Isnin, 28 Februari 2022 | 10:00am
Kemasukan semula pelajar ke kampus dijangka meningkatkan kembali motivasi pelajar. - Foto hiasan
Kemasukan semula pelajar ke kampus dijangka meningkatkan kembali motivasi pelajar. - Foto hiasan

Pelajar kembali ke kampus demi kelestarian kualiti pendidikan tinggi

Pada 10 Februari lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan kemasukan pelajar ke kampus akan bermula Mac ini. Hampir semua institusi pengajian tinggi (IPT) menyatakan kesediaan untuk menerima kepulangan pelajar masing-masing ke kampus.

Pada masa sama, IPT diberi fleksibiliti menentukan kaedah membawa pulang pelajar dan juga mod pembelajaran bersesuaian.

Selain itu, IPT juga wajib memastikan proses kemasukan pelajar mematuhi garis panduan kemasukan dan keberadaan di dalam kampus, serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KPT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehingga kini, hampir 1.2 juta pelajar IPT menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian melebihi tiga semester berturut-turut.

Berdasarkan tinjauan, antara masalah dihadapi pelajar apabila belajar dari rumah adalah faktor capaian internet tidak stabil, masalah kewangan menyediakan prasarana pembelajaran dalam talian seperti data internet, kemudahan laptop dan telefon, suasana pembelajaran tidak kondusif, sukar melakukan aktiviti amali dan sulit menguasai kursus dipelajari.

Paling mendukacitakan adalah isu kemerosotan motivasi belajar dalam kalangan pelajar akibat tahap kepuasan pembelajaran yang menurun.

Justeru, pengumuman kemasukan pelajar ke kampus dijangka memberi sinar, harapan dan keceriaan kepada sebilangan pelajar, meningkatkan kembali motivasi pelajar yang terkesan akibat proses pembelajaran dari rumah.

Bagaimanapun, tidak dinafikan selepas hampir lebih dua tahun proses pembelajaran dari rumah berlangsung, ada pelajar yang selesa dengan corak kehidupan yang baharu. Mereka dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan keadaan dilalui sekarang.

Perubahan psikososial dalam kalangan pelajar berkemungkinan besar dipengaruhi faktor pandemik, kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan beberapa bencana alam yang melanda negara sejak akhir-akhir ini.

Berdasarkan tinjauan, pelajar tidak mahu pulang ke kampus kerana mempunyai pekerjaan, mempunyai kewajipan menguruskan sosioekonomi keluarga, menguruskan ahli keluarga sakit dan mendirikan rumah tangga.

Tambahan lagi, faktor kemudahan internet yang baik, kaedah penetapan pembelajaran secara atas talian atau hibrid oleh pihak universiti, keinginan untuk berjimat cermat, situasi pembelajaran di rumah lebih kondusif dan kerisauan terhadap jangkitan COVID-19, menyebabkan segelintir pelajar tidak berhajat untuk pulang ke kampus.

Hal ini menunjukkan IPT perlu memikirkan tahap kesediaan pelajar untuk pulang ke universiti menyambung kembali pengajian secara fizikal.

Bertitik tolak daripada bermulanya PKP pertama pada 2020, ia mengubah hampir 360 darjah corak kehidupan manusia sejagat.

Namun selepas lebih dua tahun, pelajar universiti semakin matang mengharungi pandemik COVID-19. Hampir semuanya menerima dan beradaptasi dengan norma baharu.

Justeru, apakah persediaan yang perlu dilakukan pelajar untuk mengharungi norma baharu selepas proses kepulangan pelajar ke kampus. Ia berbalik kepada asas kemahiran psikologi dimiliki pelajar.

Antara asas kemahiran psikologi dimaksudkan adalah jati diri, sahsiah baik, sikap yang positif, motivasi dan komitmen, keyakinan diri, fokus tumpuan, penetapan matlamat, pengurusan kesihatan mental, kemahiran interpersonal dan penghargaan kendiri.

Pelajar yang mempunyai tahap persediaan mantap daripada aspek kemahiran psikologi ini dapat mengharungi segala dugaan dan rintangan serta menghasilkan status kehidupan lebih baik berbanding sebelum pandemik bermula.

Dalam situasi penularan COVID-19 yang masih belum nampak ada kesudahannya, proses membawa pulang pelajar universiti ke kampus dilihat sebagai satu usaha untuk memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara. Namun, aspek keselamatan dan kebajikan pelajar tetap menjadi keutamaan KPT dan IPT.

Justeru, pelajar harus mempersiapkan diri untuk terus mengikuti proses PdP ditetapkan pihak universiti tidak kira sama ada pelajar berada di kampus atau di rumah.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X