Khamis, 16 Jun 2022 | 11:00am
Teknologi moden mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dan meningkatkan pengeluaran. - Foto hiasan
Teknologi moden mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dan meningkatkan pengeluaran. - Foto hiasan

Kuasai teknologi moden majukan sektor pertanian negara

Indeks sekuriti makanan serantau menunjukkan Malaysia berada di hadapan negara ASEAN lain. Namun laporan Global Food Security Index (GFSI) 2021, menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-39 dengan 70.1 mata, iaitu peningkatan 6.4 mata berbanding 2020 itu, masih berada di belakang Singapura mencatatkan indeks 77.4 mata.

Angka GFSI diukur melalui kemampuan perolehan makanan, kesediaan makanan, sekuriti dan kualiti makanan itu, memberi isyarat Malaysia perlu menimbang dan mengambil langkah strategik untuk memastikan indeks sekuriti makanan negara terus terjamin dan tidak terjejas.

Indeks sekuriti makanan berkait rapat dengan pengurusan rantaian bekalan makanan, manakala penguatkuasaan terhadap pengurusan rantaian bekalan makanan amat penting bagi mengawal kenaikan harga makanan.

Ketika ini berlaku kenaikan mendadak harga barang makanan di pasaran namun penguatkuasaan dan pemantauan proses jual beli sahaja tidak mampu mengawal kenaikan harga makanan mendadak.

Penguatkuasaan terhadap keseluruhan proses dalam rantaian makanan membabitkan pembekal, pembuatan dan logistik antara langkah membendung manipulasi harga pihak tidak bertanggungjawab.

Kewujudan kartel atau orang tengah dalam rantaian makanan memberi impak negatif kepada kenaikan harga barang makanan. Ini kerana kartel mengaut keuntungan dengan memanipulasi harga barang mentah, sekali gus memberi kesan kepada harga akhir produk makanan.

Ini menuntut kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk
mengambil langkah proaktif dalam mengekang
kewujudan golongan mengambil kesempatan serta mengaut keuntungan mudah.

Agensi kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme strategik kepada pengusaha ladang ternakan dan sayuran seperti menjadi orang tengah untuk membantu memasarkan produk kepada sektor pembuatan dengan kos terkawal.

Kaedah lain termasuk memberi latihan kepada semua pihak dalam rantaian bekalan seperti
pengangkutan dan logistik, kawalan mutu kualiti produk serta khidmat pelanggan, bagi menghapuskan kebergantungan dan peranan kartel memanipulasi pengurusan rantaian bekalan makanan.

Di samping itu, kebergantungan industri makanan tempatan kepada tenaga buruh asing juga
perlu diperhalusi dengan lebih cekap kerana ketika ini 75 peratus pekerja dalam sektor perladangan adalah buruh asing.

Kebergantungan kepada tenaga buruh asing ini bertambah kritikal ketika pandemik COVID-19
melanda sehingga kekurangan tenaga kerja
di sektor perladangan memberi impak kepada hasil pengeluaran tanaman dan bahan mentah, sekali gus harga produk makanan melambung berikutan permintaan dan penawaran tidak seimbang.

Justeru, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu memikirkan formula strategik mengurangkan kebergantungan tenaga buruh asing dalam industri makanan serta perladangan.

Hal ini perlu dilihat sebagai serampang dua mata kepada sektor ekonomi Malaysia apabila dapat meminimumkan aliran wang keluar negara, sekali gus dapat mengukuhkan nilai mata wang ringgit serta mampu mengawal inflasi.

Dasar Pandang ke Timur juga berpotensi menjadi penyelesaian kepada industri dan kerajaan mengawal kenaikan harga barang makanan kerana Jepun memberi fokus kepada sektor teknologi pertanian bagi memastikan sekuriti makanan negara itu terjamin.

Adaptasi teknologi dalam sektor pertanian boleh dilakukan bagi meningkatkan hasil pengeluaran serta kualiti produk pertanian. Kaedah ini juga mampu meningkatkan simpanan bekalan makanan.

Kerajaan melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) juga boleh menyediakan latihan dan perundingan bersesuaian industri terbabit untuk memastikan pengusaha sektor makanan memperoleh maklumat serta ilmu berkesan meningkatkan produktiviti, sekali gus dapat memasarkan produk makanan tempatan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Berita Harian X