Rabu, 9 March 2022 | 11:10am
Pemilihan platform digital sebagai instrumen kempen menjadi pilihan terbaik bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19. - Foto hiasan
Pemilihan platform digital sebagai instrumen kempen menjadi pilihan terbaik bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19. - Foto hiasan

Kempen pilihan raya guna media sosial jadi keperluan norma baharu

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyajikan sesuatu yang menarik kerana ini bukan pilihan raya kecil (PRK), sebaliknya ia pilihan raya umum (PRU) bagi Johor membabitkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tiga gabungan parti politik utama terbabit pada PRN Johor iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Ketiga-tiga gabungan politik ini mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan Johor.

PRN Johor menyaksikan pertembungan yang paling sengit dalam sejarah negeri itu apabila 239 calon disahkan bertanding untuk merebut 56 kerusi DUN.

Pertandingan paling mencabar di DUN Tiram dan Kempas, menyaksikan saingan tujuh penjuru. Pertembungan enam penjuru pula di empat kerusi DUN iaitu Bukit Pasir, Maharani, Puteri Wangsa dan Larkin.

Pertandingan lima penjuru di lapan kerusi iaitu di DUN Tangkak, Bukit Naning, Semerah, Senggarang, Endau, Permas, Stulang dan Kota Iskandar.

Pada PRN ini, saingan empat penjuru mendominasi lebih separuh kerusi dipertandingkan iaitu 35 DUN, diikuti lima penjuru di lapan kerusi, tiga penjuru di tujuh DUN dan enam penjuru di empat DUN.

Selain itu, buat kali pertama Parti Warisan (WARISAN) meletakkan enam calon sebagai persediaan parti itu bertapak dan mencabar blok parti utama yang bertanding. Turut menjadi perhatian pada PRN Johor adalah Undi18 yang buat kali pertama di laksanakan.

Selepas seminggu kempen berlangsung, bahang PRN semakin hangat apabila semua calon dan parti sibuk berkempen siang dan malam memancing undi.

Calon mengambil peluang berkempen dengan norma baharu iaitu secara digital susulan sekatan tertentu kempen fizikal seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

PRN Johor memperlihatkan trend baharu dalam politik Malaysia apabila calon dan parti bertanding memanfaatkan platform media sosial dan digital dalam strategi kempen mereka.

Pemilihan platform digital sebagai instrumen kempen menjadi pilihan terbaik bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, sama ada kepada calon, petugas parti dan pengundi.

Jentera kempen pilihan raya, termasuk pemimpin utama parti menggunakan platform media sosial popular, terutama aplikasi TikTok untuk menarik sokongan pengundi, terutama generasi muda.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh media sosial bukan sesuatu yang janggal lagi, sebaliknya ia kini menjadi elemen utama dan diberi perhatian khusus parti serta untuk memancing undi.

Kempen secara digital ini memberi impak besar kepada calon dan parti bertanding. Namun, pengundi perlu lebih bijak dan mempunyai pemikiran kritis dalam menilai maklumat diterima melalui platform digital ini.

Bagaimanapun, kempen menerusi platform digital ini masih kurang memberi kesan besar kepada pengundi 'orang lama' yang tidak terlalu terdedah dengan capaian maklumat di platform digital.

Walaupun begitu, prosedur operasi standard (SOP) berkempen dalam PRN Johor dilihat lebih fleksibel berbanding di Melaka dan Sarawak tahun lalu, sekali gus memberi banyak kelebihan kepada semua calon dan parti bertanding.

Semalam, lebih 22,000 pengundi awal merangkumi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan memenuhi tanggungjawab mereka. Namun, keputusan penuh PRN Johor hanya diketahui pada 12 Mac ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka

Berita Harian X