Selasa, 24 Mei 2022 | 5:34pm
Laporan dalam BH Online.
Laporan dalam BH Online.

Beri DBP kuasa hukum pesalah bahasa walaupun menteri

'Bolehkah kerajaan saman kerajaan?' Persoalan ini pernah menjadi halangan utama ketika perbincangan pindaan kepada Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Akta 213) sekitar 2009.

Ketika itu, cadangan pindaan untuk memberikan kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menghukum pesalah bahasa, termasuk denda dan penjara diberikan kepada Kementerian Pelajaran (kini Kementerian Pendidikan) dan khabarnya sudah sampai ke pejabat Peguam Negara.

Sekiranya diterima, DBP berkuasa bukan sahaja menghukum pesalah bahasa membabitkan papan tanda dan iklan, bahkan semua majlis rasmi memerlukan penggunaan bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Bagaimanapun, cadangan pindaan itu dikatakan dipulangkan kembali kepada agensi berkenaan kerana sekiranya diluluskan, bermakna bukan sahaja DBP boleh 'menyaman' syarikat swasta atau individu, bahkan entiti kerajaan termasuk kementerian, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Inilah menjadi halangan besar hingga pegawai kanan DBP ketika itu membisikkan persoalan 'bolehkah kerajaan saman kerajaan' menyebabkan kuasa penguatkuasaan kepada DBP sukar diberikan.

Hakikatnya, ia membawa realiti pahit untuk ditelan, iaitu antara 'pesalah bahasa' di negara ini adalah entiti dalam kerajaan sendiri, malah tidak mustahil hingga ke tahap menteri sekiranya penamaan dasar dan inisiatif kementerian menggunakan bahasa Inggeris, termasuk dalam kesalahan tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.

Seorang pegawai perancang bahasa DBP juga pernah mengadu mesyuarat kementerian dihadirinya banyak menggunakan bahasa Inggeris meskipun ahli mesyuarat adalah pegawai kerajaan. Ini juga termasuk dalam kesalahan bahasa kerana sebarang urusan rasmi kerajaan, termasuk mesyuarat perlu diadakan dalam bahasa kebangsaan.

Pada peringkat PBT pula, penamaan bangunan dan taman perumahan, papan tanda serta iklan yang perlu mendapat kelulusan pihak berkenaan pula boleh dikatakan bersepah dengan penggunaan bahasa Inggeris. Contoh mudah, pengguna lebuh raya yang masuk ke Bandar Baru Bangi akan melihat bangunan dengan nama dalam bahasa Inggeris, Bangi Gateway, yang ironinya, bandar sama menempatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sekiranya pindaan Akta DBP diterima ketika itu, PBT bertanggungjawab dalam kelulusan penamaan bangunan dengan bahasa Inggeris juga termasuk dalam senarai 'pesalah' yang boleh disaman. Namun, 'mujur' cadangan pindaan Akta DBP itu mati begitu sahaja kerana sekiranya tidak, banyaklah kementerian, badan berkanun, PBT dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta terpaksa membayar kompaun atau saman kerana melakukan kesalahan bahasa.

DBP pun terus menjadi 'pendakwah' bahasa Melayu, tetapi apa diutarakan badan berkenaan ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri termasuk dalam entiti kerajaan sendiri. Bagaimanapun, disebabkan tiada penguatkuasaan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan, bukan sahaja pihak swasta dan orang awam mengabaikan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, entiti dalam kerajaan melanggar meskipun ia termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan.

Realitinya, proses memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini tidak boleh hanya menggunakan kaedah kempen dan slogan, sebaliknya pendekatan 'ganjaran dan hukuman.' Malah, lebih penting lagi ia perlu bermula keazaman politik kerana sudah menjadi 'prosedur operasi standard' pelaksanaan sesuatu dasar di negara ini akan lebih cepat direalisasikan sekiranya bermula daripada peringkat tertinggi seperti Perdana Menteri.

Jika tidak, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mungkin dapat direalisasi dalam tempoh relatif sangat singkat sekiranya Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengutarakannya walaupun dibantah ahli bahasa, sasterawan, budayawan dan pakar pendidikan.

Oleh itu, keazaman politik diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh menjadi landasan memperbetulkan semula usaha memartabatkan bahasa Melayu yang diganggu-gugat selama ini melalui pelaksanaan pada peringkat kerajaan tidak konsisten, kejahilan segmen korporat dan sikap tidak cakna masyarakat.

Peringatan Perdana Menteri bahawa penggunaan bahasa Melayu perlu dilaksana di jabatan dan agensi kerajaan, GLC dan syarikat swasta juga perlu disusuli pindaan Akta DBP yang memberi kuasa penguatkuasaan kepada badan berkenaan.

Dengan keazaman politik Perdana Menteri, termasuk dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu bermula semalam hingga hari ini dianjurkan Pejabat Perdana Menteri sendiri, diharapkan tiada lagi halangan seperti 'bolehkah kerajaan saman kerajaan' akan diungkapkan hingga mematikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dengan menggunakan kedua-dua pendekatan ganjaran dan hukuman itu.

Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

Berita Harian X