Isnin, 14 March 2022 | 11:24am
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin menyaksikan bilangan anak muda yang keluar mengundi tidak seperti yang dijangkakan. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin menyaksikan bilangan anak muda yang keluar mengundi tidak seperti yang dijangkakan. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Keputusan PRN Johor bukti proses demokrasi pilihan rakyat

Suatu yang agak menghairankan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin menyaksikan bilangan anak muda yang keluar mengundi tidak seperti yang dijangkakan.

Pada PRN Johor, seramai 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas layak mengundi susulan pendaftaran automatik Undi18. Kira-kira 30 peratus pengundi PRN Johor golongan muda berumur 18 hingga 21 tahun.

Namun, peratusan keluar mengundi yang rendah golongan ini menghairankan sedangkan penganalisis menjangkakan kehadiran lebih ramai anak muda terbabit dalam proses pilihan raya.

Selain itu, bilangan pengundi yang mengundi pada PRN Johor juga agak rendah iaitu 54.92 peratus sedangkan SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi.

Hal ini dikatakan ada kaitan dengan pandemik COVID-19 yang masih menular dalam kalangan penduduk. Justeru, ramai yang bimbang untuk keluar mengundi. Tambahan pula banyak keluarga dikatakan terpaksa menjalani kuarantin akibat jangkitan COVID-19.

Sementara itu, kemenangan Barisan Nasional (BN) didasari beberapa faktor, antaranya kewibawaan kepemimpinan Datuk Hasni Mohammad. Beliau fokus kepada ikhtiar untuk mendapat mandat baharu rakyat bagi memacu kegemilangan Johor.

Kejayaan BN juga disebabkan sokongan kuat kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan barisan jemaah kabinet 'berkampung' di Johor memberi sokongan moral serta menjalankan kempen untuk memenangkan calon BN.

Banyak ikhtiar diumumkan untuk memulihkan ekonomi, membangun negeri dan membawa kesejahteraan kepada kehidupan rakyat. Hal ini, termasuk pengumuman Perdana Menteri membuka pintu sempadan negara, termasuk dengan Singapura mulai 1 April ini.

Sementara itu, keputusan pembangkang bersaing sesama mereka juga dikatakan punca utama mempengaruhi kemenangan besar BN. PRN Johor menyaksikan blok pembangkang tidak bersatu, sekali gus menyebabkan undi pembangkang berpecah.

Selain Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan PKR yang memang mahu menyaingi BN, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Warisan (WARISAN) seperti hanya hendak menguji keberadaan mereka dalam pentas politik negara.

Dalam pada itu, strategi menyerang peribadi pemimpin parti, terutama mengkritik pemimpin UMNO dan BN juga dilihat tidak diterima di Johor, sebaliknya hanya mempopularkan lagi pemimpin berkenaan dalam kalangan pengundi.

Dakwaan pemimpin PN yang PRN Johor diadakan untuk menyelamatkan pemimpin 'kluster mahkamah' juga tidak memberi kesan. Isu nasional seperti rasuah dan penyelewengan dana negara dimainkan pemimpin pembangkang juga tidak menjadi. Sebaliknya pemimpin BN fokus menyebarluaskan manifesto berkaitan Agenda Ikhtiar Makmur Johor.

Ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengkritik kefahaman rakyat Johor terhadap politik Islam turut mengguris hati Bangsa Johor dan dipercayai mempengaruhi keputusan pengundi.

Keputusan PRN Johor juga menyaksikan prestasi DAP merudum, tetapi mereka berjaya mengekalkan 10 kerusi DUN dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Banyak kerusi tradisi DAP gagal dipertahankan seperti di Yong Peng, Paloh, Bekok dan Pekan Nanas.

PN juga dilihat gagal menarik sokongan rakyat. Entah mengapa legasi pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor gagal menarik sokongan rak- yat.

Namun, BERSATU mempertahankan DUN Bukit Kepong yang calonnya adalah bekas Menteri Besar, Datuk Dr Sharuddin Jamal serta DUN Endau. Rakan sekutunya PAS mendapat satu kerusi di DUN Maharani, manakala GERAKAN gagal mendapat sebarang kerusi.

PRN Johor juga menyaksikan penyertaan PEJUANG serta parti baharu lain tidak mendapat tempat di hati pengundi. Hakikatnya, parti terbabit tidak serasi dengan politik Johor dan penyertaan mereka tidak berbaloi, kerana hanya memecah undi Melayu.

Sesungguhnya, PRN Johor adalah proses demokrasi pilihan rakyat. Dalam PRN ini 'yang menang tidak jadi arang, yang kalah tidak jadi abu'. Banyak pengajaran boleh diambil daripada PRN Johor. Mungkin sudah sampai masa reformasi politik perlu dilaksanakan segera untuk mewujudkan integriti politik.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X