Khamis, 17 March 2022 | 11:10am
Sebahagian daripada perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri 2021 pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka WTCKL, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Sebahagian daripada perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri 2021 pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka WTCKL, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Gesaan cepatkan PRU, hubungan PAS jadi tumpuan PAU 2021

HARI ini, tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dibuka dengan perhimpunan serentak tiga sayap parti, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.

Perjalanan persidangan kali ini berlangsung seperti tahun sebelumnya, dengan tempoh perbahasan PAU dipendekkan hanya dua hari berbanding tiga hari seperti dilaksana sebelum 2018.

Bagaimanapun, tahun ini berbeza dengan suasana tahun lalu yang menyaksikan sebahagian perwakilan mengikuti perhimpunan secara hibrid di bahagian masing-masing. Ini kerana semua 5,571 perwakilan UMNO termasuk tiga peringkat sayapnya akan 'berkampung' di WTC.

Tumpuan PAU kali ini sudah pasti terarah kepada beberapa isu politik yang melingkari negara. Perbahasan dijangka berfokus sepenuhnya kepada persediaan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Persoalan berkaitan gesaan mempercepatkan PRU sebelum ini diuar-uarkan media dan diusul perwakilan pada peringkat bahagian, dijangka akan dilerai serta diputuskan pada PAU kali ini.

Sama ada ia bakal dibawa dalam satu usul PAU atau mesejnya sekadar disentuh jurucakap perwakilan negeri dan kepemimpinan parti dalam ucapan penggulungan, semuanya diputuskan selepas mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual berlangsung malam ini.

Sebelum ini, gesaan pemimpin UMNO mempercepatkan PRU-15 dibuat selepas mengambil kira kedudukan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hanya memiliki kelebihan sokongan majoriti tipis Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Kedudukan itu meletakkan parti Melayu ini lebih waspada dengan sebarang ganggu-gugat, termasuk ugutan politik berterusan yang hanya mengundang situasi lebih buruk kepada kelancaran pentadbiran kerajaan.

Pertimbangan usul mempercepatkan PRU juga selepas melihat tempoh persetujuan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang dijadual akan berakhir pada Julai ini.

Dalam MoU itu, antara perkara dimeterai adalah kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan sebarang pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai ini.

Momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak 2018 dan terbaru, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor, mengukuhkan lagi iltizam parti itu untuk menggerakkan 'mood' ke arah PRU-15.

UMNO melihat persediaan mereka mendepani PRU-15 lebih selesa dan meyakinkan ketika ini, terutama selepas mesej kestabilan politik dibawanya, sedikit sebanyak sudah mula difahami serta diterima rakyat dan pengundi.

Namun, kehendak UMNO ini memberi cabaran besar untuk dipenuhi kerajaan Ismail Sabri, memandangkan sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) 'tidak menyambut' cadangan supaya PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

Bahkan, PH juga mengambil sikap sama, dengan Ahli Parlimen mereka sendiri mengesyorkan di Dewan Rakyat supaya Parlimen penggal ke-14 ini dilanjutkan hingga tamat penggalnya tahun depan.

Selain gesaan berkaitan PRU-15, usul memutuskan hubungan dengan PAS, di bawah kerangka Muafakat Nasional (MN) juga dijangka menarik perhatian dalam PAU pada kali ini.

MN dimeterai antara kedua-dua politik Melayu Islam terbesar itu semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 yang berlangsung ketika PH menjadi kerajaan.

Sama ada UMNO mengambil sikap untuk terus mempertahankan MN atau memberi kata muktamad dengan menghentikan kerjasama politik dengan PAS, dijangka turut disentuh dan dibahas jurucakap perwakilan.

Keputusan PAS untuk kekal bersama PN dan kesediaan parti itu bertanding melawan UMNO pada PRN Melaka serta Johor, memberi isyarat jelas hubungan dan kerjasama politik dijalin sebelum ini bakal berakhir.

Turut menarik tumpuan dalam PAU kali ini adalah berkaitan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti dijangka akan dibentang kerajaan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Pembentangan itu sebahagian komitmen kerajaan di bawah MoU Transformasi dan Kestabilan Politik untuk mengatasi isu lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ismail Sabri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat minggu lalu menjelaskan, RUU ini akan dibentangkan di Parlimen selepas perkara dasar dan definisi lompat parti dimuktamadkan.

Sejak PRU-14 berakhir, seramai 38 Ahli Parlimen sudah bertukar parti, sebahagian besar adalah wakil rakyat melompat ke BERSATU yang kini menerajui PN.

Apapun mesej akan dibawa dalam PAU kali ini, ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan kerajaan khususnya Perdana Menteri dalam mencorak hala tuju politik negara dalam tempoh terdekat.

Penulis adalah wartawan BH

Berita Harian X