Khamis, 14 Julai 2022 | 12:00pm
Pelajar membeli makanan serta minuman di gerai jualan makan Dataran Cendekia Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam berikutan kerajaan akan menawarkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 untuk satu hidangan menerusi program 'Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia' dalam usaha menangani isu kenaikan kos sara hidup kalangan penuntut universiti. - Foto hiasan/Faiz Anuar
Pelajar membeli makanan serta minuman di gerai jualan makan Dataran Cendekia Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam berikutan kerajaan akan menawarkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 untuk satu hidangan menerusi program 'Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia' dalam usaha menangani isu kenaikan kos sara hidup kalangan penuntut universiti. - Foto hiasan/Faiz Anuar

Inisiatif kerajaan ringankan kos belanja mahasiswa

Rata-rata masyarakat sedia maklum inflasi kini menjejaskan ekonomi negara dan memberi kesan kepada perbelanjaan seharian rakyat. Antara golongan yang terkena tempias kesan inflasi ialah mahasiswa.

Walaupun sebahagian mahasiswa menerima bantuan kewangan menerusi pinjaman pendidikan dan biasiswa, ia masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan seharian mereka.

Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir mahasiswa berbelanja melebihi kemampuan mereka, namun ada juga menggunakan bantuan atau pinjaman pendidikan untuk membantu keluarga, ter- utama golongan B40.

Ada mahasiswa mengakui dirinya mengambil sedikit daripada jumlah keseluruhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebahagian lagi diberikan kepada ibu bapanya untuk membantu keluarga menampung kos sara hidup.

Beliau mengambil tindakan itu kerana mempunyai adik beradik ramai, manakala ibu bapanya bekerja sekadar cukup makan. Tanpa malu, pelajar ini mengakui makan sekali sehari untuk menjimatkan perbelanjaannya sepanjang pengajian.

Pelajar ini tidak meminta lebih daripada universiti atau kerajaan sebaliknya berharap harga makanan dijual di kafeteria adalah berpatutan dan tidak 'mencengkam' pelajar.

 Tak layak mohon bantuan 

Kisah hampir sama turut dikongsi mahasiswa menjalani latihan industri, yang mana beliau memperuntukkan RM20 untuk menampung perbelanjaan setiap hari. Saya berasa sangat terkesan dengan inflasi melanda negara kita. Saya tidak menerima elaun ketika menjalani latihan industri atau bantuan daripada universiti, pinjaman ataupun biasiswa.

"RM20 yang saya ada digunakan untuk makan dua kali dan mengisi minyak motosikal bagi latihan industri. Mungkin kerajaan boleh sedia peruntukan kepada mahasiswa kerana bantuan lebih memfokuskan golongan bujang. Mahasiswa juga ada yang bujang, tetapi tidak layak memohon bantuan," luahnya.

Rata-rata mahasiswa mengakui kini harga sepinggan nasi, protein dan sayur boleh mencecah sehingga RM10 ringgit berbanding RM7 ke RM8 sebelum ini.

Mereka berpendapat, status sebagai mahasiswa yang tidak mempunyai pekerjaan, mereka perlu mengikat perut atau sekadar makan mi segera.

Dalam isu ini, tidak dinafikan banyak pihak sudi membantu golongan mahasiswa, termasuk menggerakkan program bank makanan, namun ia dilaporkan tidak mencukupi bagi menampung keperluan seharian mereka.

Ada juga penuntut tidak berkesempatan mendapatkan bekalan dari bank makanan kerana kekangan masa menghadiri kelas, tiada kenderaan atau ingin memberi peluang kepada rakan lain mendapatkannya.

Persatuan mahasiswa di kolej dan universiti juga turut memainkan peranan, namun jika penuntut terbabit berada di luar universiti kerana mengikuti latihan industri, agak sukar untuk mereka membantu rakan mahasiswa.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia, iaitu makanan berkualiti perlu dijual pada harga siling RM3.50 hingga RM5, ia memberi kelegaan kepada mahasiswa.

Sekurang-kurangnya beban dipikul mahasiswa menerusi inisiatif kerajaan ini dapat diringankan. Bagaimanapun, kerjasama daripada pihak pengusaha kafeteria memainkan peranan penting.

Apa yang diharapkan, pengusaha kafeteria perlu menyediakan makanan pada harga ditetapkan. Walaupun harga bahan mentah meningkat, pengusaha bertanggungjawab memberikan makanan berkualiti kepada mahasiswa kerana mendapat bantuan dan peruntukkan kerajaan. Diharapkan inisiatif ini dapat memberi situasi 'menang-menang' kepada pengusaha makanan dan mahasiswa.

Wartawan Pelatih BH

Berita Harian X