Selasa, 7 Jun 2022 | 10:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perbetul salah faham PRU-15 perlu disegerakan

Kewajaran sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan lebih awal atau perlu menunggu sehingga tempoh sah Parlimen Ke-14 berakhir pada Jun 2023 dilihat jelas menjadi polemik besar politik negara ketika ini.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah parti lantang mendesak PRU-15 diadakan lebih awal atau lebih tepat lagi selepas Julai ini dengan mendakwa rakyat kini berada dalam keadaan feel good.

Pada masa sama, keyakinan UMNO ini berdasarkan kepada keputusan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini selepas memenanginya dengan memperoleh majoriti dua pertiga.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat sekarang bukan masa sesuai mengadakan PRU-15 kerana negara ketika ini berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi tinggi.

Dalam hal ini, PAS sependapat dengan Perdana Menteri, malah menganggap PRU-15 wajar diadakan selepas penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada Jun depan.

Pakatan Harapan (PH) walaupun lebih banyak berdiam diri dalam spekulasi PRU-15 ini sebaliknya komited membuat persiapan dengan mahu membentuk jawatankuasa pilihan raya, manifesto dan Jelajah Harapan bagi mempersiapkan jentera PH serta membangkitkan semangat rakyat terutama pengundi atas pagar untuk berdepan PRU.

Perikatan Nasional (PN) pula masih belum menunjukkan tindak balas meyakinkan, namun menyokong agihan kerusi untuk ditandingi pada PRU-15 perlu dilakukan lebih awal tanpa menyatakan dengan parti mana mereka akan berunding.

Persoalannya, bilakah waktu sesuai PRU-15 wajar diadakan? Walaupun negara ketika ini berada dalam fasa peralihan ke endemik, 'pemulihan sebenar' negara dilihat masih jauh daripada sasaran.

Selepas Julai ini mungkin waktu sesuai untuk PRU-15 diadakan, namun ruang waktu paling ideal berdasarkan takwim Parlimen adalah selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 berakhir pada 4 Ogos nanti.

Namun, jika kerajaan mahu mengadakan PRU-15 selepas Belanjawan 2023 dibentang yang dijadual pada 28 Oktober nanti, kerajaan terpaksa sekali lagi mengharapkan belas ihsan daripada pembangkang untuk meluluskannya seperti tahun lalu. Dari segi strategi politik, ia seharusnya dielakkan, tetapi jika tiada pilihan, kerajaan harus bersedia menanggung risiko daripada sebarang tindakan pembangkang.

Kerajaan hari ini pula lemah kerana terpaksa mengharapkan sokongan pembangkang untuk bernyawa, sekali gus tidak memiliki kekuatan politik sebenar melaksanakan dasar baharu bagi mempertahankan negara dan melindungi rakyat.

Hambatan kuasa politik akibat ancaman sokongan daripada pembangkang dihadapi kerajaan ketika ini satu aspek sukar difahami rakyat, apatah lagi kefahaman mereka terhadap masalah dihadapi kerajaan ini dibayangi dakyah kononnya desakan supaya PRU-15 perlu disegerakan adalah bagi membolehkan orang politik mengejar kuasa semata-mata.

Tanpa prejudis, fahaman salah ini berbekas di minda rakyat akibat mereka terpengaruh membuta tuli dengan pelbagai maklumat tidak tepat mengenai krisis kuasa dalam kerajaan disebarkan menerusi media sosial.

Namun, rakyat tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dalam masalah ini kerana naratif sering ditunjukkan segelintir pemimpin parti seolah-olah menunjukkan mereka sangat kemaruk kuasa.

Bila pun PRU-15 diadakan, ia sepatutnya menjadi proses matang dan sejahtera bagi mewujudkan kestabilan politik, kerajaan utuh dan dapat menggubal serta melaksanakan dasar membaik pulih semula ekonomi ini tanpa menyebabkan dijatuhkan.

PRU-15 juga sepatutnya dimanfaatkan pengundi untuk memilih pemimpin berintegriti, dipercayai rakyat, kompeten dan mampu memulihkan semula negara.

Penolong Pengarang Berita BH

Berita Harian X