Pandemik COVID-19 menjadikan medium pendidikan bertukar kepada pelantar digital. Guru juga menukar sebahagian besar pentaksiran pembelajaran kepada medium sama.
Penggunaan alat pentaksiran pembelajaran digital memudahkan guru memperoleh, menyimpan dan menganalisis pencapaian pelajar. Ini kerana ia mempunyai ciri disifatkan 'automatik' yang dapat memberikan hasil atau keputusan serta-merta dan ia semestinya memberi kelebihan kepada guru.
Pandemik COVID-19 menggalakkan lebih ramai guru mempelajari kaedah pentaksiran dengan pelantar digital. Untuk tahun mendatang, penggunaan teknologi digital dalam pentaksiran, khususnya pentaksiran bilik darjah (PBD), akan menjadi lebih kuat.
Alat teknologi digital sedemikian menyediakan lebih ruang kepada guru menjadikan amalan pentaksiran lebih pantas, bahkan serta-merta.
Persekolahan 2022 tampak lebih teradun dengan kombinasi antara medium bersemuka dan digital. Kaedah selang-seli kumpulan pelajar hadir ke sekolah untuk pembelajaran bersemuka sebenarnya membuka ruang pembelajaran teradun mengambil tempat.
Maksudnya, pelajar tidak ke sekolah boleh diberikan tugasan yang dapat memperkukuhkan pembelajaran mereka, meskipun tidak berada di bilik darjah, mereka masih boleh berkomunikasi dengan guru melalui aplikasi Telegram atau WhatsApp.
Menuju ke hadapan, guru harus diperkasakan dengan kaedah PBD yang lebih inovatif. Maksudnya, adunan medium bersemuka dan digital, selain pentaksiran formatif dan sumatif.
Pentaksiran sumatif lazimnya ialah ujian dan peperiksaan. Sifatnya lebih objektif dan mudah dikendalikan. Pentaksiran formatif pula lebih subjektif kerana sifatnya berterusan, lebih pelbagai dan banyak membabitkan budi bicara guru.
Memandangkan pentaksiran formatif lebih mencabar dilaksanakan kerana guru memerlukan ilmu dan kemahiran pentaksiran alternatif, maka ilmu dan kemahiran diperlukan wajar diperkasakan untuk guru. Satu daripada cara adalah melalui program latihan dalam perkhidmatan.
Beberapa contoh pentaksiran formatif ialah pentaksiran pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah, atau pembelajaran berasaskan pengalaman.
Kaedah lazim digunakan ialah mentaksir kemahiran komunikasi pelajar, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran berfikir kritis dan kreatif, serta mentaksir penguasaan isi kandungan subjek.
Penggunaan rubrik menjadi amat penting dalam PBD berpaksikan pentaksiran formatif. Pembinaan rubrik yang baik memerlukan kepakaran pentaksiran kerana rubrik dibina harus terlebih dahulu dinilai dan disemak semula oleh sekumpulan pakar pentaksiran.
Untuk 2022 dan seterusnya, pentadbir sekolah dan guru boleh menjadikan agenda pemerkasaan PBD berpaksikan pentaksiran formatif atau sumatif sebagai agenda utama.
Ramai guru sudah mahir dengan kaedah pentaksiran secara ujian dan peperiksaan. Bahkan, ramai pernah berpeluang menjadi pemeriksa kertas peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Maka, penggunaan kaedah pentaksiran sebegini tidak menjadi cabaran besar guru. Cabaran sebenar ialah PBD berteraskan pentaksiran formatif ini.
Guru perlukan lebih masa untuk mempelajari selok-belok PBD sebegini. Pentadbir sekolah disaran menjalin kerjasama dengan pihak luar, khasnya universiti bagi mendapatkan kepakaran ini.
Universiti memiliki pakar yang boleh memberi nasihat dan bimbingan kepada guru untuk memperkasakan PBD. Sekolah boleh melantik pakar sebagai rakan kongsi utama sekolah yang kemudian membentuk kumpulan pakar PBD di sesebuah sekolah terdiri dalam kalangan guru.
Lebih baik jika setiap bidang iaitu sains dan matematik, kemanusiaan, bahasa, serta teknik dan vokasional mempunyai pakar PBD sendiri. Ini kerana PBD tidak dapat dipisahkan dengan subjek atau bidang memandangkan unsur penguasaan isi kandungan subjek atau bidang masih menjadi pertimbangan pentaksiran yang penting.
Memandang ke hadapan, pemerkasaan PBD berpaksikan pentaksiran formatif harus dilaksanakan dengan strategi dinyatakan iaitu teknologi digital, berkolaborasi dengan pakar pentaksiran, serta membentuk kumpulan pakar PBD dalam kalangan guru di setiap sekolah.
Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)