Rabu, 9 Februari 2022 | 10:00am
Data seperti kos membesarkan anak ayam perlu diperoleh sebagai rujukan dalam menetapkan harga jualan seekor ayam. - Foto hiasan
Data seperti kos membesarkan anak ayam perlu diperoleh sebagai rujukan dalam menetapkan harga jualan seekor ayam. - Foto hiasan

Capai kesepakatan rangka pelan strategik tangani isu ayam

Keselamatan dan kesejahteraan negara bukan hanya boleh diganggu gugat dalam bentuk peperangan, tetapi juga disebabkan dengan masalah kekurangan bekalan dan sekatan makanan.

Realitinya, makanan adalah sumber asasi penting kepada kehidupan. Jika krisis makanan berlaku, kestabilan negara juga akan terjejas.

Menurut laporan Malaysia Trade Statistics Review (MTSR), negara mengimport 30 hingga 40 peratus beras, begitu juga dengan sumber daging (lembu dan kambing) yang majoritinya diimport dari negara seperti India dan Thailand bagi memenuhi tahap saraan diri (SSL) mencukupi kepada keperluan rakyat Malaysia.

Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dalam laporan dikeluarkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) bagi 2021 daripada 113 negara seluruh dunia.

Kedudukan ini membimbangkan, tambahan ketika dunia masih dalam gelombang pandemik. Justeru, krisis telur dan daging ayam harus ditangani segera dan tidak boleh dipandang ringan.

Hakikatnya, telur dan daging ayam masih sumber protein paling murah berbanding berasaskan haiwan lain seperti ikan, susu, daging lembu serta kambing.

Lantas, mekanisme penetapan harga ayam daging dan bekalan telur ayam yang mencukupi perlu dilakukan dengan kaedah 'menang-menang' bagi kepentingan semua pihak meliputi penternak, peniaga dan pengguna.

Data seperti kos membesarkan anak ayam hingga sampai saiz sesuai untuk sembelihan perlu diperoleh. Data mengenai Feed Conversion Ratio (Nisbah Penukaran Suapan) - merujuk jumlah berat kering dedak diperlukan untuk menghasilkan sekilogram daging - boleh dijadikan rujukan dalam penetapan harga jualan seekor ayam.

Selain itu, kualiti dedak, diet tambahan dan amalan penternakan yang baik dalam mencegah penyakit pada ayam boleh diambil kira dalam kos operasi. Ini untuk mengelak kerugian besar sehingga gulung tikar terutama kepada penternak, pemborong dan peniaga kecil dan sederhana.

Dengan tambahan gelombang pandemik COVID-19 di peringkat global yang belum selesai, adakah mereka dapat menyerap kos operasi dan harga import dedak yang tinggi.

Jika dibuat perkiraan teliti, maka akan diketahui kos sebenar produksi untuk seekor anak ayam, kos untuk membesarkan seekor ayam pedaging serta kos untuk menghasilkan sebiji telur ayam. Cadangan mengimport daging ayam tidak membantu menstabilkan harga, sebaliknya mengganggu industri ayam tempatan.

Penternak kecil dan sederhana juga berpotensi gulung tikar. Tambahan lagi kualiti daging ayam import kurang segar jika diambil kira proses masa diambil dari ladang dan diimport ke Malaysia berbanding daging ayam tempatan.

Malaysia bumi bertuah yang mempunyai taburan panas dan hujan yang sekata sepanjang tahun. Kelebihan ini boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan sumber makanan kepada ayam seperti jagung.

Masalah perubahan cuaca di Malaysia sebenarnya tidak begitu menjejaskan pengeluaran telur ayam kerana majoriti ayam penelur diternak dalam reban tertutup berhawa dingin dan dikawal suhu serta kelembapannya supaya ayam mampu bertelur pada tahap optimum.

Pun begitu, wabak penyakit endemik ayam seperti New Castle Disease yang boleh menyebabkan kematian tinggi pada ayam (maka telur juga berkurang) boleh menjadi punca juga krisis telur ayam. Namun, hal ini perlu disiasat untuk menjamin kesahihannya.

Justeru, pelan strategik perlu dirangka dan disepakati semua pemegang taruh secara kolektif bagi menangani krisis ayam ini kerana ia sekuriti makanan negara.

Jaminan keselamatan makanan yang baik mampu memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Menjadi harapan agar krisis telur ayam ini dapat diselesaikan segera dan diberi perhatian semua bagi mengelakkan krisis kemanusiaan, terutama ketika era pandemik COVID-19 ini.

Penulis adalah Pensyarah Veterinar daripada Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Berita Harian X