Ahad, 15 Mei 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Budaya buli jika benar berlaku harus dihentikan dan pihak KKM sewajarnya menyiasat dengan telus

Pada 17 April lalu, negara dikejutkan dengan satu berita berkenaan seorang doktor pelatih bertugas di hospital Pulau Pinang ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit apartment kediamannya di bangunan berhampiran.

Pihak polis memulakan siasatan dan merakamkan keterangan daripada doktor serta rakan serumah seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP). Setakat hari ini, siasatan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan punca kematian masih diteruskan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah melaporkan diri pada 4 April lalu di HPP dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga menerima laporan awal mengenai kematian doktor pelatih terbabit, diikuti penubuhan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF).

Pasukan khas bebas yang diberi masa dua bulan itu dianggotai lapan panel profesional dilantik untuk menyiasat budaya kerja, isu berkaitan mangsa, membuat analisa budaya kerja di hospital kerajaan dan juga isu berkaitan buli, selain membuat syor dan laporan memperbaiki budaya kerja di KKM.

Rentetan daripada kes ini, ramai menyuarakan kebimbangan dan kegelisahan serta pelbagai spekulasi yang belum terjawab. Isu ini tertumpu sama ada berlakunya salah laku oleh pihak tertentu di premis pekerjaan, iaitu di HPP yang berkaitan tugasan harian dan mungkin juga akibat tekanan fizikal atau mental yang belum dapat dikenal pasti.

Ada beberapa pihak tertentu mengaitkan isu ini sebagai hasil tekanan pekerjaan berterusan ataupun mungkin juga berkaitan 'buli' keterlaluan hingga tidak mampu ditangani mangsa yang kita fikir tidak seharusnya berlaku.

Sebenarnya, tugasan sebagai doktor, sama ada doktor pelatih, pegawai perubatan, pakar serta pelbagai lapisan kakitangan perubatan dan kesihatan di klinik atau hospital sangat memerlukan komitmen tinggi untuk merawat dan mengendalikan pesakit daripada segenap latar belakang.

Jadual waktu kerja panjang dan kemasukan pesakit ke hospital atau klinik melangkaui masa kerja pada siang dan berterusan ke malam serta tanpa berhenti 24 jam sehari.

Keadaan kerja dan tugasan hakiki ini memerlukan persediaan fizikal, mental serta kemahiran klinikal bersesuaian latihan untuk doktor ini menjadi kompeten dan berkemahiran tinggi.

Kesilapan dan kecuaian daripada pihak doktor atau pasukan perubatan dan kesihatan akan menjejaskan mutu serta kualiti perkhidmatan kepada pesakit.

Dalam situasi tertentu seperti kecemasan, keadaan kritikal itu memerlukan komitmen dan keputusan diagnosa klinikal pantas oleh pasukan petugas. Semua ini memerlukan kemahiran dari sudut pengetahuan perubatan dan klinikal supaya pesakit boleh diselamatkan dalam situasi genting yang sering berlaku di mana-mana klinik ataupun hospital sepanjang masa waktu bertugas.

Dengan suasana pekerjaan dan tugasan hakiki ini sebenarnya boleh menambahkan lagi tekanan perasaan dan mental petugas sepanjang berada di premis berkenaan.

Justeru, latihan klinikal seperti kompetensi mengendalikan prosedur perubatan dan pembedahan, kemahiran klinikal perubatan dan kaedah pengendalian pesakit adalah antara asas penting menyeimbangkan peranan doktor ketika mengendalikan pesakit di klinik atau wad di hospital.

Namun, kita tidak harus membenarkan situasi latihan klinikal di hospital atau klinik ke atas mana-mana doktor pelatih disalahertikan hingga mereka tidak dilayan seperti tertakluk tugasan hakiki ditetapkan KKM.

Kita juga tidak benarkan sama sekali apa-apa budaya yang boleh menyebabkan doktor pelatih tertekan tanpa mendapat sokongan sepatutnya daripada pihak majikan.

Budaya buli sekiranya benar berlaku harus dihentikan dan pihak KKM sewajarnya menyiasat dengan telus kerana peranan doktor pelatih serta petugas perubatan dan kesihatan yang lain sangat penting untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan.

Selain itu, pihak KKM boleh juga menyediakan saluran aduan yang bebas sekiranya ada pihak teraniaya, laporan rasmi boleh dibuat terus ke KKM tanpa melalui tempat tugasan mereka atau melalui ketua jabatan.

Saluran rasmi aduan KKM ini membenarkan siasatan bebas boleh dijalankan pada bila-bila masa sekiranya benar kes buli berlaku. Kita juga perlukan satu prosedur jelas demi memastikan semua pihak tidak teraniaya ketika menjalankan tugas mereka.

Semua majikan perlu menyediakan sistem sokongan di setiap premis pekerjaan supaya tugasan hakiki boleh dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan imej profesion berkenaan.

Penulis adalah Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Berita Harian X