Isnin, 11 Julai 2022 | 12:00pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Awasi kesan ketagihan guna gajet

Ahli fizik terkenal yang juga Pemenang Hadiah Nobel, Albert Einstein, mengutarakan teori relativiti pernah menjangka dan mengungkapkan 'Saya takut suatu hari nanti teknologi akan mengatasi interaksi manusia. Dunia akan mempunyai generasi yang bodoh.'

Apakah kegusaran Einstein itu ilusi atau sebaliknya menjadi kenyataan, boleh dilihat sendiri di hadapan mata kita mutakhir ini.

Dalam konteks ini, kita dapat saksikan atau alami sendiri situasi ketika di meja makan bersama keluarga menikmati hidangan, pasti dapat disaksikan ada ahli keluarga menunduk diam atau tersenyum seorang diri kerana terlalu asyik menatap gajet.

Itulah penangan perkembangan teknologi dan internet yang mudah dilayari melalui gajet hari ini. Ketagihan terhadap gajet dalam masyarakat kini semakin meluas dan ia bukan sahaja dihadapi golongan dewasa, tetapi kanak-kanak turut menerima tempiasnya.

Disebabkan penggunaan gajet berlebihan ini, sedikit sebanyak ia memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan.

Tambahan pula, ada ibu bapa memberikan kebebasan kepada anak memiliki atau bermain gajet seperti telefon bimbit pintar dan tablet.

Suasana pandemik sebelum ini yang menuntut pelajar menggunakan gajet untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) turut menjadi faktor kepada perkembangan tidak sihat ini.

Pada peringkat awal, inisiatif ini dilihat baik bagi membantu pengajaran dan merangsang pemikiran kanak-kanak untuk meneroka ilmu.

Akibatnya, kanak-kanak menghabiskan masa berjam-jam untuk meneroka bukan sahaja segala aplikasi pembelajaran bahkan permainan yang mudah dimuat turun dalam gajet berkenaan.

Banyak kajian dibuat oleh pelbagai pihak untuk menilai buruk dan baiknya fenomena 'melekat dengan gajet' dalam kalangan anak-anak. Penggunaan gajet elektronik secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak didapati membawa kesan sama seperti dialami penagih dadah.

Penyalahgunaan dadah dalam jangka panjang mengubah otak pengguna dan mereka memerlukan lebih banyak dadah untuk menghasilkan keseronokan atau khayalan.

Penggunaan gajet elektronik berlebihan juga didapati membawa kesan sama seperti dadah.

Kajian menunjukkan kesan negatif penggunaan peranti elektronik berlebihan menjadikan seseorang itu manusia kurang tidur, prestasi akademik lemah, pengasingan sosial dan masalah hubungan dengan keluarga serta rakan.

Ia juga boleh membawa kepada gangguan mental dalam keadaan lain seperti kemurungan dan kegelisahan.

Kesan negatif kecanduan gajet ini perlu ditangani secara serius oleh ibu bapa dan penjaga kanak-kanak, antaranya membuat peraturan khas dalam aspek masa dan had penggunaan gajet anak-anak setiap hari.

Penggunaan gajet pula hanya dibenarkan di ruangan tertentu di dalam rumah yang mudah dipantau ibu bapa, seperti di ruang tamu atau di bilik belajar.

Ini membantu ibu bapa melihat secara langsung berapa lama dan apa sedang dilayari anak melalui gajet berkenaan.

Anak juga perlu dipastikan tidak melayari gajet bersendirian sepanjang masa, kerana dikhuatiri melayari laman web yang tidak sepatutnya seperti mengandungi bahan lucah atau virus kepada gajet.

Selain itu, gajet juga boleh menjadi alat ganjaran dan hukuman iaitu dengan meletakkan syarat kepada anak untuk berusaha melakukan sesuatu pekerjaan seperti membuat ulang kaji dan membantu urusan di rumah.

Mereka hanya dibenarkan menggunakan gajet dengan waktu tertentu selepas selesai melakukan pekerjaan. Jika mereka melaksanakannya, anak ini boleh dihukum dilarang menggunakan gajet untuk tempoh tertentu.

Antara langkah mudah tetapi berkesan adalah ibu bapa mengaktifkan kod kata kunci untuk gajet mereka dan dirahsiakan daripada anak-anak. Ia sangat membantu dari segi kawalan kerana anak-anak terpaksa mendapatkan bantuan ibu bapa untuk mengaktifkan kod kata kunci gajet.

Ibu bapa boleh mencuba alternatif lain untuk mengatasi kecanduan gajet pada anak-anak seperti melakukan aktiviti bersama di luar atau dalam rumah bagi mengalihkan ketagihan mereka.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X