Jumaat, 25 March 2022 | 10:30am
Sijil halal JAKIM memberi keyakinan kepada pengguna Muslim terhadap penyediaan makanan. - Foto hiasan
Sijil halal JAKIM memberi keyakinan kepada pengguna Muslim terhadap penyediaan makanan. - Foto hiasan

Logo, sijil halal hindar rasa ragu pengguna

Banyak isu dan laporan berkaitan kebersihan makanan dan premis penyediaan makanan didedah serta ditularkan termasuk pengendalian makanan tidak mengikut etika kebersihan, terdedah kepada binatang perosak seperti tikus dan lipas, selain kelemahan penyelenggaraan peralatan memasak.

Tindakan pengguna yang menularkan isu sebegini sebenarnya menunjukkan masyarakat semakin peka dan sensitif kepada isu kebersihan, sekali gus bijak membuat pilihan.

Sebenarnya, pengusaha premis makanan atau penyediaan produk berkenaan boleh mendapatkan keyakinan pengguna dengan memohon logo serta sijil halal.

Bagaimanapun, tidak semua restoran atau premis makanan mempunyai logo dan sijil halal. Walaupun kita akui restoran halal mudah didapati di negara ini, tetapi jumlah premis bersedia memohon logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sangat kecil.

Dari satu segi, kita memang bertuah dilahirkan dan menetap di negara ini kerana perasaan ragu atau curiga terhadap status halal atau tidak bersih tidak menjadi isu sekiranya pemilik premis berkenaan jelas seorang Muslim.

Bagaimanapun, kefahaman terhadap konsep halal dan toyyib yang bermakna bersih, selamat, suci serta berkualiti, sangat penting kepada setiap individu termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Muslim.

Sijil atau logo halal ini sebenarnya boleh menjadikan pelanggan yakin dan tidak was-was terhadap produk atau perkhidmatan ditawarkan.

Oleh itu, pemilik restoran atau premis makanan boleh mendapatkan pengiktirafan halal kerana antara sembilan skim pensijilan halal Malaysia berada di bawah skim premis makanan termasuk restoran, kafe, premis makanan berangkai dan premis bergerak.

Pada masa sama, antara syarat penting dalam permohonan sijil halal Malaysia adalah pemohon perlu membangunkan Sistem Pengurusan Halal Malaysia. Syarat ini mungkin wajar dipertimbangkan untuk menjadi keperluan umum dalam pengoperasian premis makan seperti restoran, kafe, gerai bergerak dan juga produk makanan disediakan dari rumah.

Skop Sistem Pengurusan Halal Malaysia tidak terhad bagi memenuhi keperluan halal, malah memastikan makanan atau proses terbabit dalam penyediaan makanan itu bersih, suci dan selamat.

Pengusaha premis perlu komited membangunkan amalan halal melangkaui definisi halal seperti difahami umum kerana ia termasuk bersih, suci dan selamat berdasarkan polisi jelas.

Pihak pengurusan dan pekerja perlu mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan setiap aspek mengikut keperluan ditetapkan termasuk kawalan bahan mentah, pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan perkakasan, premis, pengangkutan dan pengedaran serta sanitasi.

Tanpa menafikan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas di bawah Akta Makanan 1983 dan pemantauan berkala perlu diperketatkan, kesedaran kendiri pengusaha serta pekerja mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan adalah lebih utama.

Oleh itu, usaha menanam kesedaran betapa pentingnya amalan kebersihan dan keselamatan makanan perlu dipergiatkan demi menjamin kesejahteraan dan kesihatan masyarakat.

Bagi pengusaha premis, mereka perlu memahami bahawa mendapatkan sijil halal bukan semata-mata satu pilihan, sebaliknya kemestian dalam usaha menjaga keselamatan diri dan masyarakat.

Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)

Berita Harian X