Khamis, 13 Januari 2022 | 11:01am
Gambar hiasan/Seorang kanak-kanak menjalani ujian Covid-19 di Anyang di wilayah Henan tengah China. - Foto AFP
Gambar hiasan/Seorang kanak-kanak menjalani ujian Covid-19 di Anyang di wilayah Henan tengah China. - Foto AFP

Stigma menebal, diskriminasi burukkan situasi pandemik

Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan stigma sebagai sifat atau apa jua yang dilihat boleh menjatuhkan maruah dan mendatangkan keaiban atau kecelaan kepada sesiapa sahaja.

Akibat stigma, individu atau kelompok masyarakat terbabit akan menanggung rasa malu dan bersalah, lantas berusaha sedaya upaya menghindarkan diri daripada orang lain atau masyarakat.

Puncanya, kerana tidak sanggup menanggung bebanan daripada perasaan malu dan aib berkenaan.

Walaupun pelbagai keadaan boleh mendorong kemunculan stigma, hakikat perlu difahami adalah asas kepada stigma yang berlaku. Penyelidik memahami dorongan stigma berpunca sikap manusia sendiri.

Manusia dilahirkan dengan naluri ingin terus hidup selamat dan tenteram. Mereka akan berusaha mempertahankan diri dan kehidupan daripada sebarang perkara dan situasi yang berkemungkinan menjejaskan keselamatan kehidupan mereka.

Bagi tujuan ini, mereka amat memerlukan maklumat berkaitan supaya ketenteraman dan keselesaan dapat terus terjamin. Kekurangan maklumat akan menimbulkan salah tanggapan dan perasaan prejudis serta buruk sangka dalam diri mereka, akhirnya meningkatkan kegusaran dan keresahan secara tidak terkawal.

Sering kali stigma negatif melingkari isu berkaitan kesihatan mental atau pesakit mental. Namun kini, ia turut melingkari suasana pandemik.

Pesakit COVID-19 sebagai contoh, sering kali dipandang serong secara prejudis, disalah tanggap sebagai kelompok perlu disisihkan ataupun dinyahkan.

Pernah seketika, virus COVID-19 dimomokkan sebagai virus Wuhan, sehingga mewujudkan suasana fobia terhadap penduduk atau bangsa dari China dan sekitarnya.

Akhirnya Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menetapkan semua virus dan varian COVID-19 perlu diberi nama baharu tanpa merujuk bangsa atau tempat di mana ia ditemui. Ia bagi mengelak stigma serta kemungkinan diskriminasi.

Jika dalam konteks gangguan kesihatan mental, beberapa contoh berikut menunjukkan bagaimana stigma wujud.

Umpamanya, sering seseorang yang berperwatakan ganas diberikan imej pesakit mental, atau tanggapan stereotaip bahawa pesakit mental seorang yang ganas dan agresif.

Tanggapan negatif dan stigma turut menghantui program vaksinasi. Keadaan berlaku apabila penerima vaksin dianggap lebih sihat berbanding yang tidak menerima vaksin, tidak mudah dijangkiti dan tidak akan menjangkiti orang lain.

Golongan enggan menerima vaksin pula dianggap penderhaka, pencetus kluster jangkitan dan sebagainya.

Begitulah keadaan berlaku ketika pandemik dan tanggapan negatif yang ada mencetuskan stigma, akhirnya mewujudkan polemik dua darjat dalam kalangan masyarakat serta mendorong amalan diskriminasi yang amat tidak sihat.

Secara umum, stigma dikaitkan COVID-19 adalah berdasarkan konteks pandemik sebagai satu penyakit yang baharu dan masih banyak perkara berkaitan belum dapat dirungkai sepenuhnya.

Naluri manusia pula cenderung berasa takut kepada perkara atau situasi tidak diketahui, sekali gus meningkatkan keresahan dan kegusaran secara tidak terkawal. Ini kerana, manusia memerlukan sesuatu yang perlu dikawal atau dirasai seperti terkawal bagi mengawal keresahan mereka sendiri.

Maklumat pandemik tidak mencukupi sememangnya meningkatkan kekeliruan, kebimbangan dan ketakutan. Ia akhirnya mencetus tanggapan stereotaip yang berbahaya.

Beberapa implikasi buruk boleh berlaku akibat stigma terhadap pandemik, antaranya menjejaskan landskap perpaduan sosial dan mendorong kemungkinan berlaku pergolakan sosial lebih kronik.

Pada masa sama, ia mencetus diskriminasi dalam kalangan masyarakat, seterusnya mengehadkan siap siaga untuk mendapatkan rawatan berkaitan akibat kerisauan diskriminasi.

Dalam erti kata lain, stigma boleh mendorong orang ramai menyembunyikan penyakit mereka sebagai strategi mengelak diskriminasi. Stigma juga menyebabkan orang ramai mengelak untuk mendapatkan rawatan kesihatan dengan kadar segera, lalu menyebabkan penyakit menjadi lebih serius atau jangkitan lebih banyak berlaku secara tidak terkawal.

Dalam situasi ini, semua pihak akan menuding jari mencari kesalahan orang lain kerana tidak mengamalkan tingkah laku yang sihat.

Penulis adalah Felo di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X