Ahad, 3 Julai 2022 | 2:36pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

'UMNO berdebar menanti 16 Julai'

SEJAK kebelakangan ini timbul kembali isu mengenai pindaan perlembagaan UMNO yang diluluskan Persidangan Agung Khas Umno pada 15 Mei lalu, berhubung penangguhan pemilihan parti.

Pindaan membabitkan Fasal 10.16.1 tersebut adalah berbunyi: "Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan ATAU tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian."

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyatakan UMNO belum mendapat sebarang maklum balas daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) apabila notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepadanya pada 17 Mei.

Ujar Mohamad Hasan, tidak adil untuk ROS membuat UMNO tertunggu-tunggu. Beliau menggesa ROS memberi jawapan segera kerana jika pindaan perlembagaan itu tidak diluluskan UMNO boleh membuat persiapan untuk mengadakan pemilihan parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pula berkata ROS mempunyai masa sehingga 60 hari dengan tarikh terakhirnya pada 16 Julai ini untuk membuat keputusan ke atas pindaan perlembagaan tersebut.

Di sini saya kira ada dua isu yang perlu difikirkan iaitu, pertama, tentang pindaan itu sendiri sama ada akan diterima atau sebaliknya dan, keduanya, sama ada barisan kepimpinan 'caretaker' UMNO sekarang boleh lagi menggunakan pilihan untuk melakukan pemilihan parti 6 bulan selepas diadakan PRU-15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, sebelum ini menyatakan keyakinan ia tidak akan mempunyai masalah untuk diluluskan berikutan kelulusan terhadap pindaan sama oleh rakan komponen Barisan Nasional (BN), iaitu MCA, bagi melanjutkan pemilihan parti.

"Mudah-mudahan apa yang diminta oleh UMNO mengenai pemilihan parti tercapai malah parti MCA yang diluluskan oleh RoS telah meminda perlembagaannya tentang melanjutkan pemilihan parti selewat-lewatnya enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) baru diadakan pemilihan.

Saya juga, cenderung menerima pendapat bahawa pindaan itu akan diluluskan oleh ROS. Saya percaya ramai yang berpendapat demikian di mana apa yang diperoleh oleh MCA itu menjadi duluan yang perlu diikuti dalam kes permohonan UMNO kepada ROS.

Jadi sekiranya UMNO mendapat apa yang dituntutnya, maka apa lagi masalahnya? Iya, UMNO terutama kepimpinan tertingginya sebenarnya masih diserkup masalah. Mereka bernafsu besar, mahu ditelan dua benda dalam suatu masa.

Untuk memenuhkan nafsu besar mereka pindaan mereka mahu diterima dan di masa yang sama dapat menggunakan kedua-dua pilihan yang ada, iaitu menangguhkan pemilihan tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan dan menangguhkan lagi pemilihan lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan PRU 15.

Mereka mahu menjadi ular sawa yang kekenyangan bila kedua-dua permintaan ini diperoleh. Soalnya, ialah bolehkah dibuat begitu?

Saya sependapat dengan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, bahawa dalam pindaan itu, sama ada disedari atau tidak oleh yang membuatnya, UMNO terpaksa membuat pilihan di antara penangguhan 18 bulan atau 6 bulan selepas PRU 15.

Kata Abdul Hamid: "Ertinya, selepas pindaan ini MKT, BERHAK (boleh) memilih untuk menangguh pemilihan sama ada tidak lebih daripada 18 bulan ATAU tidak lebih daripada enam bulan selepas PRU berikutnya. MKT boleh pilih yang lebih pendek atau yang lebih panjang tertakluk kepada keadaan pada sesuatu masa, mengikut budi bicaranya."

Tambah Abdul Hamid lagi: "Jika pindaan itu diluluskan sekalipun, ia tidak boleh digunakan untuk menangguh tarikh pemilihan sekali lagi untuk melanjutkan tempoh jawatan penjawat-penjawat pada masa ini. Berbuat demikian bererti menggunakan kedua-dua pilihan itu, lepas satu, satu. Itu tidak dibenarkan oleh pindaan itu."

Jadi apa kesannya terhadap nafsu geng yang membuat pindaan ini? Bagi saya, geng atau kumpulan ini akan berputih mata dalam mendapatkan lanjutan penangguhan 6 bulan selepas PRU-15.

Alasannya mudah, sebab ROS sebelum ini telah memberi penangguhan selama 18 bulan kepada UMNO. Maka itu, untuk mendapatkan satu lagi penangguhan selama 6 bulan selepas diadakan PRU-15 pasti akan ditolak oleh ROS.

ROS tentu tidak akan membenarkan penangguhan selama 6 bulan selepas diadakan PRU-15 kerana ROS, seperti hujah Abdul Hamid, akan bersandarkan kepada perkataan 'ATAU' yang wujud di dalam pindaan tersebut.

Atas perhitungan itu, UMNO dijangkakan MESTI mengadakan pemilihan kepimpinan parti pada atau sebelum 29 Disember seperti yang telah diarahkan oleh ROS sebelum ini.

Saya percaya, dalam masa yang terdekat ini, akan terdapat individu-individu yang akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan-jawatan tertinggi dalam UMNO, khasnya jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.

Malah telah wujud laporan yang mengatakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, telah memaklumkan kepada lingkungan dalamannya bahawa beliau akan bertanding sama ada jawatan Presiden atau Timbalan Presiden.

Saya percaya dengan mengadakan pemilihan kepimpinan UMNO sebelum 29 Disember, maka keputusan itu nanti adalah suara akar umbi parti yang sebenarnya.

Setakat ini kepimpinan tertinggi UMNO sering menggunakan hujah kononnya keputusan-keputusan yang mereka ambil adalah kehendak ahli akar umbi.

Sebaliknya dapat dipintas maksud atau hasrat sebenar yang sedang bergelora di benak mereka.

Ahli akar umbi tidak boleh dipandang rendah kerana mereka juga punyai kemampuan.

Menangkap kilat di dalam kilau
Mengimbau beras di dalam padi.
Membaca niat di dalam hati.

Penulis adalah penganalisis politik tanah air.

Berita Harian X