Selasa, 19 Julai 2022 | 12:05pm
Joe Biden (kiri) dan Mohammed bin Salman. - Foto AFP
Joe Biden (kiri) dan Mohammed bin Salman. - Foto AFP

Kepentingan Israel punca AS berbaik dengan Arab Saudi

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Arab Saudi agak dingin awalnya. Ketika kempen Pilihan Raya Presiden, beliau mengkritik isu pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi hingga menggunakan perkataan rendah dalam membayangkan layanan bakal diterima Arab Saudi.

Pada awal pentadbiran Biden, Rumah Putih menetapkan AS hanya berhubung dengan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, bukan anakanda baginda. Justeru, lawatan Biden ke Asia Barat menimbulkan tanda tanya mengapa pentadbirannya mengubah intonasi hubungan itu? Jawapannya, untuk menjaga kepentingan Israel.

Biden pernah menggelar diri sebagai Zionis. Duta AS ke Israel, Thomas Nides, menegaskan Presiden itu sangat menyayangi Israel. Hatta, lawatan Biden akan bermula di Israel pada bulan ini.

Gambaran keakraban dibayangkan Nides adalah 'ikatan tidak akan putus, tiada perselisihan, tidak ada mainan, tidak ada rahsia.' Tidak kurang bantuan tanpa syarat kepada Israel AS$3.8 bilion (RM16.9 bilion) setahun. AS berusaha mengukuhkan kedudukan Israel di Asia Barat, termasuk proses normalisasi dengan negara lain di rantau berkenaan. Di bawah pentadbiran Donald Trump, Perjanjian Abraham menjalinkan hubungan diplomatik antara Israel dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan.

Siri pertemuan, perjanjian

Biden juga mahu Perjanjian Abraham diperluaskan, tetapi diyakini tidak akan ke mana atau memberi impak besar, sekiranya Arab Saudi tidak menyertainya.

Lawatan sulung Biden itu barangkali penghargaan kepada pemerintah Arab Saudi melakukan beberapa siri pertemuan dan perbincangan tidak rasmi dengan Israel. Arab Saudi tidak mengiktiraf Israel, tetapi media negara itu melaporkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu disertai bekas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, bertemu Putera Mahkota Arab Saudi sekitar November 2020.

Ini disusuli beberapa perbincangan antara perwakilan Arab Saudi, Israel dan beberapa negara berkaitan perjanjian pemindahan kawalan dua pulau di Laut Merah - Tiran dan Sanafir - kepada Arab Saudi. Kedua-dua pulau ini dahulunya dimiliki Mesir.

Terkini, pertemuan perwakilan dari Israel, Arab Saudi, Qatar, UAE, Bahrain, Jordan dan Mesir di Sharm El Sheikh bertujuan merencanakan usaha kolektif menentang ancaman Iran dianggap seteru bersama. Merujuk inisiatif itu, Menteri Pertahanan Israel mengesahkan Kerjasama Pertahanan Udara Asia Barat sudah beroperasi.

Dalam penilaian mereka, kekuatan ketenteraan Iran seperti peluru berpandu dan dron semakin mantap. Contohnya, serangan dron pemberontak Houthi di Yaman ke atas fasiliti pengeluaran minyak di Arab Saudi dan infrastruktur di UAE. Houthi disokong Iran hingga negara Arab mengambil langkah berbaik-baik dengan Israel agar teknologi pertahanan serba canggih mampu menangkisnya.

Israel mahukan usaha pemulihan perjanjian nuklear Iran 2015 gagal, malah pernah mengancam untuk menyerang tapak nuklear negara Parsi itu sekiranya ia tidak menghalang cita-cita Tehran membangunkan tenaga nuklearnya.

Di rantau itu, Israel sahaja memiliki senjata nuklear. Andai kata negara lain dimusuhinya berhasrat memiliki senjata sama, Israel mencari jalan melenyapkan impian berkenaan.

Israel berusaha memecahbelahkan Asia Barat. Perjanjian Abraham dan Kerjasama Pertahanan Udara dengan beberapa negara antara kejayaan besar melemahkan penyatuan negara menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Selain berjaya menjadikan lawan kepada kawan, Israel mendampingi sebanyak mungkin negara mendahului kepentingan ekonomi dan keselamatan dalam menormalisasikan hubungan.

AS mengekalkan momentum ke arah pembentukan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi. Kewujudan Israel nampaknya semakin diterima dan kejayaan awal proses integrasi Israel mendorong Biden memperbaiki hubungannya dengan Arab Saudi.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM

Berita Harian X