Khamis, 3 March 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pastikan calon PRN Johor dipilih bawa citra baharu DUN Johor

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah ujian awal bagi semua parti yang bertanding untuk mengukur kematangan pengundi muda dalam proses demokrasi dan pilihan raya.

Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada PRN Johor, 12 Mac nanti, termasuk 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas, susulan pendaftaran automatik Undi18, Januari lalu.

Pewartaan pengundi layak mengundi itu menjadikan jumlah keseluruhan individu layak mengundi dalam PRN Johor meningkat 28 peratus.

Justeru, apa signifikannya PRN Johor ini dengan golongan pengundi muda? Jelas, pengundi muda perlu menilai secara matang dalam memilih calon dan parti yang bertanding.

Golongan ini harus membuktikan penyertaan mereka dalam proses pilihan raya adalah tepat dan diperlukan bagi mengubah landskap politik negara, selari dengan proses demokrasi.

Pengundi muda perlu keluar daripada bersikap taasub dan kepartian untuk mengundi, sebaliknya perlu menilai sentimen semasa dalam membuat pertimbangan.

Mereka perlu menjadi pemilih yang rasional, terutama memilih parti dari sudut kualiti berpolitik matang dan progresif. Walaupun hakikatnya tiada parti benar-benar mempunyai kualiti berpolitik seperti itu, pengundi muda harus bijak membuat pilihan.

Generasi muda juga disifatkan tidak terlalu ter- ikat dengan politik kenang budi seperti generasi lama. Golongan ini lebih terarah kepada sentimen semasa mereka.

Isu seperti peluang pekerjaan, kenaikan harga barang, isu pinjaman pendidikan dan perumahan antara isu utama sering menjadi topik perbincangan.

Justeru, pengundi muda harus menilai parti mana yang mampu memenuhi aspirasi mereka supaya tidak terjerat dengan janji politik populis.

Sementara itu, dapat dilihat parti politik yang bertanding pada PRN Johor menampilkan calon baharu dan muda sebagai strategi menarik sokongan pengundi muda.

Dalam hal ini, pengundi muda perlu menilai calon muda yang hendak dipilih itu perlu mempunyai ciri-ciri diperlukan untuk menjadi pemimpin, memiliki kredibiliti serta latar belakang pendidikan dan sahsiah baik, bukan sekadar muda dari segi umur.

Rasional dalam berpolitik harus dijadikan sandaran paling utama supaya landskap politik negara dapat diubah menjadi lebih matang, unggul dan dihormati.

Sifat ketaasuban dalam berpolitik hanya membawa kepada penutupan minda serta menjurus kepada kesilapan berulang-ulang yang tidak memberi impak positif kepada negara dan kehidupan rakyat.

Pada PRN Johor, mungkin pengundi muda boleh menunjukkan jalan keluar kepada elit politik yang tiada kualiti, korup dan tiada intergriti tanpa mengira fahaman politik.

Ia bagi memastikan wakil rakyat yang berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) benar-benar layak diangkat sebagai pemimpin dan membawa citra baharu dalam pentadbiran kerajaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar UiTM Pahang, Kampus Raub

Berita Harian X