Bentuk ancaman di lautan bukan lagi tertumpu kepada keselamatan sahaja, bahkan tertakluk kepada isu pencemaran marin dan eksploitasi sumber laut secara tidak mampan. Isu alam sekitar marin semakin mencabar memandangkan fizikal lautan itu sendiri bersifat tiada sempadan.
Pencemaran plastik di lautan contohnya walaupun membahayakan hidupan laut dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan manusia, masalah itu terus berlarutan hingga kini.
Justeru, isu ini perlu ditangani demi kelestarian sumber laut serta kestabilan pembangunan sektor maritim negara. Berdasarkan pemerhatian, kekangan p entadbiran dan pengurusan sumber lautan, terutama dalam konteks urus tadbir perlu diberi perhatian.
Pada ketika ini, pendekatan pengurusan dipraktikkan kurang teratur dan tidak sistematik dengan kewujudan birokrasi dalam pentadbiran sedia ada tertumpu kepada perancangan tidak selari dengan pelaksanaan.
Selain itu, kewujudan kelemahan dan jaringan kompleks dalam tadbir urus boleh menjejaskan sistem pentadbiran lautan. Keperluan pemerkasaan tadbir urus lautan dilihat tindakan bersepadu dari segi dasar, tindakan dan urusan berkaitan mengekalkan kesejahteraan serta kelestarian lautan.
Oleh itu, cabaran menyeluruh terhadap tadbir urus lautan perlu diteliti dan memerlukan pelan tindakan jangka panjang dan bersifat holistik melalui pembangunan dasar lautan negara lestari.
Antara ciri tadbir urus baik ialah kesediaan menghadapi cabaran dengan berkesan di samping memenuhi aspirasi dan kepentingan penggunanya. Secara amnya, tadbir urus lautan perlu berpandukan perlembagaan lautan terkandung dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
UNCLOS ialah asas kepada tindakan melindungi persekitaran laut dari segi penggunaan dan pemuliharaan sumber laut serta hak perundangan dan ruang lautan saling berkaitan dan perlu dipertimbangkan secara keseluruhan.
Bahagian XII UNCLOS menggariskan panduan khusus untuk perlindungan alam sekitar marin daripada kesan berbahaya ditimbulkan secara langsung oleh kegiatan manusia, termasuk sumber pencemaran berasaskan laut, darat dan udara.
Keseragaman dalam tadbir urus lautan diyakini dapat menangani isu, terutama dalam pembahagian ruang lautan laut, di samping mengawal aktiviti manusia di lautan secara holistik.
Struktur tadbir urus koheren sangat penting untuk menangani cabaran secara komprehensif melalui perancangan dasar dan rangka kerja kawal selia menyeluruh.
Selain itu, adalah amat penting untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan tindakan manusia terhadap lautan serta pendedahan pengurusan mampan lautan dunia.
Tanggungjawab melindungi dan memelihara ekosistem laut adalah tanggungjawab bersama. Kesedaran masyarakat mengenai kepentingan laut kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup amat penting bagi memenuhi sasaran penggunaan mampan lautan seperti digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Matlamat Pembangunan Lestari 14.
Setiap tahun seluruh dunia menyambut Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun bertujuan memberikan kesedaran mengenai kepentingan laut peringkat global.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)