Selasa, 21 Jun 2022 | 2:42pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sedia platform alternatif elak wujud generasi hilang

Ketika meraikan prestasi cemerlang keputusan keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, timbul kekhuatiran terhadap nasib dan masa depan dua kelompok murid tercicir yang jika dibiarkan akan menjadi generasi hilang.

Mereka ialah kumpulan murid gagal sepenuhnya dan tidak layak mendapat sijil, iaitu seramai 1,655 calon atau 0.43 peratus, manakala kelompok lain ialah calon mendaftar, tetapi tidak hadir dan tidak mengambil peperiksaan (24,941 calon).

Nasib dan kedudukan kedua-dua kumpulan calon ini hampir sama hingga menimbulkan kekhuatiran terhadap hala tuju dan masa depan mereka, sekali gus tanpa sijil SPM, apa pilihan mereka ada? Hal ini cukup penting diteliti kerana ketika ini, ramai graduan menganggur dan bergelut mendapatkan peluang pekerjaan hingga menimbulkan persoalan adakah calon tanpa SPM seperti ini mampu meneruskan survival kehidupan?

Logiknya, kedua-dua kelompok ini bakal berhadapan pelbagai cabaran meneruskan kehidupan. Justeru, kerajaan perlu segera lakukan intervensi sewajarnya demi mengelak mereka daripada terjerumus kepada generasi tercicir hingga memerlukan pelan pemulihan efisien dan berkesan.

Langkah intervensi pertama, mencari mereka dan mengenal pasti punca menyumbang kegagalan dan keciciran agar kita dapat menghulurkan bantuan sewajarnya. Kita perlu tahu apa punca mereka gagal serta kenapa tidak menduduki peperiksaan berkenaan.

Seterusnya, kita perlu merangka pelan kontingensi untuk menyelamatkan mereka daripada menjadi generasi tercicir yang tiada hala tuju jelas. Mereka masih muda dan jauh lagi perjalanan hidup, justeru menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan platform alternatif untuk bangkit mencipta dan mencorak masa depan lebih baik.

Antara wajar dibuat, bantu dan tawarkan mereka pilihan menduduki semula peperiksaan SPM. Bagi tujuan itu, mereka perlu diberi sesi kaunseling agar dapat menyedarkan kepentingan dan keperluan memiliki sijil SPM untuk pelbagai urusan penting.

Kaunselor boleh memujuk dan memulihkan semula semangat serta menyuntik motivasi untuk calon berkenaan kembali menyahut cabaran mengambil semula SPM. Dalam konteks ini, ibu bapa juga perlu diberikan kaunseling sewajarnya supaya dapat membimbing, memujuk dan menggalakkan anak mereka menduduki semula SPM. Mereka sendiri perlu ditunjuk jalan keluar daripada kemelut ini, sekali gus menerapkan kepentingan pendidikan.

Bagi yang betul-betul nekad dan tidak mahu menduduki semula SPM, kerajaan wajar menyediakan ruang latihan kemahiran dalam bidang diminati. Kita perlu menggilap potensi dan mengenal pasti bidang mereka minati seterusnya permudahkan urusan tawaran kemasukan serta bantuan kewangan supaya boleh memulakan latihan. Dengan sijil kemahiran, mereka bukan sahaja boleh mencari pekerjaan bersesuaian, malah boleh menjadi usahawan dan mencipta peluang kerja kepada orang lain.

Dalam konteks ini, kita perlu menerangkan kelebihan dan masa depan terbentang luas kepada lulusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Kaunselor kerjaya boleh memainkan peranan memberi penerangan dan memadankan minat mereka dengan bidang TVET yang ada.

Kerajaan juga wajar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan melaksanakan langkah pencegahan sewajarnya agar calon SPM mulai tahun ini tidak lagi menerima nasib seperti ini. Ini penting kerana setiap tahun kita berhadapan masalah keciciran dan kegagalan murid seperti ini.

Timbalan Pengarah, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X