Isnin, 18 Julai 2022 | 12:17pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Suruhanjaya Patuh Syariah perkemas industri halal

Penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah seperti diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan pertubuhan industri dalam pelbagai sektor halal perlu diteguhkan melalui tadbir urus komprehensif.

Apatah lagi industri halal merangkumi pelbagai sektor penting yang menyumbang kepada ekonomi negara merangkumi sektor makanan, pelancongan, media, kosmetik, farmaseutikal, rekreasi dan perbankan serta kewangan, tetapi semua sektor berkenaan berada di bawah kerangka undang-undang serta tadbir urus syariah berbeza.

Justeru, suruhanjaya itu boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan penawaran produk dan perkhidmatan halal, sekali gus menjadikan industri halal negara ini bukan sahaja komprehensif, bahkan lebih berdaya saing pada peringkat global.

Sebenarnya banyak isu berkaitan dengan penawaran produk dan perkhidmatan halal yang memerlukan perhatian kerana ketidakpatuhan penggerak industri di dalam penjualan produk dan perkhidmatan boleh mencalarkan reputasi industri halal negara.

Ia juga boleh mengurangkan keyakinan pengguna bukan sahaja dalam negara, bahkan luar negara kepada industri halal. Contohnya, kes membabitkan pengedaran dan penjualan daging tidak halal serta penyalahgunaan logo halal secara berterusan boleh memberi impak kepada penurunan keyakinan pelanggan.

Secara jangka panjang, ketidakyakinan pengguna boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negara melalui pengurangan permintaan kepada industri ini.

Urus tadbir syariah mekanisme penting

Oleh itu, tadbir urus syariah menjadi mekanisme sangat penting dalam memastikan proses dan aktiviti dalam sesebuah sebuah entiti menawarkan perkhidmatan dan produk diwarwarkan 'berasaskan syariah' adalah sebenar-benarnya memenuhi tuntutan agama.

Justeru, pembuatan keputusan dan justifikasi syariah perlu dilakukan dengan sempurna, berdokumen, teratur serta profesional merangkumi semua peringkat dan entiti sama ada swasta atau kerajaan.

Di negara ini, penekanan kepada aspek tadbir urus syariah boleh berlaku melalui dua struktur, iaitu peringkat berpusat atau penguat kuasa dan peringkat dalaman organisasi.

Fungsi dalaman organisasi seperti lembaga pengarah dan jawatankuasa penasihat syariah serta mekanisme pertahanan seperti audit syariah, semakan, pengurusan risiko dan pematuhan sangat penting untuk memastikan keseluruhan operasi syarikat patuh kepada standard syariah.

Oleh itu, peranan Jawatankuasa Penasihatan Syariah sangat penting dan seharusnya bebas daripada sebarang konflik serta tekanan. Tidak hairanlah terdapat pelbagai peraturan dan garis panduan tadbir urus syariah dibangunkan seperti kewangan Islam dan sektor halal.

Bagaimanapun, inisiatif tadbir urus syariah di setiap sektor bergerak secara berasingan dan menggunakan pendekatan berbeza seperti dari aspek kebergantungan dengan organisasi dalaman dan fungsi digariskan.

Justeru, saranan Perdana Menteri dalam mewujudkan Suruhanjaya Patuh Syariah sangat wajar ke arah pembentukan struktur, fungsi dan proses tadbir urus bersifat menyeluruh dan efisien.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu tidak semestinya bergerak dengan kuasa atau mekanisme tunggal, sebaliknya boleh bertindak dengan membina dan menjalinkan kerjasama antara semua badan penguat kuasa dalam sektor halal, termasuk mencari penyelesaian terbaik kepada kepatuhan syariah dan pengurangan risiko ketidakpatuhan syariah berkesan.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X