Selasa, 28 Jun 2022 | 10:30am
Ibu bapa perlu mengehadkan jumlah jam dihabiskan anak menggunakan peranti elektronik supaya ada masa untuk bermain permainan interaktif. - Foto hiasan
Ibu bapa perlu mengehadkan jumlah jam dihabiskan anak menggunakan peranti elektronik supaya ada masa untuk bermain permainan interaktif. - Foto hiasan

Cipta persekitaran positif bantu perkembangan anak

Tidak dapat dinafikan aplikasi teknologi kini amat mudah diperoleh, sekali gus membimbangkan kerana penggunaan peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba tidak dapat dielakkan dalam penggunaan seharian.

Perubahan cara berkomunikasi menggunakan mesej teks menerusi WhatsApp dan Wechat, media sosial (Facebook, Instagram) dan aplikasi permainan dalam talian kini menjadi kegilaan orang dewasa serta kanak-kanak.

Peranti berteknologi tinggi mempunyai banyak kebaikan, namun masih memberi kesan buruk apabila digunakan secara berlebihan tidak kira kepada siapa, apalagi kanak-kanak.

Jika dahulu hanya orang dewasa mempunyai akses kepada gajet, tetapi kini 75 peratus kanak-kanak mempunyai sambungan internet dan 40 peratus lagi ada gajet sendiri.

Sikap sebahagian ibu bapa mudah memberikan gajet bagi mengawal tingkah laku anak mereka, amat membimbangkan kerana ada anak masih menyusu botol sudah didedahkan dengan alat ini.

Walaupun ibu bapa percaya peranti seperti telefon pintar boleh membantu perkembangan anak, hakikatnya penggunaan tidak terkawal dan melebihi had menyumbang kepada kesan negatif terhadap kesihatan dan perkembangan mereka.

Justeru, ibu bapa perlu mengawal kebebasan penggunaan gajet kepada anak, selain menetapkan panduan menggunakannya secara sihat dan positif supaya tidak meninggalkan kesan buruk.

Anak memerlukan galakan, perhatian dan empati untuk berkembang dengan betul dari segi emosi dan mental. Maka, Ibu bapa perlu mencipta persekitaran teratur dan kreatif untuk anak, menggunakan pelbagai permainan dan alatan teknikal untuk memberi pendedahan baik bagi merangsang pertumbuhan mereka.

Ibu bapa yang sentiasa memberikan perhatian, berkomunikasi dengan cara betul dan menyatakan kasih sayang berterusan mampu menjadikan anak lebih bersikap rasional lagi positif.

Perkembangan kanak-kanak dapat dipertingkatkan secara optimum jika ibu bapa cukup fleksibel dan ambil kira umur mereka, psikologi, keutamaan, peringkat perkembangan dan gaya pendidikan.

Bermakna, dalam kebebasan menggunakan peranti elektronik sama ada telefon pintar atau televisyen, ibu bapa perlu mengira jumlah jam dihabiskan anak supaya mereka mempunyai masa untuk bermain permainan interaktif.

Berdasarkan perspektif ekologi, Brofenbrenner berpendapat pembangunan manusia sebahagian besarnya dibentuk menerusi sistem persekitaran saling berkaitan merangkumi orang paling rapat, iaitu keluarga, rakan sebaya dan sekolah. Manakala lebih besar lagi iaitu, kejiranan, komuniti dan budaya masyarakat.

Untuk memastikan kestabilan sosial terpelihara perlu bermula dengan membangunkan keluarga sejahtera, sihat dan mampu menjadi benteng kepada sebarang anasir perosak kesejahteraan anak.

Oleh demikian, ibu bapa perlu berusaha meluangkan masa berkualiti bersama keluarga beberapa kali seminggu supaya kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga mampu dijaga serta dipelihara. Keluarga bahagia akan saling mengasihi, aman, selamat dan membina masyarakat sejahtera.

Penulis adalah Naib Ketua Wanita, Ahli Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh, Ketua Kluster Perpaduan Nasional Agenda Nasional, Pertubuhan IKRAM Malaysia

Berita Harian X