Isnin, 7 Februari 2022 | 10:00am
Hanya 15 peratus daripada 3.6 juta kanak-kanak mendaftar untuk divaksin sehingga 1 Februari lalu. - Foto hiasan
Hanya 15 peratus daripada 3.6 juta kanak-kanak mendaftar untuk divaksin sehingga 1 Februari lalu. - Foto hiasan

Tingkatkan keyakinan ibu bapa jayakan PICKids

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun melalui PICKids, dibuat berdasarkan senario semasa jangkitan COVID 19 dalam kalangan golongan itu adalah membimbangkan.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) membuka pendaftaran kepada ibu bapa dan penjaga untuk mendaftar anak dengan rekod sehingga 1 Februari lalu menunjukkan kira-kira 15 peratus daripada 3.6 juta kanak-kanak seluruh negara layak menerima suntikan vaksin untuk mendaftar. Dibandingkan peratusan mendaftar dengan jumlah kanak-kanak layak, ia boleh dikatakan mungkin sedikit rendah hingga perlu ditangani segera.

Isu utama perlu diberi perhatian adalah keterbukaan dan kesanggupan ibu bapa atau penjaga memberi kebenaran untuk anak divaksin. Sudah semestinya kegelisahan dan kegusaran ibu bapa serta penjaga adalah kepada isu kesan sampingan vaksin ke atas kanak-kanak.

Sebenarnya, kesan sampingan paling kerap diterima kanak-kanak divaksin berdasarkan pengamal perubatan ialah sakit pada lengan, demam atau keletihan yang turut dirasai dewasa dan remaja sebelum ini.

Bagaimanapun, kesan sampingan seperti ini tetap membuatkan ibu bapa dan penjaga menjadi serba salah untuk mendaftar anak kerana bimbang ia bukan hanya sementara tetapi berlarutan dalam jangka panjang hingga menyebabkan tiada pendaftaran atau temujanji dibuat. Mereka lebih mengambil pendekatan tunggu dan lihat hingga betul-betul yakin.

Hakikatnya, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak perlu memikirkan apakah kesan kepada kanak-kanak sekiranya tidak divaksin seperti orang dewasa dan remaja. Mereka akan terdedah kepada virus itu dan mudah dijangkiti.

Sudah semestinya kita tidak mahu anak menjadi mangsa COVID-19 kerana masa depan mereka masih jauh. Apatah lagi dengan corak peningkatan daripada kluster pendidikan akhir-akhir ini, sudah semestinya anak amat perlu diberikan vaksin sebagai perlindungan.

Namun, kita harus mengakui penyebaran pelbagai berita palsu berkaitan kesan vaksin ke atas kanak-kanak antara punca kegusaran ibu bapa atau penjaga.

Justeru, Pihak berwajib perlu menyekat dan memastikan tiada penyebaran berita palsu berkaitan vaksin dengan kanak-kanak disebarkan sewenang-wenangnya.

Oleh itu, langkah terbaik dalam merancakkan lagi PICKids ini untuk mencapai objektifnya sudah semestinya sokongan dan keyakinan ibu bapa serta penjaga kanak-kanak itu sendiri.

Sekiranya mereka lebih berfikiran terbuka dan melihat faedah vaksin berbanding kesan sampingan bersifat sementara sudahnya semestinya PICkids akan berjaya.

Pada masa sama, kerajaan disyorkan tidak menggunakan pendekatan seperti penguatkuasaan undang-undang sekiranya ia kurang mendapat sambutan, sebaliknya cukup dengan perkongsian maklumat secara komprehensif dalam menarik keterbabitan dan sokongan ibu bapa serta penjaga kanak-kanak.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Berita Harian X