjadi, malah ramai mangsa terjerat dan mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

Statistik pada 2019 menyatakan nilai kerugian akibat kes jenayah komersial ini mencecah RM6.2 bilion dengan 25,000 kertas siasatan dibuka dari Januari hingga Disember 2019.

Sepanjang tempoh 2020 hingga Mei 2022, sebanyak 71,833 kes jenayah komersial disiasat polis membabitkan kerugian lebih RM5.2 bilion. Daripada jumlah itu, 48,850 kes (68 peratus) jenayah komersial dicatatkan adalah penipuan dalam talian.

Bagi tempoh sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 5,513 aduan berunsur penipuan dalam talian. Sebanyak 26,213 kes dilaporkan sudah didakwa di mahkamah.

Terdapat pelbagai cara dan strategi digunakan penjenayah dan paling popular ialah menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa untuk menipu mangsa.

Dalam konteks ini, mereka menyamar sebagai pihak berkuasa seperti polis, pegawai kastam dan mahkamah untuk mengambil kesempatan terhadap mangsa.

Kesalahan scammer ini pada asasnya tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM).

 Undang-undang jenayah komersial 

Ketika ini, terdapat beberapa akta dan undang-undang menetapkan jenayah komersial sebagai suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman antaranya Akta 56 (Akta Keterangan 1950), Akta 593 (Kod Prosedur Jenayah), Akta A1430 Kanun Keseksaan (Pindaan), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pendaftaran Negara 1959, Akta Kanun Keseksaan 574, Akta Pasport 1966 dan Akta Polis 1967.

Apa yang pasti, angkara scammer ini mendatangkan masalah kepada individu atau keluarga, terutama membabitkan aspek kewangan selain menjejaskan kesihatan mental serta emosi mereka.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) turut dilaporkan sedang menilai kerangka perundangan bagi mengekang jenayah dalam talian atau scammer yang semakin berleluasa sekarang.

Setakat ini, negara mempunyai undang-undang yang teguh untuk mengambil tindakan terhadap scammer, namun agak sulit mengesan dan memburu sindiket ini.

Justeru, antara syor yang dilihat relevan bagi menangani isu scammer adalah kerajaan mewujudkan suruhanjaya khas bagi membanteras aktiviti penjenayah ini.

Penubuhan suruhanjaya ini mungkin boleh menjadi asas kepada usaha membendung kes penipuan membabitkan scammer ini daripada berleluasa.

Suruhanjaya ini boleh dianggotai pakar daripada syarikat perkhidmatan telekomunikasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, SKMM dan BNM.

Penubuhannya juga antara langkah mengekang pencerobohan data peribadi yang sebelum ini heboh diperkatakan kerana membabitkan soal keselamatan data negara.

Selain mewujudkan suruhanjaya, paling utama perlu dilakukan adalah kerjasama rentas agensi berkaitan perlu diperkukuhkan bagi membendung aktiviti sindiket ini daripada terus menghantui rakyat, manakala kempen kesedaran diperhebatkan di semua platform media.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan

Berita Harian X